Saturday, May 24, 2008

POLITIK BARU DAN SEJARAH KOLONIAL

PRU12 sebenarnya mencatat satu sejarah perubahan besar dalam landskap politik di Malaysia. Ia memunculkan apa yang disebut sebagai Politik Baru. Politik Baru melibatkan perubahan topografi politik daripada politik berasaskan perkauman kepada politik berasaskan kelas. Selama 50 tahun sistem dan orientasi politik Malaysia berdiri di atas matlamat perimbangan dan kesaksamaan kaum yang menyaksikan kuasa politik diperolehi daripada kesetiaan serta sokongan yang bersifat perkauman. Pengkotakan kaum yang mengasingkan antara satu kaum dengan kaum yang lain ini menjadi landasan utama untuk mengekalkan kekuasaan politik. Parti-parti pembangkang yang muncul juga turut terperangkap di dalam gelung politik perkauman ini walaupun pada asasnya, ia ditubuhkan untuk memecahkan sistem politik perkauman.

Namun PRU12 telah menyaksikan parti pembangkang yang diterajui oleh PKR, PAS dan DAP telah berjaya – walaupun tidak sepenuhnya – memecahkan sistem politik perkauman ini dan seterusnya meruntuhkan institusi politik yang mendokong sistem politik perkauman tersebut. Kejayaan ini menjadikan titik tolak yang penting kepada kewujudan sebuah sistem Politik Baru, yang bertolak di atas landasan perimbangan dan kesaksamaan kelas.

Sejarah politik Malaysia merdeka sebenarnya adalah berhubung rapat dengan sejarah kolonial Inggeris yang mula bertapak secara rasmi di negeri-negeri Melayu selepas Perjanjian Pangkor 1874. Seperti yang diketahui titik mula sejarah kolonial ini tercatat pada tahun 1786 oleh pendudukan koloni pertama di Pulau Pinang. Kemudian Inggeris mendirikan sebuah lagi koloni di Singapura pada tahun 1819, dan seterusnya mendirikan sebuah lagi koloni di Melaka pada tahun 1826 hasil daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Seterusnya Inggeris mewujudkan Negeri-negeri Selat yang ditadbirkan sebagai Tanah Mahkota atau Tanah Jajahan (Crown Colonies).

Penubuhan persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dan kemudiannya persekutuan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1901 menyaksikan kolonialisasi Inggeris memperolehi pengaruh dan penguasaan yang mantap di Semenanjung Tanah Melayu. Bagi mengekalkan pengaruh dan kuasa ekonomi politiknya, Inggeris perlu melemahkan potensi penentangan rakyat peribumi iaitu Orang-orang Melayu terhadapnya. Dua bentuk pendekatan utama yang dilakukan oleh Inggeris ialah memperkenalkan sistem politik moden dengan penyerapan idealogi ‘kerajaan baik’ (good government). Sementara pendekatan kedua ialah memperkenalkan sistem ekonomi moden kapitalis-imperial.

Ideologi ‘kerajaan baik’ ini seperti yang dinyatakan oleh Collin Abraham ialah “good government on the one hand, and empire on the other’. Ia memperlihatkan usaha Inggeris menanamkan kepercayaan kepada rakyat peribumi (Melayu) tentang keupayaan luarbiasa Inggeris dalam mentadbir negara dengan penguasaan ilmu-ilmu dan struktur pentadbiran moden, sekaligus menyerapkan keunggulan bangsa Inggeris. Dalam masa yang sama keadaan ini dieksploitasikan untuk mewujudkan kompleksiti diri-kecil iaitu perasaan inferioriti peribumi Melayu terhadap diri mereka berbanding dengan bangsa kulit putih Inggeris. Dengan pendekatan penjajahan psikologi dan pragmatisme politiknya ini, Inggeris mencapai matlamat kebergantungan secara menyeluruh rakyat peribumi kepadanya.

Pendekatan kedua Inggeris ialah memperkenalkan ekonomi moden kapitalis-imperial, yang memberikan Inggeris alasan dan peluang untuk melemahkan penguasaan ‘daerah warisan’ peribumi Melayu dengan membawa masuk buruh-buruh imigran dari China dan India seramai-ramainya sehingga pada suatu ketika populasi imigran melebihi populasi penduduk peribumi. Kehadiran imigran ekonomi ini selain daripada menjana keuntungan kepada perdagangan Inggeris di Tanah Melayu, juga memberikan Inggeris peluang untuk melemahkan orang Melayu dengan menyediakan ruang konflik oleh kehadiran para imigran ini.

Bagi memastikan ruang konflik ini dapat dikekalkan dalam darjah yang tertentu, Inggeris melakukan tindakan secara sengaja untuk mewujudkan hubungan yang tidak selesa antara peribumi dan imigran. Inggeris memerlukan ruang konflik ini untuk mewujudkan suasana kebergantungan peribumi dan imigran kepadanya, seterusnya menyediakan sebuah ruang penguasaan yang selesa kepada Inggeris. Ini adalah kerana suasana konflik peribumi dan imigran menjadikan setiap pihak curiga-mencurigai, bermusuhan serta melihat perbezaan sebagai ancaman besar terhadap hak keperibadian masing-masing, dan akhirnya menjadikan kedua-dua pihak meletakkan diri mereka dalam perlindungan politik Inggeris.

Kedua-dua pendekatan politik dan ekonomi ini kemudiannya diarahkan kepada usaha bersepadu Inggeris untuk mewujudkan apa yang disebut sebagai antagonisme etnik (ethnic antagonism). Keadaan ini merupakan pengacauan atau eksploitasi Inggeris terhadap hubungan kaum peribumi-imigran berlandaskan doktrin self-others yang menjadikan setiap etnik melihat etnik yang lain sebagai ancaman bukan sahaja terhadap hak, budaya, agama dan survival mereka tetapi juga punca kepada segala kegagalan serta nasib buruk mereka. Hal ini melahirkan stereotaip etnik (ethnic stereotype) yang saling melihat wajah buruk sesama mereka dalam hubungan etnik yang sentiasa mempunyai potensi konflik.

Stereotaip etnik ini menjadi cara membentuk prinsip pemerintahan dan kawalan kuasa oleh Inggeris. Kepentingan ekonomi-politik Inggeris memerlukan buruh murah serta golongan comprador (penguasa kaum yang mewarisi mentaliti penjajah) dan kerajaan yang mementingkan kutipan cukai serta keuntungan dagang lebih daripada integrasi sosial. Bahkan demi untuk mencapai matlamat keuntungan material, kolonial Inggeris yang didokong oleh golongan comprador ini mengorbankan malah menindas golongan rakyat bawahan yang dipimpin mereka. Intergrasi sosial adalah satu ancaman kepada kekuasaan kolonial-comprador ini, kerana ia memungkinkan lahirnya potensi untuk golongan yang tertindas ini bersatu, menjadi kuat dan akhirnya menentang kelas penguasa dan atasan yang menindas mereka.

Dengan adanya pengkotakan kaum iaitu sebuah dasar ‘compartmentalisation’, yang menjadikan setiap etnik atau kaum itu mewujudkan potensi konflik antara mereka, Inggeris dapat menjadikan diri mereka sangat kuat dan kelas bawahan yang diperlukan mereka sebagai alat pengeluaran itu sangat lemah dan sangat bergantung kepada Inggeris. Kaedah ini menjadi asas kepada legitimasi Inggeris dalam menegakkan kuasa kolonial mereka (fundamental legitimation for colonial rule).

Orde Politik Lama yang diwakili oleh kuasa politik Perikatan yang kemudiannya bertukar kepada Barisan Nasional sepanjang lima dekad sejak kemerdekaan Malaysia ini, sebenarnya adalah suatu bentuk legitimasi kuasa berasaskan antagonisme etnik yang diwarisi daripada sistem kolonial Inggeris – yang bergantung kepada ruang konflik antar-kaum untuk mewujudkan kuasa politik mereka. Dan apabila ruang konflik antar-kaum ini tidak lagi wujud, maka institusi politik yang berdiri sepanjang lima dekad itu akan turut hancur. Hal inilah yang sekarang dihadapi oleh Barisan Nasional dan ia bukan lagi sesuatu yang membimbangkan tetapi adalah gelombang besar yang akan memusnahkannya.

Namun balikan daripada itu, suatu gelombang bahaya hasil daripada counter attack politik orde lama ini yang cukup mengkhuatirkan kedirian Politik Baru ialah penjanaan besar-besaran sentimen perkauman, yang akan kembali menghidupkan antagonisme etnik yang cukup memudaratkan itu. Kerana usaha ini merupakan tindakan terdesak dan tindakan terakhir orde politik lama untuk berjuang bagi nyawa mereka.

Mingguan Wasilah, 18-25 Mei 2008

Monday, May 19, 2008

BAHASA MELAYU, NAJIB DAN HISHAMUDDIN

Tun Abdul Razak Hussein telah diamanahkan untuk menggubal sebuah dasar pendidikan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1956. Dasar ini dikenali sebagai Penyata Razak yang telah diluluskan pada 7 Mac 1957 dan dikuatkuasakan pada 15 Jun 1957. Mengikut Zainal Abidin Abdul Wahid, tujuan pokok Penyata Razak terkandung dalam perenggan 12 Penyata itu yang berbunyi, “Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.’

Tun Abdul Razak seorang yang pragmatik dan bijak dalam mengatur dasar untuk sebuah negeri yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, yang bererti persekutuan negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini. Kemerdekaan Tanah Melayu bererti Inggeris telah memulangkan tanah orang Melayu kembali kepada orang Melayu. Maka dengan itu, sebuah dasar pendidikan dan pentadbiran yang menggunakan bahasa Melayu wajib diinstitusikan. Tun Abdul Razak seorang nasionalis yang tegas dan bijak. Dengan itu pada masa yang sama beliau dapat menyetarakan keputusan tersebut untuk dipersetujui oleh kaum Cina dan India dalam suasana yang baik.

Penyata Razak ini telah diperelokkan dengan lahirnya Laporan Rahman Talib yang menjadi asas Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Tetapi apabila Najib menjadi menteri pendidikan, tahun 1995 menyaksikan bagaimana Najib yang akur kepada keghairahan pragmatisme-songsang Mahathir telah bertanggungjawab di atas penggubalan lima akta berkaitan pendidikan yang sekaligus menjadi usaha untuk memansuhkan Akta Pelajaran 1961. Usaha untuk membunuh Akta Pelajaran 1961 ini mencapai puncaknya apabila peruntukan yang memberikan Menteri kuasa ke atas penggunaan bahasa penghantar dimaktubkan. Apa yang dilakukan oleh Najib ini dilaksanakan ketika Akta Pelajaran 1961 masih berkuatkuasa dan maka itu ia sama sekali bertentangan dengan kehendak dan ruh Penyata Razak serta Laporan Rahman Talib.

Najib ternyata telah mengkhianati usaha, cita-cita dan perjuangan ayahandanya sendiri iaitu Tun Abdul Razak. Dalam pada itu tindakan Najib juga telah mewujudkan ruang kabur tentang keakuran terhadap pemaktuban undang-undang dan Perlembagaan Negara. Tindakan yang tidak merujuk kepada Perlembagaan Negara ini berlaku sekali lagi apabila pada tahun 2007, Najib menukarkan istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sedangkan istilah bahasa Malaysia tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Negara (Perkara 152) kerana sememangnya istilah dan definisi ‘bahasa Malaysia’ tidak ada, yang ada ialah bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan yang merujuk kepada fakta dan metodologi peristilahan yang sebenar. Apa yang dilakukan oleh Najib kemudian disambung oleh Hishamuddin.

Apabila Hishamuddin mengambilalih Kementerian Pelajaran, apa yang dilakukan oleh Hishamuddin ialah memperjuangkan keputusan autokratik-despotik Mahathir yang dibuat pada tahun 2003, iaitu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Hishamuddin menjadi tunggak kepada perjuangan menghapuskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila penggunaan bahasa Inggeris ini menguasai lebih 80 peratus medium bahasa penghantar ilmu dalam dunia pendidikan di Malaysia. Mutakhir ini Hishamuddin telah membuat kenyataan bahawa teks kesusasteraan Inggeris akan mula digunakan di sekolah-sekolah rendah. Ini menunjukkan keghairahan dan pendewaan yang tinggi Hishamuddin terhadap bahasa Inggeris, sekaligus ‘membunuh’ bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh unggul UMNO sebelum ini.

Hal ini sebenarnya memperlihatkan beberapa faktor atau sisi ‘kekalahan’ UMNO yang tidak diteliti atau diambil perhatian oleh penganalisis politik. Umumnya ia berkaitan dengan penafian hak bahasa Melayu tetapi jika pergi lebih dalam kita akan melihat tentang kewujudan golongan elit bangsawan UMNO yang lahir di atas dulang emas, dan tidak mempunyai jiwa dan semangat perjuangan yang dipunyai oleh tokoh-tokoh pejuang tulen UMNO seperti Tun Abdul Razak dan sebagainya. Najib dan Hishamuddin adalah contoh elit Melayu UMNO yang pada hakikatnya tidak merasai dunia masyarakat Melayu yang hakiki. Kedua-dua mereka membesar dalam dunia pendidikan Barat, terlatih cara pandang dan kehidupannya mengikut acuan Barat. Bahkan kehidupan mereka pada hakikatnya tidak memerlukan bahasa Melayu, budaya dan wajah rupa Melayu. Dalam ertikata lain, jiwa keMelayuan mereka adalah nipis dan artifisial.

Mereka mempunyai jarak pengamalan hidup dan budaya yang amat jauh daripada masyarakat Melayu yang ingin mereka juarai. Lantaran itu kecintaan mereka kepada budaya bangsa seringkali kosong dan keliru. Maka itu mereka tidak merasa perasaan cinta yang dalam kepada bahasa Melayu. Mereka dibesarkan dengan simbol-simbol yang dibina baik melalui bahasa atau melalui budaya yang jauh terpisah daripada jiwa dan ruh keMelayuan. Dengan itu apabila mereka menjadi pemimpin bangsa Melayu, mereka hanya melihat kepada aspek-aspek kosmetik dan tidak mampu untuk menyelam dalam ke dalam jiwa sanubari bangsa Melayu.

Najib tidak menempuh zaman gelora penuh semangat seperti yang ditempuh oleh Tun Abdul Razak, sebaliknya lahir di atas dulang emas dan hidupnya keluar daripada lingkaran budaya dan ruh dunia Melayu. Begitu juga Hishamuddin tidak melalui zaman penuh perjuangan seperti yang dilalui datuknya Onn Jaaffar, sebalik hidup dalam dunia elitis-Barat. Hal ini memperlihatkan wujudnya era generasi elit bangsawan UMNO yang sangat besar jurangnya dan jauh jaraknya daripada kehidupan hakiki dan pemikiran rakyat Melayu umum. Generasi baru aristokrat-borjuis UMNO ini lahir dengan jiwa budaya yang kosong dan ruh yang terapung-apung tanpa akar. Najib, Hishamuddin, Mukhriz, dan ramai lagi generasi ketiga UMNO termasuk anak-anak muda yang tidak tahu sejarah dan budaya Melayu bangkit untuk menjadi pemimpin UMNO – pemimpin orang Melayu. Tetapi apa yang dapat mereka lakukan hanyalah kerosakan kepada hati dan jiwa orang-orang Melayu.

Keputusan PRU12 sebenarnya juga disebabkan oleh faktor-faktor ini, iaitu ketidakyakinan orang Melayu yang melihat dari sudut budaya serta ketulenan jiwa pemimpin Melayu, dan ketidakyakinan orang bukan Melayu yang melihat dari sudut keadilan sosial dan ekonomi.

Bahasa Melayu adalah lambang ketulenan jiwa pemimpin Melayu, malangnya ia dipandang remeh dan dianggap faktor kecil oleh ‘generasi kosong’ UMNO ini, tetapi percayalah jika bahasa Melayu terus diremehkan – PRU13 akan menyaksikan tindakan senyap orang-orang Melayu untuk menamatkan sejarah UMNO.

Bangsa Melayu sebenarnya tidak berpecah tetapi mereka kini menghukum!

Mingguan Wasilah, 11-17 Mei 2008

Friday, May 9, 2008

BAHASA MELAYU DAN BAYANG MAHATHIRISME

Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan dua langkah drastik yang menyaksikan ketetapan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman dan Suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah yang bebas daripada kuasa Badan Eksekutif, dalam tempoh tidak sampai dua minggu. Tindakan drastik ini dilakukan setelah beberapa serangan bertalu-talu Mahathir dua beranak bersama Mukhriz meminta Pak Lah meletakkan jawatannya. Mukhriz tentunya seorang ‘anak bapak’ apabila menyatakan ramai orang sayangkan bapanya dan meminta pandangan bapanya itu diberikan tempat yang tinggi. Siapa yang sayangkan Mahathir? Mungkin Mukhriz perlu pergi ke Memali dan bertanya janda serta anak-anak yang kehilangan suami dan bapa dalam peristiwa ‘Ibrahim Libya’. Mukhriz juga perlu pergi bertanya isteri dan anak-anak Yazid Supaat serta beberapa orang yang dikatakan terlibat dalam Kumpulan Militan Malaysia, sehingga kini dizalimi merengkok dalam tahanan ISA selama lapan tahun. Mengapa mereka tidak dibicarakan jika benar-benar mereka bersalah? Atau boleh juga bertanya kepada hakim-hakim yang dicampak maruah mereka oleh Mahathir kerana mempertahankan keadilan. Tanyalah kepada mereka wahai Mukhriz apakah mereka sayangkan Mahathir yang menzalimi suami, bapa dan saudara mereka itu. Mungkin Mukhriz bertemu beberapa orang tua yang sudah cukup kenyang melahap hak rakyat atau mereka yang kenyang dengan segala retorik dan pembohongan Mahathir, lalu menyatakan kesayangan mereka kepada Mahathir.

Pak Lah mula kelihatan ingin melepaskan dirinya daripada bayang Mahathir. Selama penggal yang lepas, Pak Lah beku dalam bayang Mahathir mungkin kerana tidak mahu melangkau status quo dan menghormati Mahathir yang melantiknya. Namun membiarkan Mahathir terus membayanginya telah memberikan natijah buruk dalam PRU12. Mungkin ada sebab ekonomi dan apa yang dikatakan juga sebagai isu bread and butter. Tetapi antara sebab utamanya juga ialah membiarkan legasi Mahathir terusan menghantui rakyat Malaysia dengan barisan kabinet ‘orang-orang Mahathir’ dan kesinambungan kleptokrasinya. Maka Pak Lah melakukan langkah drastik yang tentunya bukan sahaja amat bercanggah dengan kehendak Mahathir tetapi juga menakutkan Mahathir dan konco-konconya.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa Mahathir telah meninggalkan sebuah Negara yang makmur dan maju selepas pemerintahannya selama dua dekad. Mahathir adalah seorang nasionalis jalur keras yang kemudian meningkatkan dirinya menjadi seorang nasionalis ekonomi yang berusaha untuk menukarkan Malaysia daripada sebuah Negara yang berasaskan komoditi pertanian kepada sebuah Negara perindustrian baru di bawah pimpinan usahawan-kapitalis bumiputera. Namun kemudian Mahathir mula bertukar rupa daripada seorang ultranasionalis Melayu kepada diktator yang ingin mewujudkan sebuah bangsa baru dalam negara baru yang setia, taat dan patuh kepada seorang pemimpin – Mahathir. Pada masa yang sama, Mahathir yang berpegang kepada prinsip darwinisme sosial itu percaya bahawa masyarakat yang lemah harus menyerap ke dalam masyarakat yang kuat dan mengikut cara kehidupan masyarakat yang kuat tersebut. Kepercayaan dan tindakan ke arah doktrin itu kemudiannya melahirkan Mahathirisme. Mahathirisme melihat Barat sebagai masyarakat yang kuat dan satu-satunya model untuk mencapai kemajuan.

Mahathir memegang tampuk kuasa pada fasa kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah mencapai kemajuan daripada beberapa sudut. Pembinaan fasa kedua DEB oleh Mahathir ‘lari’ daripada perjuangan nasionalisme yang menjadi pengisian fasa pertama DEB, menyaksikan pemecahan masyarakat Melayu kepada bumiputera dan umnoputera. Tumpuan bukan lagi kepada nasionalisme tetapi developmentalism. Bagi melaksanakan developmentalism ini Mahathir telah membaiki sistem demokratik dengan cara membaiki sistem autoritarian. Fasa kedua DEB ini memperlihatkan apa yang disebut sebagai ‘bureaucratic authoritarian state in newly industrializing country’. Daripada asas-asas pemikiran ini Mahathir kemudian menawarkan Wawasan 2020 yang meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dengan kemajuan perindustrian yang pantas, liberalisasi ekonomi, dan pengaturan semula dasar-dasar sosial. Mahathirisme adalah penciptaan sebuah bangsa Malaysia yang berpaksikan ideal sekularisme, kapitalisme, dan darwinisme sosial di bawah subjek authoritarianisme.

Mahathirisme kemudiannya melihat bahasa Melayu sebagai suatu bentuk agen tradisi yang menghalang ke arah cita-cita idealnya. Suatu bentuk renaissance tidak akan muncul jika agen-agen tradisi ini tidak dihapuskan terlebih dahulu. Agen tradisi dilihat sebagai perwakilan kepada kebudayaan atau keperibadian tempatan yang menentang semangat culture of liberalism yang membuatkan pluralisme dapat berfungsi. Pluralisme adalah binaan sifat baru hasil daripada perlakuran kebudayaan, pemikiran dan kepercayaan yang menghancurkan segala bentuk keperibadian, keaslian dan kesahihan sebelum ini. Maka kecelakaan sejarah bahasa Melayu berlaku pada titik pengumuman Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Di situlah puncak kepada pelaksanaan ideal mahathirisme yang memerangi segala bentuk nasionalisme, keperibadian tradisional dan asas-asas bangsa, sejarah dan prinsip kepercayaan demi mewujudkan sebuah metanaratif baru yang disebut sebagai ‘postmodern bourgeois liberalism’.

Kehancuran bahasa Melayu hari ini adalah kerana keputusan politik yang salah. Tiada sebab lain. Keputusan Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik itulah yang menyebabkan berlakunya kehancuran kepada bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Maka satu-satunya jalan untuk memperbaiki dan memperkasakan kembali bahasa kebangsaan ialah mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran sains dan matematik sepertimana dahulu. Tiada tindakan yang lebih wajar dan berkesan selain daripada tindakan ini.

Keputusan melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah sebuah Freudian slip seorang Mahathir terhadap kepercayaan darwinisme sosialnya – yang salah! Sesebuah bangsa yang cekal dan kuat boleh saja mencapai kemajuan tanpa menggadai bahasa dan keperibadiannya. Hanya bangsa yang lemah sahaja terpaksa menggadaikan dirinya dan menjadi abdi untuk maju.

Para pejuang bahasa, budayawan, seniman, penulis dan nasionalis Melayu kini sedang menunggu Pak Lah memecahkan sebuah lagi kegelapan bayang Mahathir – iaitu mengembalikan bahasa Melayu sepertimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan, kembali menjadi bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik.

Mahathir adalah musuh bahasa Melayu, apakah UMNO juga harus menjadi musuh bahasa

Melayu kerana masih kelam di bawah bayang seorang Mahathir?

Mingguan Wasilah, 4-10 Mei 2008

BAHASA MELAYU ASAS NASIONALISME MELAYU

Nasionalisme melahirkan banyak definisi, merangkumi konsep tentang negara, bangsa, identiti dan ranah politik yang melunjur kepada kuasa dan penguasaan. Nasionalisme menjadi penyatu semangat menentang penjajah dan mencapai kemerdekaan. Nasionalisme menjadi doktrin penciptaan negara-bangsa dan asas kepada sistem politik negara. Nasionalisme juga menjadi asas pembinaan identiti dan pembentukan nilai kebangsaan. Namun begitu, perlu disedari bahawa nasionalisme juga mempunyai sisi-sisi gelap yang disekutukan dengan doktrin fasis superioriti bangsa, perkauman yang melegitimasikan doktrin chauvinistik, jiwa kepada agama sekular dan penyubur assabiyyah, dan juga penciptaan bangsa baru yang palsu.

Bagaimanapun sesebuah ideologi menjadi wajah dan jiwa yang berbeza apabila berada di tanah dan udara yang berbeza. Begitu juga dengan nasionalisme. Di Jerman nasionalisme yang muncul dalam zeitgeist dan volkstum sebagai penyatu menentang penjajahan politik dan budaya Perancis berbeza dengan nasionalisme di India yang muncul dengan kesedaran swaraj (kemerdekaan penuh) dari Bal Gangadhar Tilak dan gerakan satyagraha (tentangan tanpa kekerasan) Mahatma Ghandi terhadap penjajahan Inggeris. Begitu juga nasionalisme di Turki oleh Kamal Ataturk yang meninggalkan Islam tentunya berbeza dengan nasionalisme di Pakistan oleh Jinnah yang menginstitusikan Islam.

Begitu juga nasionalisme Melayu yang tentunya mempunyai wajah dan jiwa yang berbeza. Nasionalisme Melayu muncul oleh gerakan kebangsaan menentang Inggeris daripada gerakan doktrin kanan mahupun doktrin kiri, juga mempunyai definisi nasionalisme yang berbeza. Tetapi apabila Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO yang pada 4 Jun 1955 mengisytiharkan UMNO yang menerajui PERIKATAN yang terdiri daripada pakatan bangsa Melayu bersama kaum Cina dan India memutuskan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara apabila Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan, ini bermakna nasionalisme Melayu telah menjadi asas kepada negarabangsa yang bakal wujud. Nasionalisme Melayu melihat kepada jiwa kebangsaan Melayu iaitu keperibadian daripada wilayah sejarah, geneologi, peradaban dan kesultanan Melayu yang membina kedaulatan Melayu di rantau Melayu ini.

Bahasa Melayu yang menjadi keperibadian utama ini menyatu dengan Islam, dan menjelaskan apakah itu bangsa Melayu. Maka itu, bahasa Melayu terus dilegitimasikan sebagai bahasa kebangsaan apabila sebuah negara-bangsa dibentuk di wilayah alam Melayu ini. Dalam konteks ini, nasionalisme Melayu menerima kepelbagaian agama dan bangsa tetapi asas kepada negara adalah berpaksikan ‘pusat keMelayuan’. Bahasa Melayu kemudian menjadi pengikat bukan sahaja kepada kontrak sosial tetapi juga kepada pembinaan masyarakat dan negara.

Mengapa bahasa Melayu?

Mungkin dialektik ini boleh merujuk kepada apa yang berlaku dalam konteks Bangladesh. Apabila Pakistan terbentuk pada tahun 1947, ia terbahagi kepada dua iaitu Pakistan Barat dan Pakistan Timur yang berbeza bukan sahaja dari sudut geografi tetapi juga budaya dan bahasa. Pada tahun 1948, bagi membentuk sebuah penyeragaman, kerajaan Pakistan yang dikuasai oleh pemimpin-pemimpin dari Pakistan Barat mengisytiharkan bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi negara. Tindakan ini telah membawa kepada penentangan keras di Pakistan Timur yang mempertahankan bahasa Bengali (wujud sejak 1000 tahun Sebelum Masehi) sebagai bahasa rasmi mereka. Satu gerakan pelajar meletus pada awal Februari 1952 hasil daripada rentetan peristiwa penentangan terhadap bahasa Urdu sejak tahun 1948. Kempen pelajar yang menuntut bahasa Bengali sebagai satu daripada bahasa rasmi negara akhirnya menjadi tidak terkawal. Pada 21 Februari 1952, pertempuran meletus antara pelajar dan pihak berkuasa. Akibatnya sebahagian daripada pelajar terkorban. Pembunuhan pelajar oleh pihak berkuasa ini mencetus tentangan yang lebih besar dan hebat sehingga tertubuhnya Liga Awami, yang akhirnya menjadi organisasi politik yang menuntut pemisahan daripada Pakistan.

Gerakan Bahasa Bengali (Bengali Language Movement) atau Bhasha Andolon ini telah menjadi gerakan politik dan akhirnya mencetuskan perang pembebasan Bangladesh. Konflik ini berakhir dengan pengisytiharan kemerdekaan Bangladesh pada 26 Mac 1971 dan akhirnya kemerdekaan rasmi diperolehi pada 16 Disember 1971. Sebagai memperingati akan satu-satunya negara yang merdeka di dunia moden ini kerana memperjuangkan bahasanya, maka berdasarkan Gerakan Bahasa Bengali yang mencetuskan tragedi pada 21 Februari 1952 itu – 21 Februari diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia oleh UNESCO.

Melihat kepada konteks ini, bahasa menjadi pengikat kepada kebersamaan bangsa tersebut yang dalam masa yang sama adalah ciri keperibadian bangsa berasaskan hubungan kedaulatan dan kewilayahan bangsa. Maka itu ia menjadi asas kepada nasionalisme atau jiwa kebangsaan. Bahasa Bengali merupakan akar dari peradaban Dravidia 1000 tahun sebelum Masehi, yang muncul dari rentetan sejarah purba empayar Gangaridai pada abad ke-7SM. Wilayah Bengali ini kemudian menyerap ke dalam empayar Magadha, Maurya, Gupta hinggalah kepada Dinasti Pala-Buddha. Wilayah Bengal ini dikuasai Islam pada abad ke-12 di bawah Empayar Khilji dan kemudian Empayar Mughal India.

Hubungan kedaulatan dan kewilayahan leluhur ini menjadikan bahasa wujud sebagai asas kewujudan sesebuah bangsa, sebagai jiwa dan ruh kepada sebuah tubuh hakikat. Begitu juga dengan bahasa Melayu, ia wujud sebagai tubuh hakikat bangsa Melayu yang lahir daripada kedaulatan dan kewilayahan leluhur. Maka di sini bahasa Melayu adalah asas kepada nasionalisme atau jiwa kebangsaan Melayu.

UMNO dikatakan wujud daripada perjuangan nasionalisme Melayu, yang menyaksikan tokoh-tokoh UMNO disebut sebagai nasionalis Melayu iaitu pejuang kebangsaan Melayu. Tetapi apabila UMNO menolak bahasa Melayu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, di samping memperjuangkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan bangsa – di manakah sebenarnya nasionalisme UMNO ini?

Apabila bangsa Jerman melahirkan volkstum untuk mengungkap bahasa, budaya dan keperibadian Jerman sebagai penjana kemajuan bangsa, UMNO pula mencari bahasa, budaya dan keperibadian Barat sebagai ideal penjana kemajuan bangsanya. Bolehkah UMNO mengatakan bahawa ia adalah wadah dan bijana jiwa kebangsaan Melayu. Apatah lagi pemimpin UMNO lebih fasih, gemar dan banyak bercakap bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Melayu lagikah UMNO?

Masih perlukah lagi bangsa Melayu mempercayai mitos bahawa UMNO adalah pejuang dan penyatu bangsa Melayu?

Atau tidak adakah lagikah pejuang-pejuang Melayu di dalam UMNO yang boleh tampil memperjuangkan bahasa Melayu dan menafikan UMNO adalah mitos Melayu?

Benarkah orang-orang Melayu yang dikatakan maju ini sebenarnya lebih mundur jiwa kebangsaannya berbanding dengan orang-orang Bangladesh yang datang mencari pekerjaan di Malaysia?

Mingguan Wasilah, 27 April – 5 Mei 2008

UMNO PENGKHIANAT BAHASA MELAYU

Pada 27 Julai 1955 Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama (PRU1) telah diadakan. Maka bermula pada tahun 1955 ini Persekutuan Tanah Melayu mula menjadi negara yang mempunyai pemerintahannya sendiri dan bukan lagi ditadbir dari London. PRU1 ini membuka jalan kepada usaha untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. PRU1 ini diadakan bagi memilih 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan daripada keseluruhan 98 ahli majlis. Ahli selebihnya dilantik oleh kerajaan British. UMNO yang dahulunya PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) bergabung bersama MCA dan MIC membentuk Parti Perikatan dalam menghadapi PRU ini.

Parti-parti yang bertanding dalam PRU ini selain daripada Perikatan ialah Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), Persatuan Kebangsaan Perak, Liga Melayu Perak, Parti Progresif Perak (kemudian menjadi Parti Progresif Rakyat), dan juga Parti Buruh.

Dalam PRU1 ini, Perikatan telah membentangkan manifestonya antara lain ialah janji untuk mencapai kemerdekaan dalam tempoh 4 tahun. Perikatan juga berjanji akan menubuhkan satu jenis sekolah kebangsaan dan menerusi sekolah kebangsaan ini Perikatan akan memajukan pembangunan kebudayaan, ekonomi, kemasyarakatan dan politik sebagai satu bangsa. Dengan cara ini Perikatan berharap dapat memenuhi tujuannya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, secara langsung menjadi bahasa pengantar kepada semua pembelajaran ilmu dan bahasa perpaduan bangsa Malaysia.

Sebagai pemimpin Perikatan pada masa itu, Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman Putra dalam Perhimpunan Khas UMNO pada 4 Jun 1955, telah menegaskan bahawa Perikatan telah membuat keputusan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Janji ini telah membawa kepada sokongan besar orang Melayu terhadap UMNO dan Perikatan. Ini adalah kerana pada masa itu, terdapat tuntutan oleh British untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pelajaran. Juga terdapat tuntutan untuk menjadikan bahasa Cina (Kuo Yo) juga sebagai satu daripada bahasa rasmi. Maka sumpah UMNO untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang diperkukuhkan melalui janji Perikatan itu telah membawa sokongan tidak berbelah bagi bangsa Melayu kepada UMNO.

Perikatan mendapat kemenangan yang besar dengan memenangi 51 buah kerusi daripada 52 buah kerusi. Perikatan menganggap bahawa semangat untuk mencapai kemerdekaan di dalam jiwa orang Melayu membuatkan mereka mendapat sokongan besar. Namun pada hakikatnya janji Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO tentang kehendak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal dalam 10 tahun telah melonjakkan jiwa dan semangat orang Melayu. Faktor bahasa Melayu ini sebenarnya adalah antara faktor utama kemenangan Perikatan. Bahasa Melayu adalah jiwa dan roh orang Melayu. Dan UMNO yang membawa roh serta jiwa bangsa Melayu ini sudah tentunya maklum bahawa mereka harus meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa paling utama, kerana di situlah terletak kekuatan bangsa Melayu, sekaligus kekuatan UMNO.

Apabila Akta Pendidikan 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 (Pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudian Akta Lembaga Akreditasi Negara diluluskan pada tahun 1996; maka bahasa Melayu telah dikuburkan secara perlahan-lahan oleh UMNO sendiri. Secara individu yang bertanggungjawab ialah Mahathir Mohamad; dan Menteri Pelajaran pada ketika itu ialah Najib Razak. Tetapi secara organisasi, UMNO keseluruhannya (ahli-ahli parlimen UMNO) menyokong ketetapan ini. Lanjutan daripada itu, bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa pengantar utama kepada matapelajaran sains dan matematik. Begitu juga di IPTA dan IPTS, bahasa Melayu kemudian ditimbus satu demi satu.

Sekarang apabila tiba-tiba UMNO bangun mendabik dada menjadi hulubalang yang memperjuangkan Melayu, lantaran didakwa orang Melayu kini berpecah – tidakkah UMNO sedar bahawa betapa besarnya dosa mereka mengkhianati bahasa Melayu, sekaligus ruh dan jiwa bangsa Melayu?

Mengapa hanya sekarang UMNO mencari-cari orang Melayu? Mencari-cari perjuangan Melayu? Mengapakah semasa mereka berkuasa, semasa mereka adalah ‘dewa’ kepada segala-galanya – mereka mengkhianati orang-orang Melayu? Dosa Mahathir menghancurkan bahasa Melayu tidak akan terampun sampai bila-bila, apatah lagi jika bahasa Melayu tidak akan dapat dipulihkan kembali dan malah terus pupus sama sekali. Mahathir adalah orangnya yang menghancurkan bahasa Melayu. Dan jangan lupa di sini bahawa UMNO adalah wadah dan pangkalan yang membantu Mahathir menghancurkan bahasa Melayu.

Sehingga sekarang pun UMNO tidak menampakkan sebarang keinginan untuk menebus dosa mereka yang menghancurkan bahasa Melayu itu. Ketika Lim Guang Eng, yang dianggap pemimpin kaum Cina itu sering keluar menjawab soalan-soalan wartawan dalam bahasa Melayu, pemimpin-pemimpin UMNO lebih gemar memperlihatkan kefasihan mereka berbahasa Inggeris. Maka itu seorang teman dari luar negara (Afrika) yang hanya beberapa hari tiba di Malaysia menganggap Lim Guang Eng seorang Melayu, dan tidak pasti Hishamuddin Husin dan Azalina Othman adalah orang Melayu apabila melihat suatu rancangan berita baru-baru ini di televisyen. Saya mengatakan itulah paradoks UMNO.

Siapakah yang memusnahkan bahasa Melayu sehingga anak-anak Melayu tidak tahu lagi apa itu perpuluhan, punca kuasa dua, gandadua, luluhawa, lutsinar, kalis air, tuil, takal, kenyal, pepejal, cecair dan banyak lagi istilah matematik dan sains yang telah kina bina dengan begitu susah payah itu. Siapakah yang menghancurkan ini semua? DAP kah yang menghancurkannya? PAS? PKR? MCA? MIC? Dong Zong? Tidak.

UMNO lah yang menghancur dan menghapuskan bahasa Melayu. UMNO yang sekarang mengatakan bahawa mereka adalah pembela orang-orang Melayu itulah yang menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dengan menghapuskan bahasa ibunda bangsa Melayu, iaitu bahasa Melayu.

Jika UMNO benar-benar jujur dan ikhlas berjuang untuk bangsa Melayu, maka untuk hari ini satu perkara terlebih dahulu perlu dilakukan oleh mereka – kembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik!

Jika UMNO yang berkuasa sekarang ini tidak mahu mengembalikan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar Sains dan Matematik, maka UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan nasib dan kepentingan orang-orang Melayu. Tetapi hanyalah gerombolan oportunis yang sedang menggadaikan orang-orang Melayu untuk kepentingan mereka sahaja.

20-26 April 2008