Wednesday, August 12, 2009

SECAWAN KOPI MANIS

Dewi

Ruang sejuk ini bukan kayangan
yang menumpahkan cetera
seorang raja pemilik kesaktian
yang mampu menewaskan
raksasa dan bota kerana mengikut mimpi
mencari puteri di negeri nan jauh
ia hanyalah ruang sejuk
tempat kita meneguk kopi
sambil menunggu pesawat
mengangkat kita ke langit

kau adalah dewi yang tiba-tiba
jatuh dari langit angan-angan
setiap lelaki yang tiba
membawa buntilan raga
dari hati yang sering jatuh dan luruh
dalam kayangan dewa dan dewi
kopiku terasa manis saat hatiku
jatuh dan mengacau gula di dalamnya

apakah setiap saat sang dewa
mampu memanah cintanya
menembusi jajaran pokok
untuk membuktikan kesaktian
demi merebut cinta sang dewi

aku tentunya lelaki yang tidak punya
panah dan busur yang mampu
memanah hati sesiapa
cuma mengharap seteguk kopi
menghilangkan dahaga dari perjalanan
yang lelah mengitari kota
yang penuh cinta, dewa dan dewi


S.M. Zakir
Bandung,
8 Ogos 2009

8 comments:

Rahimidin Z said...

Syeikh, mai kita terbit antologi kedua untuk tahun 2009. Saja nak suruh kekawan rasa nak terbit buku sajak jugak le.

Sham al-Johori said...

Tuan Pak Lurah,
Wah wah wah, sajak kali ini menerawang ke langit dewi.
Tapi rasanya, antara pak supir, pak dosen dan pak lurah; agak-agaknya siapa yg jadi pilihan.

Alamak teringat pula sajak "A bread and a cup of coffee" karya William Blake. Minum kopi tapi mentafsir hati sang dewi.

Hehehehe.

Jom buat kumpulan sajak baharu. Jangan lupa ajak Pak Saleeh sekali sebab dia lagi banyak mengorak langkah daripada kita. Sajak-sajak dia pun ganas.

Arnab Zamrud said...

Amboi amboi maboi... sejak jumpa Dewi Sunda di Bandung, Pak Sudin, Pak Zakir dan Pak Leeh tak habis-habis berangan...

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan,
Asyik dan enak membaca sajak ini... Tahniah!
Tapi jangan lupa ya sumbangan sajak untuk GL juga...
hehehe...

Korakora said...

aik baru jumpa dewi bandung di airport, terus tribute satu puisi panjang? hehehe

D'Rimba said...

Wah bersajak nampak tuan....Huhuhu....Saya tetap mengidamkan kopi kampung asli...

mariahsj said...

Hmm, patutlah berseri-seri je muka kebelakangan ini. Novel dah siap ke? Sebelum ramadhan, kita minum kopi dulu kemudian berbincang. Amacam?

S.M. Zakir said...

ya, sheikh sudah dalam proses siapkan buku sajak. buke satu tapi dua terus.

pak supir, kena tengok balik cerita bujang lapok di negeri pasir berdengung, aik, mau ke mana tu. aku mengigau la.

helen, saja lari tajuk sebab nak elak orang tau kami banyak 'bodoh membeli'

tuan rusdi, sajak gunung ledang jap lagi terpampang di blog

nazmi, takkan nak tribute sajak ke demo pulak, apa barang...

d'rimba, kopi bandung memang sedap, manis banget

mariahsj, dalam proses kak... mesti beres sebelum terbenam matahari ramadhan he he