Friday, October 2, 2009

KELANTANISME




Di Pantai Bachok, Kelantan. Kelantan negeri tanah tumpah darahku dulu, kini dan selamanya.


Pertama, saya membaca tulisan Lutfi di blognya tentang Kelantanisme. Banyak perkara yang bersalahan tanggapan di situ. Bagi saya tidak adil untuk disebut tentang Kelantanisme sedangkan ia berlaku sebagai satu sifat tabii yang sukar untuk kita huraikan. Ia bukan sahaja Kelantanisme tetapi juga Kedahisme, Selangor-Jawanisme, Johorisme, Sabahisme dan sebagainya. Ketika Mahathir memerintah, Kedahisme muncul dalam wajah korporat-kapitalis kuncu Daim-Halim-Tajuddin melahap segala projek mega yang menyedut wang rakyat. Ketika Khir Toyo berkuasa di Selangor, SUK Selangor dikuasai Selangor-Jawanisme yang membolot projek-projek negeri. Belum lagi kita bercakap tentang Johorisme dalam UMNO sekarang, apatah lagi Sabahisme yang kental di sana. Sebenarnya ia adalah tabii berbangsa dan berkelompok yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Kaum Cina yang mengatakan diri mereka bukan rasis itu juga tentunya tidak mahu melihat bangsa lain memimpin mereka jika mereka berpeluang berkuasa. Lihat sahaja di Singapura dan sekarang di Pulau Pinang. Tetapi ia juga tidak boleh dipersalahkan, kerana tabii manusia yang tidak dapat kita sangkalkan. Maka baik juga untuk menghalusi Muqaddimah Ibnu Khaldun bagi memahami tabii berbangsa dan berkelompok ini sebelum berprasangkan kapada mana-mana pihak.

Kedua, saya tentunya anak Kelantan yang kental rasa cinta kepada negeri saya, Kelantan. Beberapa hari lepas saya membaca akhbar berita harian tentang pengucapan puisi di Kelantan pada aidil fitri yang lepas. Ramai penulis Kelantan dipaparkan, termasuk Rahimidin dan berita itupun ditulis oleh Nazmi. Saya tertanya apakah saya ini penulis Kelantan lagi. Nama saya selalu tercicir dari senarai penulis Kelantan. Saya diundang ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga untuk berkongsi pandangan tentang sastera. Tetapi malangnya bukan Kelantan. Seingat saya hanya 2 atau 3 kali semuanya dari DBP. Saya tentunya bukan meminta tetapi merasakan bahawa penulis Kelantan kurang kepekaan untuk menghargai warganya sendiri. Saya biasa mendengar ini dari mulut abah saya arwah S. Othman Kelantan sendiri. Kelantanisme tentunya tidak terpakai langsung dalam konteks ini.

Ketiga, saya meninggalkan Kelantan ketika usia saya 10 tahun. Sejak itu hingga hari ini saya tidak pernah berhari raya aidil fitri di Kelantan. Malangnya saya, jika pulang ke Kelantan sekarang terpaksa tidur di Hotel, dan jika memandu kereta saya tidak tahu jalan mana yang nak dituju. Saya mungkin lebih mahir jalan di semua bandar pantai barat berbanding di Kelantan (bahkan lebih tahu jalan di Jakarta dan Bandung dari di Kelantan, En Saleeh boleh confirm). Tetapi saya masih tetap mengaku dengan bangga saya orang Kelantan, walau saya hanya mengangguk ya ya bila disebut tempat-tempat yang saya tidak tahu pun mana letaknya di Kelantan. Kelantanisme memang terpakai dalam konteks ini.

Akhir kata, teman-teman akrab saya zaman persekolahan ialah Mat Gorilla anak Setiawan Perak, Mat Said anak Muar Johor (jawa-banjar), Mat Nor anak Kuala Kedah, Tapa jawa dari Sabak Bernam, Anan minang dari Batu 10 Cheras, Jeni Minang dari Sg Sekamat Kajang, Udin anak Rembau Negori Sembilan, Fuad Zul Anees Rashid dari Pulau Pinang - dan isteri saya dari Alor Gajah Melaka. Kelantanisme sekali lagi tidak terpakai langsung dalam konteks ini. Tetapi saya tetap oghe klate walau anak2 saya tak tahu lagi kecek klate.

Raya kedua tahun ini saya punggah anak-anak beraya di Cherating, mandi laut.

8 comments:

Rositah Ibrahim said...

Salam,
Sudah lama ikuti blog ini, tapi tak pernah respon.

Dalam beberapa hal, kita ada persamaan - anak-anak tak tahu bercakap dialek Kelantan, tidak kenal selok-belok jalan di Kelantan, saya juga tidak shopping di Kelantan! Tapi saya tetap ada "Kelantanisme" - bila anak murid saya tidak beri perhatian semasa saya mengajar, saya switch ke dialek Kelantan! Dan tetap rindu pada tanah Kelantan...

lutfi said...

Sekular betul, raya kedua dah pi Cherating, hehe.

S.M. Zakir said...

ya, rositah nostalgia tanah lahir tidak akan hilang dari jiwa kita.

Lut, ada kampung tapi seberang laut... he he

Sham al-Johori said...

nama kampung tu dah bertukar ke nama 'tanah di dalam laut'. hehehe

hidup jawa!

Sham al-Johori said...
This comment has been removed by the author.
saleeh rahamad said...

komen haji sham yang kena delet tu apa yang ditulisnya? syak wasangka la teman.haji sham sesekali bercakap memang bersiung telinga kita. kena toleh depan belakang takut orang lain dengar.dia bukan kira sangat.

S.M. Zakir said...

dia sendiri yang delete. Takbir dalam bahasa jawa kut...

S.M. Zakir said...

... atau ganyang Malaysia dalam bahasa Jawa... bukan boleh caya... kuat jawanisme tu. Tapi kata lut kat rumah saya hari, nazmi kena cong kat aji sham je, jawa pun tak tahu ada ngapora sedulur... itu keluarga dia je buat tak ada kena mengena dengan adat jawa pun keh keh