Saturday, January 10, 2009
Maut dan Pengisian Keagamaan
Lagu Nelayan Selat Madura terpahat di Muzium Laut, Kota Tua, Jakarta
Jam 12 tengah hari Sabtu 10 Januari 2009, saya menonton tayangan filem Maut arahan Badarudin Hj Azmi atau Bade. Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Liana Jasmay, Sabrina Ibrahim, Qie Haidar dan lain-lain. Filem ini tidak boleh dianggap sebagai sebuah feature film kerana ia memuatkan tiga buah filem pendek menjadi sebuah filem. Jika ada ada anugerah filem yang meletakkan kategori filem cereka atau feature film, filem ini seharusnya tidak boleh dibawa bertanding. Sepertimana kesilapan yang berlaku apabila filem Cinta menerima anugerah filem yang lepas.
Tiga cerita yang dibawa dalam Maut ini berkisar tentang bagaimana peringatan dan balasan yang diterima oleh manusia yang membelakangi hukum Allah s.w.t. Cerita pertama berkisar kepada seorang gadis (Liana Jasmay) yang didatangi roh gadis mati dibunuh yang memohon pertolongan. Cerita kedua tentang seorang Farah (Sabrina Ibrahim), seorang pramugari yang berkahwin dengan Mat Salleh, hidup dalam rumah yang dipenuhi botol arak, tidak bersembahyang atau berpuasa. Akhirnya Farah ditimpa kemalangan dan dalam koma didatangi ‘peristiwa seksa kubur’. Sabrina insaf dan kembali menjadi muslimah yang baik. Cerita ketiga tentang Jamil (Que Haidar), anak muda black metal yang hidup dalam kemungkaran akhirnya mati kemalangan dan berlaku peristiwa-peristiwa ‘jenazah tidak diterima tanah’.
Filem ini membawa cerita mudah dan biasa. Tiada keluarbiasaan di sini. Oleh itu apabila Dr. Megat, seorang daripada ahli panel forum mengatakan filem ini sebagai filem ‘cerdik’, saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan filem cerdik itu. Filem ini tidak pun memerlukan penonton berfikir. Ceritanya berlangsung sepertimana kita (zaman saya) membaca cerita “Bercakap dengan Jin” Tamar Jalis yang menghidangkan hiburan kisah-kisah pelik alam ghaib. Bahkan dalam satu segi, saya tidak nampak apa falsafah pun dalam filem ini. Apa yang cerdiknya Dr. Megat?
Filem ini dikatakan sebagai mempunyai pengisian keagamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa Bade melakukan usaha yang baik, juga didorong oleh niat yang baik untuk memaparkan kisah yang memberi teladan keagamaan (Islam). Tetapi filem ini bagi saya adalah filem pengisian keagamaan yang slapstick. Dalam ertikata lain, pengisian keagamaan yang kasar. Sesebuah filem harus wujud sebagai sebuah medium seni. Maka itu sebagai medium seni, nilai keindahan itu harus wujud kerana nilai seni iaitu keindahan itu yang menentukan mutu sesebuah karya seni tersebut.
Saya juga tidak bersetuju dengan konsep polos dan slapstick, filem keagamaan kononnya yang memasukkan unsur-unsur negatif yang keterlaluan seperti lakonan minum arak, lagak seks, dan babak peluk cium boleh ‘dihalalkan’ atas alasan untuk menunjukkan transformasi hitam ke putih. Sebuah filem, apabila cenderung apatah lagi mengakui filemnya dibuat atas tujuan membawa kesedaran dalam ertikata menjadi filem pengisian keagamaan (religious content) – harus sempurna mengikut hukum agama tersebut. Maknanya apa-apa yang bertentangan dengan hukum agama, tidak kira ia lakonan (seperti adegan peluk cium lelaki wanita dsbnya) harus ‘diharamkan’.
Mengatakan filem kita sebagai filem dakwah, tetapi mempromosikan perbuatan maksiat atas alasan apa pun adalah sesuatu yang menjengkelkan. Sepertimana yang berlaku pada filem Akhirat ‘yang buruk’ dahulu. Saya bukan ustaz dan ingin menjadi polis moral di sini, tetapi kita harus jelas dengan pemahaman terhadap konsep dan idea yang ingin kita tampilkan. Jika tidak kita hanya mengulangi kejahilan Yasmin Ahmad yang kononnya cuba memberi tafsiran tersendiri terhadap Islam tetapi akhirnya mendedahkan kejahilannya yang sangat ketara tentang Islam.
Usaha dan niat Bade adalah suatu yang sangat baik. Tetapi Bade harus membuat ‘kerja rumah’ yang mendalam membabitkan amalan dan pemikiran Islam untuk memenuhi niatnya yang baik itu. Semoga filem-filem Bade selepas ini mempunyai subtances yang lebih menusuk akal dan jiwa, bukan sekadar cerita “Bercakap dengan Jin” lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
tak buat salah.. dah buat pun salah.. hahaha!
sekadar memberi pandangan, terbuka untuk dihujah kembali. mungkin ada pandangan lain yang boleh membuka minda
Aduh bapak SN,
katanya mahu santai-santai blognya. Lo, kenapa masih geger-geger lagi? Bukankah pembikin filem negara kita tidak belajar bikin filem. Yang penting ada ongkosnya.
Aduhhh, gawat ni pak. Udah, ayuh kita rancang ke Iran pula untuk lihat filem mereka. Ya, kita masuk panggung terus sambil menikmati setangkai kurma.
Ayuh, payah banget terus ke Gaza aja.
menarik
Salam Zakir,
Baru terjumpa blog ni. Tengok promo kat TV & baca ulasan blogger2 sebelum ni, rasa semangat berkobar-kobar betul nak pergi tengok MAUT. Apatah lagi bila hari tu kat dalam TV1, Bade ada buat statement maut,"filem sebagai satu jihad". Tapi bila baca blog ni, jadi tersentap la pulak!
review yang sedikit berbeza. aku suka kerana aku berfikir tentangnya.
Post a Comment