Wednesday, October 1, 2008

SYAWAL YANG PILU


Kubur Allahyarham S. Othman Kelantan menunggu tanahnya benar-benar mampat sebelum dibuat batu seperti kubur-kubur yang lain. Bunga-bunga ditabur dan diletakkan oleh makcik kami Cik Dian (emak tiri kami) yang setiap ketika datang membersihkan kubur allahyarham.

1 Syawal 1429 bersamaan 1 Oktober 2008 merupakan syawal pertama dalam kehidupan kami adik beradik berhari raya tanpa abah tersayang, allahyarham Syed Othman Syed Omar Al-Yahya(S.Othman Kelantan) yang kembali ke rahmatullah pada 30 Julai 2008.

Pada Syawal ini genaplah dua bulan pemergian allahyarham. Dua bulan adalah hari sunyi dan bingung saya menghadapi kehilangan allahyarham. Innalillah wainnahirajiun. Setelah dua bulan, inilah hari pertama saya mempunyai kekuatan untuk menulis tentang allahyarham - dengan kekuatan yang diberikan Allah swt.

Allahyarham ialah bapa yang tegas, namun sangat menyayangi anak-anak beliau. Walaupun allahyarham jarang sekali memukul kami (sehingga saya lupa bila kali terakhir saya dipukul - mungkin tidak dipukul langsung dalam ertikata sebenarnya), tetapi kami adik beradik amat gerun untuk melakukan apa yang ditegah dan tidak disukai oleh allahyarham terutama soal pendidikan dan adab kelakuan. Abang saya seorang perokok, tidak pernah berani merokok di hadapan allahyarham sehingga hayat terakhir allahyarham - walaupun abang saya sudah amat dewasa dan 'besar' kehidupannya. Ini adalah kerana allahyarham mendidik kami untuk menyedari bahawa 'hidup perlu menjadi orang yang dihormati bukan orang yang ditakuti'.

Apa yang paling menikam hati saya ialah, semasa beberapa hari pemergian allahyarham isteri saya tiba-tiba berkata kepada saya, "Abah ni sayang pada awak. Awak ingat tak masa kita mula-mula kahwin, abah setiap pagi sangkut roti canai di pintu pagar rumah kita." Saya diam tidak berkata.

Saya mula mengingati, semasa saya baharu kahwin saya tinggal menyewa di rumah kakak saya yang terletak di sebelah rumah tempat kami membesar, iaitu rumah tinggalnya allahyarham bersama ibu saya sebelum mereka berpisah. Setiap pagi allahyarham yang pulang dari jogging akan membeli nasi lemak, akan turut membeli roti canai telur untuk saya dan isteri saya. Setiap pagi itulah sebaik sahaja bangun tidur saya akan melihat roti canai disangkut di pintu pagar rumah saya oleh allahyarham.

Allahyarham sangat menyayangi dan memanjakan anak-anaknya, sehingga kami besar dewasa dan berkeluarga allahyarham masih melayan kami seperti kami masih anak-anak. Tetapi kami adakalanya 'tidak mengambil berat' akan kasih sayang yang tidak ternilai ini. Dan apabila allahyarham tiada ia menjadi kenangan yang amat berat dan memilukan.

Kita seringkali 'terlupa' akan kasih sayang yang ikhlas dan jujur daripada ibu bapa kita. Kepada semua yang masih mempunyai ibubapa, hargai dan curahkan kasih sayang yang seikhlas kasih sayang mereka. Sentiasalah mengambil tahu dan luangkan masa untuk pergi berbual dengan mereka. Kerana apabila mereka sudah tiada, maka tidak akan ada lagi kasih sayang yang paling ikhlas dan jujur untuk kita di dunia ini.

AL FATIHAH UNTUK AYAHANDAKU YANG TERAMAT DIKASIHI SYED OTHMAN BIN SYED OMAR AL-YAHYA.