Monday, January 19, 2009

CERPEN TAJUK SAMA



Kawah Tangkuban Perahu Lagenda Sangkuriang yang mempunyai versi Malin Kundang di Malaysia. Persamaan dalam cerita legenda dan cerita rakyat juga wujud di negara yang jauh.

Ketika Majlis Diskusi Karya MPR pada 17 Januari 2009 di DBP, saya diberitahu oleh Roslan Jomel bahawa cerpen saya ‘Angin dalam Telinga’ hampir sama tajuknya dengan cerpen seorang penulis Indonesia, kalau tak silap ‘Hujan dalam Telinga’ tajuknya. Rahimidin turut ada di sebelah saya pada masa itu. Saya spontan menjawab, “Kebetulan.”

Saya sebenarnya tidak pernah berminat untuk menjawab sebarang kritikan atau ulasan terhadap cerpen saya. Bagi saya pembaca berhak membuat tafsirannya. Mungkin saya sedikit menyetujui Roland Barthes tentang konsep ‘author is dead’nya. Tetapi untuk hal ini saya fikir, pembaca mungkin ingin bertanya tentang ‘kebetulan dan persamaan’ ini.

Sebelum ini lebih teruk lagi, Fatimah Busu mengatakan cerpen saya ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril’ dikatakan mengambil tajuk sebuah cerpen penulis Indonesia, Danarto. Seperti yang dikatakan tadi saya tidak berminat untuk menjawabnya. Tetapi baru-baru ini saya menjumpai sebuah novel yang diterbitkan oleh PTS (kalau tak silap saya), ditulis oleh penulis Indonesia bertajuk ‘Matahari di Atas Gili’. Tajuknya hampir sama dengan cerpen saya dahulu iaitu ‘Matahari di Atas Sejadah’. Maka jika begitu, saya juga boleh mengatakan bahawa penulis Indonesia ini ‘mengambil’ tajuknya daripada cerpen saya. Boleh begitu?

Sebenarnya semuanya berlaku secara kebetulan. Hakikatnya saya bukan generasi Fatimah Busu yang sangat tergoda dengan karya-karya penulis Indonesia. Saya adalah generasi yang membesar dengan karya-karya Arenawati, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Abdullah Husain, Azizi Hj. Abdullah, Anwar Ridhwan dan ramai lagi, kesemuanya penulis Malaysia. Karya-karya Indonesia tidak masuk ke dalam kepala saya, kerana saya merasakan latarnya jauh dan tidak mempunyai sebarang rasa sentimental dengan persekitaran Malaysia yang telah maju dengan acuannya yang tersendiri.

Seingat saya hanya dua buah karya Indonesia yang saya baca ketika kecil yang mungkin sedikit berbekas dalam ingatan saya, iaitu Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer dan Harimau, Harimau karya Mochtar Lubis. Karya lain yang saya baca hanya hilang seperti debu. Saya tidak pernah membaca cerpen Danarto, mengimbas karya-karya Indonesia yang lain tanpa minat yang mendalam dan menyumpah bahasanya yang lintang pukang. Saya juga tidak pernah berminat untuk membaca karya Ayu Utami. Sehinggalah saya membaca kertas kerja Katrin Bandel di JILLFest baru-baru ini tentang bagaimana Ayu Utami digunakan oleh Barat untuk menggambarkan Indonesia yang kolot dan ketinggalan, barulah saya rasa ingin membaca karyanya. Kerana ia berkaitan dengan subjek pasca kolonial yang mungkin boleh menjadi bahan tulisan saya. Tapi sehingga hari ini saya tidak pernah malu untuk mengaku saya tidak pernah membaca pun karya Ayu Utami, dan karya penulis Indonesia yang lain. Dan saya rasa para penulis Indonesia pun tidak pernah malu untuk mengaku bahawa mereka tidak pernah membaca barang sebuah pun karya penulis Malaysia.

Saya pernah menulis tentang kegagalan puisi Sutardji di Dewan Sastera dalam mencari nilai dalam dirinya. Saya membaca O Amuk Kapak nya ketika saya hendak menulis rencana itu. Sebelumnya saya tidak pernah membaca secara mendalam puisi Sutardji, sekadar membelek-belek tanpa minat. Dan saya meninggalkan Sutardji dalam khayalan kehebatannya setelah menulis rencana itu. Saya tidak berniat merendahkan sesiapa. Tetapi itulah hakikatnya. Saya generasi penulis Malaysia yang sudah tidak berkiblat kepada sastera Indonesia. Juga kepada mana-mana wilayah. Saya membesar dalam dunia pembacaan yang luas daripada bahan-bahan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahan bacaan dalam bahasa Indonesia lebih banyak datang dalam bentuk buku-buku agama dan sains sosial dan bukan karya sastera.

Mungkin banyak tajuk cerpen saya yang sama dengan cerpen di Congo, Tibet, Jamaica, atau benua antartik dan artik. Maaf, saya cuma bergurau. Ha ha. Saya tidak pernah mengambil hati dengan sebarang kritikan terhadap karya saya sebagaimana saya juga melakukan hal yang serupa terhadap karya orang lain. Prinsip saya mudah, kerja saya hanya menulis, sama ada orang ingin membaca atau menghargainya ia bukan lagi kerja saya – Tuhan menentukan takdirnya. Kerana itu saya tidak pernah kecewa menjadi sasterawan.

13 comments:

roslan jomel said...

Guna tajuk dalam loghat kelate pula lah, sifu. Pasti tidak ada kes kebetulan tajuk yang hampir-hampir serupa.

lutfi said...

Gunakan nama binatang. Kalau sama pun tak pa. Macam biawak, musang dll. Kah kah.

Silir Senja said...

Betul...
Tajuk yg sama isinya pasti berbeza, kan?
Tak mengapa...namanya juga manusia..

sahrunizam abdul talib said...

Sedangkan manusia banyak yang nama sama, tapi hati lain-lain.

benuasuluk said...

Sdr.,
teruskan buat bodoh dengan segala remeh macam tu.
Oh ya, nama sdr. seperti satu "fenomena" di tempat saya cari makan. Kalau sebut nama sdr, budak-budak boleh jadi macam histeria. Ini membuktikan "kiblat" sdr sebenarnya betul!

S.M. Zakir said...

ha ha saya sebenarnya dah tulis macam-macam tajuk. Mungkin lepas ni saya pakai tajuk nama kawan-kawan la. Mesti tak pernah orang buat. Nak-nak nama Lutfi, nama ala-ala lelaki klasik melayu terakhir tu...

Yusuf Fansuri said...

Salam Sudara Sheikh,

Saya pernah ditanya suatu ketika mengapa kumpulan puisi saya sama tajuk dengan salah sebuah cerpen sudara. Tajuk kumpulan puisi saya " Cinta Si Pemain Pedang" sama tajuk dengan salah sebuah karya sudara. Saya jawap mudah, tiga jawapan berbeda:-

Pertama: Kami berdua memang ada "pedang"

Kedua: Saya peminat SM Zakir....

Ketiga: Saya tulis puisi, SM Zakir tulis cerpen... dua yang berbeda.

sekadar berkongsi...

Sham al-Johori said...

Tuan syeikh,
Jangan merajuk panjang. bukankah tajuk itu adalah himpunan kata-kata. kata-kata tiada pemiliknya. yang penting 'pemikirannya' perlu dimiliki.

Alamakkkk, tuan cakap aja dengan manusia itu, "lu fikirlah sendiri!".

Betul juga mcm kata adik Lut tu, itu sb dia berkawan dgn binatang kerana katanya manusia suka cari salah orang aja. Lebih baik kawan dgn binatang. Lepas ni dia nak kawan dgn tupai dan dhab.

Pakai nama kawan-kawan pun ok juga tapi jangan pakai nama 'Atan Kambing' mcm watak dlm cerpen Datuk Wai Bee tu. Hehehe.

lutfi said...

Salam, guna jangan tak guna. Promosi tu, kah kah.
Bapak Sham, manusia pun haiwan jugak, cuma mereka boleh berkata-kata. Suatu hari nanti, kalau ada haiwan boleh bercakap, kita panggil saja, mereka itu manusia.

Tetapi kalau babi boleh bercakap macam mana?

Rahimidin Z said...

Syeikh,
sejuk ke pakai topi bulu?

S.M. Zakir said...

sejuk be

z@dH hiRsHAm said...

Saudara Zakir, saya adalah salah seorang dari peminat saudara yang cukup tenggelam dalam keasyikan menguliti 'Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril'... seperti kata saudara benuasuluk, kiblat saudara sebenarnya betul! p/s: Kecewa saya sebab tak sempat memiliki Sekeping Roh Di Atas Bantal kerana sudah habis di pasaran...

Nisah Haji Haron said...

Tajuk karya, nama watak tidak dilindungi di bawah undang-undang hak cipta. Jadi siapa-apa pun boleh guna sepenuhnya ataupun sebahagiannya. Benar, manusia akan cuba cari silap tanpa memahami akan hal yang sebenarnya!