Ini kulit edisi kedua sebenarnya.
gambar asalnya putih dengan tulisan diemboss. jadi jika lihat dari jauh kulitnya semua putih kecuali nama S.M. Zakir (kononnya macam kulit band Metallica waktu itu, yang semua hitam)
Sekalung tahniah kepada Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang dianugerahkan Anugerah Sasterawan Negara ke-10 oleh Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada malam tadi 20 Oktober 2009 di Hotel Palace of the Golden Horses.
Saya mengenal karya Anwar Ridhwan sejak usia belasan tahun. Saya lebih memesrai cerpen-cerpen beliau berbanding novel dan drama. Anwar Ridhwan adalah penulis yang bagi saya, 'kemas dan bersih' karya-karyanya. Secara peribadi saya ikut terpengaruh dengan kekemasan karya beliau. Inilah identiti Anwar Ridhwan, karya-karyanya sangat kemas dan bersih sehingga satu ketika saya pernah menyuarakan kepada beliau (dalam satu wawancara) bahawa tulisan beliau terlalu kemas dan bersih untuk diangkat ke panggung teater. Anwar Ridhwan menjawab bahawa itulah dirinya. Saya akur dan akhirnya mengerti bahawa setiap seniman besar harus sentiasa menjadi dirinya sendiri, walau dalam apa keadaan pun.
Sehingga sekarang saya melihat Anwar Ridhwan yang tidak berubah, tekal dan teguh sebagai dirinya sendiri. Peribadi Anwar Ridhwan juga sangat menarik; pendiam, serius, kemas, rapi tetapi mesra dan merendah diri. Suatu ketika saya ingin mendapatkan tulisan beliau untuk kata pengantar kumpulan cerpen saya 'Sekuntum Kembang di Sayap Jibril'. Saya memilih dan menetapkan bahawa Anwar Ridhwan adalah tokoh yang harus menulis kata pengantarnya. Tidak dapat tidak mesti Anwar Ridhwan. Tetapi masa itu saya hanya penulis gelandangan. Bagaimana saya harus mendapatkan kata pengantar daripada seorang tokoh penulis yang juga menjawat jawatan tinggi sebagai pengarah penerbitan di DBP. Saya tidak pernah berbual dengan beliau sebelum ini.
Saya memberanikan diri untuk bertemu beliau di pejabat. Hairannya saya dibenarkan masuk tanpa temujanji, dan terus beliau menyanggupi untuk menuliskan kata pengantarnya. Saya terkedu. Bahkan ketika kata pengantar itu saya terima, ia adalah tulisan yang cukup serius dan bersungguh-sungguh. Saya menerbitkan kumpulan cerpen itu sendiri, dengan dana yang senak-senak. Saya juga tidak mampu untuk membayar honorarium pada Anwar Ridhwan yang telah bersungguh-sungguh menuliskan kata pengantar itu. Ia membuatkan saya terhutang budi yang amat besar sehingga ke hari ini. Saya ketika itu sesungguhnya tidak menjangka bahawa Anwar Ridhwan akan melakukan sesuatu yang begitu besar kepada saya pada waktu itu. Seorang tokoh penulis yang cukup saya kagumi.
Sehingga hari ini Sekuntum Kembang di Sayap Jibril sangat istimewa kepada saya, bukan kerana cerpen-cerpennya, bukan kerana memenangi Anugerah Sastera Kelantan tetapi kerana kata pengantarnya ditulis oleh Anwar Ridhwan!