Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan dua langkah drastik yang menyaksikan ketetapan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman dan Suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah yang bebas daripada kuasa Badan Eksekutif, dalam tempoh tidak sampai dua minggu. Tindakan drastik ini dilakukan setelah beberapa serangan bertalu-talu Mahathir dua beranak bersama Mukhriz meminta Pak Lah meletakkan jawatannya. Mukhriz tentunya seorang ‘anak bapak’ apabila menyatakan ramai orang sayangkan bapanya dan meminta pandangan bapanya itu diberikan tempat yang tinggi. Siapa yang sayangkan Mahathir? Mungkin Mukhriz perlu pergi ke Memali dan bertanya janda serta anak-anak yang kehilangan suami dan bapa dalam peristiwa ‘Ibrahim Libya’. Mukhriz juga perlu pergi bertanya isteri dan anak-anak Yazid Supaat serta beberapa orang yang dikatakan terlibat dalam Kumpulan Militan Malaysia, sehingga kini dizalimi merengkok dalam tahanan ISA selama lapan tahun. Mengapa mereka tidak dibicarakan jika benar-benar mereka bersalah? Atau boleh juga bertanya kepada hakim-hakim yang dicampak maruah mereka oleh Mahathir kerana mempertahankan keadilan. Tanyalah kepada mereka wahai Mukhriz apakah mereka sayangkan Mahathir yang menzalimi suami, bapa dan saudara mereka itu. Mungkin Mukhriz bertemu beberapa orang tua yang sudah cukup kenyang melahap hak rakyat atau mereka yang kenyang dengan segala retorik dan pembohongan Mahathir, lalu menyatakan kesayangan mereka kepada Mahathir.
Pak Lah mula kelihatan ingin melepaskan dirinya daripada bayang Mahathir. Selama penggal yang lepas, Pak Lah beku dalam bayang Mahathir mungkin kerana tidak mahu melangkau status quo dan menghormati Mahathir yang melantiknya. Namun membiarkan Mahathir terus membayanginya telah memberikan natijah buruk dalam PRU12. Mungkin ada sebab ekonomi dan apa yang dikatakan juga sebagai isu bread and butter. Tetapi antara sebab utamanya juga ialah membiarkan legasi Mahathir terusan menghantui rakyat Malaysia dengan barisan kabinet ‘orang-orang Mahathir’ dan kesinambungan kleptokrasinya. Maka Pak Lah melakukan langkah drastik yang tentunya bukan sahaja amat bercanggah dengan kehendak Mahathir tetapi juga menakutkan Mahathir dan konco-konconya.
Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa Mahathir telah meninggalkan sebuah Negara yang makmur dan maju selepas pemerintahannya selama dua dekad. Mahathir adalah seorang nasionalis jalur keras yang kemudian meningkatkan dirinya menjadi seorang nasionalis ekonomi yang berusaha untuk menukarkan Malaysia daripada sebuah Negara yang berasaskan komoditi pertanian kepada sebuah Negara perindustrian baru di bawah pimpinan usahawan-kapitalis bumiputera. Namun kemudian Mahathir mula bertukar rupa daripada seorang ultranasionalis Melayu kepada diktator yang ingin mewujudkan sebuah bangsa baru dalam negara baru yang setia, taat dan patuh kepada seorang pemimpin – Mahathir. Pada masa yang sama, Mahathir yang berpegang kepada prinsip darwinisme sosial itu percaya bahawa masyarakat yang lemah harus menyerap ke dalam masyarakat yang kuat dan mengikut cara kehidupan masyarakat yang kuat tersebut. Kepercayaan dan tindakan ke arah doktrin itu kemudiannya melahirkan Mahathirisme. Mahathirisme melihat Barat sebagai masyarakat yang kuat dan satu-satunya model untuk mencapai kemajuan.
Mahathir memegang tampuk kuasa pada fasa kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah mencapai kemajuan daripada beberapa sudut. Pembinaan fasa kedua DEB oleh Mahathir ‘lari’ daripada perjuangan nasionalisme yang menjadi pengisian fasa pertama DEB, menyaksikan pemecahan masyarakat Melayu kepada bumiputera dan umnoputera. Tumpuan bukan lagi kepada nasionalisme tetapi developmentalism. Bagi melaksanakan developmentalism ini Mahathir telah membaiki sistem demokratik dengan cara membaiki sistem autoritarian. Fasa kedua DEB ini memperlihatkan apa yang disebut sebagai ‘bureaucratic authoritarian state in newly industrializing country’. Daripada asas-asas pemikiran ini Mahathir kemudian menawarkan Wawasan 2020 yang meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dengan kemajuan perindustrian yang pantas, liberalisasi ekonomi, dan pengaturan semula dasar-dasar sosial. Mahathirisme adalah penciptaan sebuah bangsa Malaysia yang berpaksikan ideal sekularisme, kapitalisme, dan darwinisme sosial di bawah subjek authoritarianisme.
Mahathirisme kemudiannya melihat bahasa Melayu sebagai suatu bentuk agen tradisi yang menghalang ke arah cita-cita idealnya. Suatu bentuk renaissance tidak akan muncul jika agen-agen tradisi ini tidak dihapuskan terlebih dahulu. Agen tradisi dilihat sebagai perwakilan kepada kebudayaan atau keperibadian tempatan yang menentang semangat culture of liberalism yang membuatkan pluralisme dapat berfungsi. Pluralisme adalah binaan sifat baru hasil daripada perlakuran kebudayaan, pemikiran dan kepercayaan yang menghancurkan segala bentuk keperibadian, keaslian dan kesahihan sebelum ini. Maka kecelakaan sejarah bahasa Melayu berlaku pada titik pengumuman Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Di situlah puncak kepada pelaksanaan ideal mahathirisme yang memerangi segala bentuk nasionalisme, keperibadian tradisional dan asas-asas bangsa, sejarah dan prinsip kepercayaan demi mewujudkan sebuah metanaratif baru yang disebut sebagai ‘postmodern bourgeois liberalism’.
Kehancuran bahasa Melayu hari ini adalah kerana keputusan politik yang salah. Tiada sebab lain. Keputusan Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik itulah yang menyebabkan berlakunya kehancuran kepada bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Maka satu-satunya jalan untuk memperbaiki dan memperkasakan kembali bahasa kebangsaan ialah mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran sains dan matematik sepertimana dahulu. Tiada tindakan yang lebih wajar dan berkesan selain daripada tindakan ini.
Keputusan melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah sebuah Freudian slip seorang Mahathir terhadap kepercayaan darwinisme sosialnya – yang salah! Sesebuah bangsa yang cekal dan kuat boleh saja mencapai kemajuan tanpa menggadai bahasa dan keperibadiannya. Hanya bangsa yang lemah sahaja terpaksa menggadaikan dirinya dan menjadi abdi untuk maju.
Para pejuang bahasa, budayawan, seniman, penulis dan nasionalis Melayu kini sedang menunggu Pak Lah memecahkan sebuah lagi kegelapan bayang Mahathir – iaitu mengembalikan bahasa Melayu sepertimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan, kembali menjadi bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik.
Mahathir adalah musuh bahasa Melayu, apakah UMNO juga harus menjadi musuh bahasa
Melayu kerana masih kelam di bawah bayang seorang Mahathir?
Mingguan Wasilah, 4-10 Mei 2008
Friday, May 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
ASM Sdr Sayap Matahri,
Pandangan sdr mengandungi tafsiran sejarah dan psiko-sosial masyarakat yang sedang berganjak cepat dalam perkembangan politik dan kepemimpinannya. Alangkah baiknya sekalian posting tentang bahasa ini dikumpulkan menjadi bahan rujukan bagi mereka yg tidak internet savvy dan bacaan generasi masa depan.
Waalaikum salam Dato,
Sebenarnya tulisan-tulisan diambil daripada kolum saya setiap minggu di Mingguan Wasilah. InsyaAllah semua tulisan ini akan saya bukukan.
Terima kasih kerana melayari dan salam hormat yang tidak terhingga.
Waktu saya menulis ini tahun 2012. Jika lihat ke belakang apa yg saudara tulis kelihatan sungguh emosi tanpa fakta kukuh hanya bersandar persepsi rapuh, keliru dan kebencian.
Ramai lagi yg sentiasa menyayangi Mahathir ketika hayatnya, sesudah apatah lagi. Siapa? saudara tanya, siapa?
az
Firman Allah Surah Al Baqarah “Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, tetapi mereka hanya menipu diri sendiri dan mereka tidak sedar, Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan untuk mereka siksaan yang pedih disebabkan mereka berdusta. Dan bila dikatakan kepada mereka, janganlah membuat bencana (kerosakkan & perpecahan) di muka bumi, mereka mengatakan: Sesungguhnya kami ini hanya orang-orang yang membuat kebaikan. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat bencana tetapi mereka tidak sedar. Apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman, mereka mengatakan: Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang bodoh itu beriman? Ingatlah, sesungguhnya merekalah yang bodoh tetapi mereka tidak tahu” ( Al Baqarah: 9 -13)
Ini untuk siapa? siapa pun boleh sedara
Post a Comment