Pada 27 Julai 1955 Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama (PRU1) telah diadakan. Maka bermula pada tahun 1955 ini Persekutuan Tanah Melayu mula menjadi negara yang mempunyai pemerintahannya sendiri dan bukan lagi ditadbir dari London. PRU1 ini membuka jalan kepada usaha untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. PRU1 ini diadakan bagi memilih 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan daripada keseluruhan 98 ahli majlis. Ahli selebihnya dilantik oleh kerajaan British. UMNO yang dahulunya PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) bergabung bersama MCA dan MIC membentuk Parti Perikatan dalam menghadapi PRU ini.
Parti-parti yang bertanding dalam PRU ini selain daripada Perikatan ialah Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak, Parti Progresif Perak (kemudian menjadi Parti Progresif Rakyat), dan juga Parti Buruh.
Dalam PRU1 ini, Perikatan telah membentangkan manifestonya antara lain ialah janji untuk mencapai kemerdekaan dalam tempoh 4 tahun. Perikatan juga berjanji akan menubuhkan satu jenis sekolah kebangsaan dan menerusi sekolah kebangsaan ini Perikatan akan memajukan pembangunan kebudayaan, ekonomi, kemasyarakatan dan politik sebagai satu bangsa. Dengan cara ini Perikatan berharap dapat memenuhi tujuannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, secara langsung menjadi bahasa pengantar kepada semua pembelajaran ilmu dan bahasa perpaduan bangsa Malaysia.
Sebagai pemimpin Perikatan pada masa itu, Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman Putra dalam Perhimpunan Khas UMNO pada 4 Jun 1955, telah menegaskan bahawa Perikatan telah membuat keputusan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Janji ini telah membawa kepada sokongan besar orang Melayu terhadap UMNO dan Perikatan. Ini adalah kerana pada masa itu, terdapat tuntutan oleh British untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pelajaran. Juga terdapat tuntutan untuk menjadikan bahasa Cina (Kuo Yo) juga sebagai satu daripada bahasa rasmi. Maka sumpah UMNO untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang diperkukuhkan melalui janji Perikatan itu telah membawa sokongan tidak berbelah bagi bangsa Melayu kepada UMNO.
Perikatan mendapat kemenangan yang besar dengan memenangi 51 buah kerusi daripada 52 buah kerusi. Perikatan menganggap bahawa semangat untuk mencapai kemerdekaan di dalam jiwa orang Melayu membuatkan mereka mendapat sokongan besar. Namun pada hakikatnya janji Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO tentang kehendak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal dalam 10 tahun telah melonjakkan jiwa dan semangat orang Melayu. Faktor bahasa Melayu ini sebenarnya adalah antara faktor utama kemenangan Perikatan. Bahasa Melayu adalah jiwa dan roh orang Melayu. Dan UMNO yang membawa roh serta jiwa bangsa Melayu ini sudah tentunya maklum bahawa mereka harus meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa paling utama, kerana di situlah terletak kekuatan bangsa Melayu, sekaligus kekuatan UMNO.
Apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 (Pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudian Akta Lembaga Akreditasi Negara diluluskan pada tahun 1996; maka bahasa Melayu telah dikuburkan secara perlahan-lahan oleh UMNO sendiri. Secara individu yang bertanggungjawab ialah Mahathir Mohamad; dan Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Najib Razak. Tetapi secara organisasi, UMNO keseluruhannya (ahli-ahli parlimen UMNO) menyokong ketetapan ini. Lanjutan daripada itu, bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa pengantar utama kepada matapelajaran sains dan matematik. Begitu juga di IPTA dan IPTS, bahasa Melayu kemudian ditimbus satu demi satu.
Sekarang apabila tiba-tiba UMNO bangun mendabik dada menjadi hulubalang yang memperjuangkan Melayu, lantaran didakwa orang Melayu kini berpecah – tidakkah UMNO sedar bahawa betapa besarnya dosa mereka mengkhianati bahasa Melayu, sekaligus ruh dan jiwa bangsa Melayu?
Mengapa hanya sekarang UMNO mencari-cari orang Melayu? Mencari-cari perjuangan Melayu? Mengapakah semasa mereka berkuasa, semasa mereka adalah ‘dewa’ kepada segala-galanya – mereka mengkhianati orang-orang Melayu? Dosa Mahathir menghancurkan bahasa Melayu tidak akan terampun sampai bila-bila, apatah lagi jika bahasa Melayu tidak akan dapat dipulihkan kembali dan malah terus pupus sama sekali. Mahathir adalah orangnya yang menghancurkan bahasa Melayu. Dan jangan lupa di sini bahawa UMNO adalah wadah dan pangkalan yang membantu Mahathir menghancurkan bahasa Melayu.
Sehingga sekarang pun UMNO tidak menampakkan sebarang keinginan untuk menebus dosa mereka yang menghancurkan bahasa Melayu itu. Ketika Lim Guang Eng, yang dianggap pemimpin kaum Cina itu sering keluar menjawab soalan-soalan wartawan dalam bahasa Melayu, pemimpin-pemimpin UMNO lebih gemar memperlihatkan kefasihan mereka berbahasa Inggeris. Maka itu seorang teman dari luar negara (Afrika) yang hanya beberapa hari tiba di Malaysia menganggap Lim Guang Eng seorang Melayu, dan tidak pasti Hishamuddin Husin dan Azalina Othman adalah orang Melayu apabila melihat suatu rancangan berita baru-baru ini di televisyen. Saya mengatakan itulah paradoks UMNO.
Siapakah yang memusnahkan bahasa Melayu sehingga anak-anak Melayu tidak tahu lagi apa itu perpuluhan, punca kuasa dua, gandadua, luluhawa, lutsinar, kalis air, tuil, takal, kenyal, pepejal, cecair dan banyak lagi istilah matematik dan sains yang telah kina bina dengan begitu susah payah itu. Siapakah yang menghancurkan ini semua? DAP kah yang menghancurkannya? PAS? PKR? MCA? MIC? Dong Zong? Tidak.
UMNO lah yang menghancur dan menghapuskan bahasa Melayu. UMNO yang sekarang mengatakan bahawa mereka adalah pembela orang-orang Melayu itulah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dengan menghapuskan bahasa ibunda bangsa Melayu, iaitu bahasa Melayu.
Jika UMNO benar-benar jujur dan ikhlas berjuang untuk bangsa Melayu, maka untuk hari ini satu perkara terlebih dahulu perlu dilakukan oleh mereka – kembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik!
Jika UMNO yang berkuasa sekarang ini tidak mahu mengembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar Sains dan Matematik, maka UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan nasib dan kepentingan orang-orang Melayu. Tetapi hanyalah gerombolan oportunis yang sedang menggadaikan orang-orang Melayu untuk kepentingan mereka sahaja.
20-26 April 2008
Friday, May 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment