Thursday, August 20, 2009

LANGUAGE AND LANGUAGE TEACHING CONFERENCE-INTERNATIONAL



Dari kiri; saya (SUA PENA), Prof Dr. Adisa Teo (Dekan FoLA), Datuk Bandar Hatyai, John Scaco (Duta AS di Bangkok), Dr. Paul Kei Matsuda (Arizona State Uni, USA), dan Huw Jarvis (Uni. of Salford, UK).


Pada 14-16 Ogos berlangsung Seminar Bahasa dan Pengajaran Bahasa (Language dan Language Teaching - International) di Prince of Songkhla University, Thailand. Seminar ini adalah anjuran bersama Faculty of Liberal Arts dan PENA, yang turut mendapat tajaan pelbagai pihak. PENA mendapat tajaan daripada Institut Terjemahan Negara (ITNM) bagi menjayakan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dalam bidang bahasa dan pendidikan. Saya hadir di atas kapasiti Setiausaha Agung PENA bersama Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden PENA yang juga merupakan wakil rasmi PENA dalam memberikan ucapan di majlis penutup. Para pembentang antaranya Dr. Paul Kei Matsuda dari Arizona State University, Huw Jarvis dari University of Salford, UK, Sue Kay dari Macmillan dan ramai lagi.

Seminar ini telah melonjakkan nama PENA di peringkat negara serantau dan antarabangsa khususnya jiran yang paling dekat iaitu Thailand. Kerjasama ini bermula apabila PENA menjalinkan hubungan dengan Persatuan Penulis Thailand (Semakhom Nakhian Thai) untuk aktiviti sastera. Apabila PENA diundang untuk mengadakan bengkel bahasa Melayu di Prince of Songkhla University, pihak Faculty of Liberal Arts universiti terbabit mengambil usaha untuk melibatkan PENA dalam beberapa program pendidikan mereka dalam menjalinkan hubungan awal dengan pihak dari Malaysia.

Dari situlah hubungan terus berlangsung sehingga hari ini. Hasil daripada hubungan ini PENA telah berjaya menubuhkan Kelab Bahasa Melayu di Prince of Songhkla University dengan usaha daripada pensyarah bahasa Melayunya Wanida Tehlong. Saya melihat hubungan ini sebagai usaha untuk membantu perkembangan bahasa Melayu di Thailand, khususnya dalam wilayah Songkhla ini. Sememangnya bahasa Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi di Songkhla. Terdapat empat universiti di Songkhla yang sekarang berminat untuk mengembangkan bidang pengajian bahasa Melayu.

Walaupun seminar dan program yang diadakan bersama dengan Faculty of Liberal Arts dijalankan dalam bahasa Inggeris dan melibatkan bidang bahasa Inggeris serta bidang lain seperti sains dan juga sains sosial, tetapi ini adalah satu-satunya cara untuk berhubungan secara rasmi dengan pihak universiti di Thailand, kerana mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan kita tidak tahu berbahasa Thai. Namun dari sini, hubungan dapat dimulakan dan seterusnya dapatlah dilaksanakan program-program bahasa Melayu termasuk memperkenalkan sastera tradisional seperti syair, pantun, sajak dsbnya. Ia dapat dijalankan dengan rasmi dan mendapat dokongan pihak pentadbiran di sana. Jika tidak melalui hubungan sebegini, bahasa Melayu dan penggiat bahasa Melayu mungkin akan dipandang curiga lantaran konflik yang berlaku di empat wilayah selatan Thailand itu. Maka itu kami datang dan masuk melalui saluran rasmi dan mengkhusus kepada bidang pendidikan dan kebudayaan. Alhamdullilah kami disambut dengan amat baik oleh pihak universiti, NGO dan kerajaan Thailand.

Untuk masa ini, saya dimaklumkan bahawa tiada badan atau institusi dari Malaysia yang membantu secara konsisten dan jangka panjang pihak universiti di Thailand ini dalam usaha mengembangkan pengajian bahasa Melayu. Jika adapun ia hanya bersifat ad hoc. Saya dan Saleeh Rahamad membawa PENA untuk terlibat membantu pengembangan bahasa Melayu dalam kapasiti yang terhad di sini mungkin atas sedikit rasa kesedaran dan selebihnya adalah permohonan daripada rakan-rakan kami di Thailand yang meminta kami datang membantu program bahasa Melayu mereka. Abdul Razak Panaemale, Wanida Tehlong, Kamaruddin Esayah, Aminah Yasale, Harith Che Do adalah antara pensyarah di beberapa universiti di sini yang berhubungan rapat dengan kami di PENA dalam menggiatkan program-program bahasa Melayu.

Kami di PENA hanya mampu membantu sekadar yang termampu. Maka bantuan dan sumbangan pihak seperti ITNM sangat besar ertinya bukan sahaja kepada PENA tetapi lebih besar lagi kepada pihak-pihak yang berjuang mengembangkan pengajian bahasa Melayu di wilayah Songkhla ini.

No comments: