Monday, May 19, 2008

BAHASA MELAYU, NAJIB DAN HISHAMUDDIN

Tun Abdul Razak Hussein telah diamanahkan untuk menggubal sebuah dasar pendidikan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1956. Dasar ini dikenali sebagai Penyata Razak yang telah diluluskan pada 7 Mac 1957 dan dikuatkuasakan pada 15 Jun 1957. Mengikut Zainal Abidin Abdul Wahid, tujuan pokok Penyata Razak terkandung dalam perenggan 12 Penyata itu yang berbunyi, “Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.’

Tun Abdul Razak seorang yang pragmatik dan bijak dalam mengatur dasar untuk sebuah negeri yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, yang bererti persekutuan negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini. Kemerdekaan Tanah Melayu bererti Inggeris telah memulangkan tanah orang Melayu kembali kepada orang Melayu. Maka dengan itu, sebuah dasar pendidikan dan pentadbiran yang menggunakan bahasa Melayu wajib diinstitusikan. Tun Abdul Razak seorang nasionalis yang tegas dan bijak. Dengan itu pada masa yang sama beliau dapat menyetarakan keputusan tersebut untuk dipersetujui oleh kaum Cina dan India dalam suasana yang baik.

Penyata Razak ini telah diperelokkan dengan lahirnya Laporan Rahman Talib yang menjadi asas Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Tetapi apabila Najib menjadi menteri pendidikan, tahun 1995 menyaksikan bagaimana Najib yang akur kepada keghairahan pragmatisme-songsang Mahathir telah bertanggungjawab di atas penggubalan lima akta berkaitan pendidikan yang sekaligus menjadi usaha untuk memansuhkan Akta Pelajaran 1961. Usaha untuk membunuh Akta Pelajaran 1961 ini mencapai puncaknya apabila peruntukan yang memberikan Menteri kuasa ke atas penggunaan bahasa penghantar dimaktubkan. Apa yang dilakukan oleh Najib ini dilaksanakan ketika Akta Pelajaran 1961 masih berkuatkuasa dan maka itu ia sama sekali bertentangan dengan kehendak dan ruh Penyata Razak serta Laporan Rahman Talib.

Najib ternyata telah mengkhianati usaha, cita-cita dan perjuangan ayahandanya sendiri iaitu Tun Abdul Razak. Dalam pada itu tindakan Najib juga telah mewujudkan ruang kabur tentang keakuran terhadap pemaktuban undang-undang dan Perlembagaan Negara. Tindakan yang tidak merujuk kepada Perlembagaan Negara ini berlaku sekali lagi apabila pada tahun 2007, Najib menukarkan istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sedangkan istilah bahasa Malaysia tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Negara (Perkara 152) kerana sememangnya istilah dan definisi ‘bahasa Malaysia’ tidak ada, yang ada ialah bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan yang merujuk kepada fakta dan metodologi peristilahan yang sebenar. Apa yang dilakukan oleh Najib kemudian disambung oleh Hishamuddin.

Apabila Hishamuddin mengambilalih Kementerian Pelajaran, apa yang dilakukan oleh Hishamuddin ialah memperjuangkan keputusan autokratik-despotik Mahathir yang dibuat pada tahun 2003, iaitu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Hishamuddin menjadi tunggak kepada perjuangan menghapuskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila penggunaan bahasa Inggeris ini menguasai lebih 80 peratus medium bahasa penghantar ilmu dalam dunia pendidikan di Malaysia. Mutakhir ini Hishamuddin telah membuat kenyataan bahawa teks kesusasteraan Inggeris akan mula digunakan di sekolah-sekolah rendah. Ini menunjukkan keghairahan dan pendewaan yang tinggi Hishamuddin terhadap bahasa Inggeris, sekaligus ‘membunuh’ bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh unggul UMNO sebelum ini.

Hal ini sebenarnya memperlihatkan beberapa faktor atau sisi ‘kekalahan’ UMNO yang tidak diteliti atau diambil perhatian oleh penganalisis politik. Umumnya ia berkaitan dengan penafian hak bahasa Melayu tetapi jika pergi lebih dalam kita akan melihat tentang kewujudan golongan elit bangsawan UMNO yang lahir di atas dulang emas, dan tidak mempunyai jiwa dan semangat perjuangan yang dipunyai oleh tokoh-tokoh pejuang tulen UMNO seperti Tun Abdul Razak dan sebagainya. Najib dan Hishamuddin adalah contoh elit Melayu UMNO yang pada hakikatnya tidak merasai dunia masyarakat Melayu yang hakiki. Kedua-dua mereka membesar dalam dunia pendidikan Barat, terlatih cara pandang dan kehidupannya mengikut acuan Barat. Bahkan kehidupan mereka pada hakikatnya tidak memerlukan bahasa Melayu, budaya dan wajah rupa Melayu. Dalam ertikata lain, jiwa keMelayuan mereka adalah nipis dan artifisial.

Mereka mempunyai jarak pengamalan hidup dan budaya yang amat jauh daripada masyarakat Melayu yang ingin mereka juarai. Lantaran itu kecintaan mereka kepada budaya bangsa seringkali kosong dan keliru. Maka itu mereka tidak merasa perasaan cinta yang dalam kepada bahasa Melayu. Mereka dibesarkan dengan simbol-simbol yang dibina baik melalui bahasa atau melalui budaya yang jauh terpisah daripada jiwa dan ruh keMelayuan. Dengan itu apabila mereka menjadi pemimpin bangsa Melayu, mereka hanya melihat kepada aspek-aspek kosmetik dan tidak mampu untuk menyelam dalam ke dalam jiwa sanubari bangsa Melayu.

Najib tidak menempuh zaman gelora penuh semangat seperti yang ditempuh oleh Tun Abdul Razak, sebaliknya lahir di atas dulang emas dan hidupnya keluar daripada lingkaran budaya dan ruh dunia Melayu. Begitu juga Hishamuddin tidak melalui zaman penuh perjuangan seperti yang dilalui datuknya Onn Jaaffar, sebalik hidup dalam dunia elitis-Barat. Hal ini memperlihatkan wujudnya era generasi elit bangsawan UMNO yang sangat besar jurangnya dan jauh jaraknya daripada kehidupan hakiki dan pemikiran rakyat Melayu umum. Generasi baru aristokrat-borjuis UMNO ini lahir dengan jiwa budaya yang kosong dan ruh yang terapung-apung tanpa akar. Najib, Hishamuddin, Mukhriz, dan ramai lagi generasi ketiga UMNO termasuk anak-anak muda yang tidak tahu sejarah dan budaya Melayu bangkit untuk menjadi pemimpin UMNO – pemimpin orang Melayu. Tetapi apa yang dapat mereka lakukan hanyalah kerosakan kepada hati dan jiwa orang-orang Melayu.

Keputusan PRU12 sebenarnya juga disebabkan oleh faktor-faktor ini, iaitu ketidakyakinan orang Melayu yang melihat dari sudut budaya serta ketulenan jiwa pemimpin Melayu, dan ketidakyakinan orang bukan Melayu yang melihat dari sudut keadilan sosial dan ekonomi.

Bahasa Melayu adalah lambang ketulenan jiwa pemimpin Melayu, malangnya ia dipandang remeh dan dianggap faktor kecil oleh ‘generasi kosong’ UMNO ini, tetapi percayalah jika bahasa Melayu terus diremehkan – PRU13 akan menyaksikan tindakan senyap orang-orang Melayu untuk menamatkan sejarah UMNO.

Bangsa Melayu sebenarnya tidak berpecah tetapi mereka kini menghukum!

Mingguan Wasilah, 11-17 Mei 2008

5 comments:

benuasuluk said...

Salam bang,
Tumpang lalu. Lama tak dengar cerita, tup-tup dapat sms bukak blog baru lagi.
Teruskan jihad!

Sham al-Johori said...

tuan,
aduhhhh, blognya hijau sih. kapan mahu berangkat ke rumah biru atau merah?

S.M. Zakir said...

sebenar blog ini saya buat sendiri, jadi tekan-tekan jadi. Bila jadi tak tahu nak ubah. Maka kekallah ia dengan warna main dapat saja, dengan nama panjang yang tak tahu macamana nak padam dan tulis balik, dan macam-macam lagi yang jadi maka jadilah.

bahazain said...

ASM Sdr Zakir
Sudah dua tiga kali saya beri komentar, tetapi entah kenapa tidak muncul. Tentulah tak pandai nak hantar. Walaubagaimana pun bagus pandangannya dan perlu diikuti oleh para pelajar dan generasi baru untuk memahami kisah sejarah dan hakikat status BMelayu.

S.M. Zakir said...

Terima kasih Dato', atas kesudian meninggalkan komentar. Insyaallah, perjuangan bahasa Melayu akan didokong bersama-sama.