Monday, November 17, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

BAHASA PENYATU, KEPERIBADIAN DAN PEMODENAN BANGSA

Pada tahun 247 Sebelum Masehi, muncul seorang raja daripada dinasti Chin (Qing) iaitu Raja Cheng mengambil alih takhta kekuasaan Kerajaan Chin di China. Dinasti Chin muncul mengambil alih kekuasaan di China menggantikan dinasti Chou yang kian lemah akibat peperangan dan perpecahan di China. Kerajaan Chin muncul perlahan-lahan menjadi negara yang kuat setelah menguasai satu demi satu negeri yang berpecah belah itu. Era ini disebut sebagai era Negeri-negeri Berperang.

Raja Cheng dengan dibantu oleh Li Ssu, seorang penasihat dan pembesar yang bijak telah menyatukan seluruh China. Beliau akhirnya memakai gelaran Maharaja yang pertama, iaitu Shih-Huang Ti (Qing Ch’ih Hwangdi), iaitu Ti yang bermaksud raja segala raja. Sejak itu Raja Cheng dikenali sebagai Shih-Huang Ti, yang terkenal dengan pembinaan Tembok Besar Negeri China dan nama sebuah negeri besar yang bersatu iaitu China (yang diambil daripada nama dinasti Chin).

Shih Huang-Ti sedar bahawa kekuatan ketenteraan dan politik kekerasan hanya dapat menyatukan China secara jangka pendek. Untuk membina sebuah bangsa China yang besar dan bersatu secara sejagat memerlukan pembentukan nilai-nilai sepunya iaitu satu bentuk common denominator, penanda atau nilai umum yang kekal sebagai keperibadian bangsa. Nilai umum ini tidak lain dan tidak bukan ialah bahasa.

Shih Huang-Ti mengambil bahasa Mandarin yang digunakan secara meluas dalam dunia perdagangan dan dunia bijak pandai sebagai bahasa rasmi empayar Kerajaan Chin. Shih Huang-Ti mewajibkan semua orang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi, dan dengan itu telah mewujudkan sebuah nama dan wajah kepada sebuah bangsa yang dikenali sebagai bangsa China pada hari ini. Pada zaman moden ini, apabila China muncul sebagai kuasa baru ekonomi dan politik dunia setelah liberalisasi dan pemodenan negara yang dilakukan oleh Deng Xiaopeng bermula pada tahun 1978, China telah bangkit dengan pesat dan lajunya. Di sini kelihatan akan betapa giatnya China menerima pengaliran budaya dan perkembangan daripada dunia luar. Bukan sahaja dari segi budaya ekonomi dan material dari negara-negara maju seperti Barat, Jepun, Korea dan sebagainya tetapi juga budaya kesenian dari muzik, sastera, lukisan, seni arca, seni moden seperti teater dan filem, aliran seni pemikiran Barat dan sejagat dari buku-buku sehinggalah kepada fesyen, makanan serta gaya hidup.

Namun apa yang menariknya semua bentuk pengaliran budaya sejagat ini dibawa masuk melalui penterjemahan ke dalam bahasa Mandarin. Maka semua pemikiran dan budaya sejagat ini disedut masuk ke dalam pemikiran bangsa China melalui bahasa ibunda mereka yang difahami dalam simbol bahasa yang wujud dalam fakulti fikiran yang asli. Maka berlaku satu bentuk sistem pencernaan yang disebut sebagai intricate systemization, iaitu mengorganisasikan input atau masukan-masukan ke dalam sistem simbol yang asli melalui penyesuaian, penyerapan dan penyusunan kembali semua masukan tersebut untuk dilahirkan semula sebagai sebuah inti budaya China yang bernilai maju – dalam bahasa dan keperibadian China yang tersendiri.

Apabila Kerajaan menetapkan keputusan untuk mengekalkan PPSMI sehingga tempoh 2013, maka jelas kelihatan bahawa langkah Malaysia membina gaya dan sistem pemodenannya adalah langkah yang menuju ke belakang. Tindakan ini menunjukkan kelemahan dan ketiadaan daya kecerdikan pemimpin politik dan birokrat pentadbir negara dalam melihat kepada bagaimana pemodenan dalam gelung intricate systemization dapat berfungsi. Lebih malang lagi terlihat akan tiadanya daya kreatif dan inovatif yang menjadi asas kepada kekuatan intelektual, apabila pemimpin politik dan pentadbir negara Malaysia ini dengan ‘mudah dan malas’ mengambil kembali cara dan kaedah setengah abad yang lampau iaitu sistem pascakolonial British untuk membina pemodenan negara dengan membonceng di belakang punggung negara maju, iaitu Barat (Inggeris-AS).

Menggunakan bahasa Inggeris iaitu bahasa selain bahasa ibunda sebagai medium pemikiran adalah langkah mengambil semula sistem pemodenan 50 tahun lampau. Kaedah usang ini terlihat sudah anakronistis dan tidak mampu lagi untuk membina sebuah era maju yang kukuh pada zaman ini. Jika dilihat kepada contoh China, atau Jepun dan Korea yang lebih terdahulu – bentuk pemodenan tersebut dibina melalui sistem percernaan kembali masukan fikiran serta budaya luar yang penting dan berguna; yang dilahirkan semula menjadi bingkai-bingkai kukuh kepada sistem pemikiran asli. Ini membuatkan inti pemikiran asli dapat dilahirkan dengan budaya serta inovasi yang lebih maju dan kreatif. Pencernaan kembali ini hanya dapat dilakukan apabila semua konsep dan ilmu pengetahuan tersebut diterjemah, difahami dan diproses kembali dalam bahasa ibunda yang asli.

Tidak dapat dinafikan bahawa dunia masa hadapan tidak lagi merupakan unit politik dan ekonomi yang berasaskan tanah, buruh dan aset tetapi berasaskan modal, pekerja pintar dan teknologi iaitu melihat hubungan kuasa dengan pasaran. Ini menjadikan negara menjadi sebuah unit ekonomi-politik sejagat dan bukan lagi sebuah unit wilayah yang berasaskan sempadan tanah. Maka negara wujud sebagai unit global ini tentunya memerlukan sebuah sifat global untuk hadir sebagai unit ekonomi politik yang berkesan.

Namun pemahaman bahawa negara sebagai unit global ini harus dibina melalui transformasi atau peralihan drastik dengan menyerapkan dirinya dalam pergerakan arus dunia; dalam ertikata lain mengambil unsur budaya dominan yakni Barat dan membuang sifat serta keperibadian dirinya sebenarnya adalah satu pemahaman yang myopic sifatnya. Ia bukan sahaja satu pemahaman yang salah tetapi juga adalah tindakan yang amat dungu dan bebal. Menjadi unit global dengan membuang sifat dirinya seperti menggunakan bahasa Inggeris dan membuang bahasa Melayu dalam dunia pendidikan dan pengetahuan bererti menghapuskan ‘dirinya sendiri’. Ini adalah kerana ‘sebuah kuasa’ ditentukan kepada penguasaan aliran pengetahuan dan kuasa beli, bukan lagi penguasaan bekalan barangan.

Maka ‘sebuah kuasa’ itu bererti penguasaan aliran pengetahuan bukan peniruan kepada aliran pengetahuan yang ada. Mengambil bahasa Inggeris sebagai medium ilmu dan pendidikan hanya bererti melakukan peniruan pengetahuan. Penguasaan aliran pengetahuan bererti membina satu bentuk pencernaan masukan (input) dan membina kembali pemikiran berasaskan bahasa dan keperibadian yang asli. Ini yang dimaksudkan dengan penguasaan, iaitu mendominasi pengetahuan. Bagaimana kita dapat mendominasi pengetahuan jika kita hanya menumpang punggung Barat melalui pergantungan kepada bahasa Inggeris untuk memahami ilmu pengetahuan?

Mempercayai bahawa perkembangan ilmu pengetahuan khususnya dalam dunia sains dan teknologi yang sangat pantas sukar diikuti dengan melakukan penterjemahan dan lebih cepat dikuasai apabila semua rakyat menggunakan bahasa asas ilmu iaitu bahasa Inggeris, adalah pemahaman yang salah. Hal ini berlaku di Singapura tetapi kes Singapura ini sebenarnya berlaku dalam konteks yang berbeza. Singapura tiada pilihan lain jika dilihat dalam konteks sejarah kolonial, sifatnya sebagai pulau entrepot dan politik penguasaan pendatang ke atas wilayah asing. Dalam pada itu sifat kependudukan dan demografi Singapura juga memainkan peranan penting. Tetapi ini menjadikan Singapura sangat bergantung kepada Barat dan tidak mungkin dapat berdiri sendiri jika kuasa Barat merosot.

Malaysia mempunyai sifat kependudukan dan situasi histriografikal serta politik yang sama sekali berbeza. Apatah lagi Malaysia wajib menentukan kestabilan masyarakatnya yang berasaskan teras politik kebangsaan yang lahir melalui sejarah kesultanan Melayu yang panjang itu terlebih dahulu, sebelum dapat membina kekuatan ekonomi-politiknya sebagai unit global. Singapura adalah sebuah kes yang terasing sebaliknya Malaysia adalah sebuah kes umum yang harus melalui proses perkembangan melalui ciri ketamadunan bangsa sepertimana yang berlaku di Jepun, Korea dan China.

Ternyata mengekalkan PPSMI adalah langkah paling bodoh kerajaan Malaysia, yang hanya akan meninggalkan Malaysia jauh ke belakang. Buktinya akan terlihat jelas apabila kita membandingkan perkembangan negara China yang mengekalkan bahasa Mandarinnya berbanding Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris. China sepuluh tahun akan datang – akan membuktikan kedunguan pemimpin politik dan birokrat Malaysia pada hari ini; yang membuat keputusan mengekalkan PPMSI.

Mingguan Wasilah, 9-15 November 2008

3 comments:

benuasuluk said...

Syeikh,
tak payah tunggu sepuluh tahun akan datang - sekarang pun dah nampak dungu, tongong dan tololnya Malaysia dalam hal ni.

S.M. Zakir said...

tak tau apa nak cakap dah, entah apa bodohnya ketua-ketua umno ni yang nak sangat bahasa Inggeris. Ini semua golongan aristokrat dan elit yang menjual bangsa dan negaranya sejak berzaman-zaman dulu lagi.

oemar bakri said...

salam sheikh.

baru saja habis melahap Dunia Tanpa Tirai.

Sangat mengesankan.saya nak ucapkan terima kasih sebab dah bukak mata saya dalam mendepani politik malaysia.

terima kasih dah bukak pekung di dada UMNO.

UMNO jadi bodoh dan tolol kerana tamak.PRU 13 nanti saya sudah layak mengundi.Tunggulah..