RED CLIFF DARI SEBUAH ROMAN SEJARAH
Red Cliff sebuah filem skala besar yang menelan belanja sebanyak 80 juta dollar AS mencabar keupayaan John Woo untuk mengarah sebuah filem epik China yang diangkat daripada kanun agung Romance of the Three Kingdoms. John Woo kembali untuk mengarah filem China setelah 16 tahun terlibat dalam pengarahan filem di Hollywood adalah pengarah handalan Hong Kong yang tidak asing lagi. Dia menempa nama di Hollywood dengan mengarah filem-filem seperti A Better Tomorrow, The Killer, Hard Target, Broken Arrow, Face-Off, Mission Imposible II, Windtalker, Paycheck dan banyak lagi. Namanya memuncak di Hollywood selepas kejayaan filem A Better Tomorrow dan The Killer lakonan Chow Yun-Fatt dan Mira Sorvino yang menampilkan skil pertarungan senjata api ala-kung fu dalam gerak yang unik yang disebut kemudian sebagai ‘Gun Fu’. Gaya tersebut menarik perhatian dan mempengaruh pengarah-pengarah terkenal Hollywood seperti Robert Rodriguez, Quentin Tarantino dan Wachowski bersaudara.
Red Cliff diangkat daripada satu peristiwa peperangan yang masyhur dalam Roman Tiga Kerajaan (Romance of the Three Kingdoms), iaitu kisah peperangan di Chibi. Roman sejarah tersebut memaparkan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah terakhir Dinasti Han di China yang berlangsung sekitar tahun 169 Masehi hingga 280 Masehi. Era tiga kerajaan yang menjadi tunggak cerita kepada roman ini berlangsung sekitar tahun 220M hingga 260M. Roman Tiga Kerajaan ini ditulis oleh Luo Guanzhong pada abad ke-14M berdasarkan peristiwa dalam tahun-tahun yang penuh dengan peperangan pada era kejatuhan Dinasti Han. Roman ini adalah salah satu daripada empat kanun agung China, dan mengandungi 800,000 perkataan, 1191 watak dan 120 bab. Luo Guanzhong menggabungkan rekod-rekod sejarah Pemberontakan Turban Kuning pada tahun 184M yang dikumpulkan oleh Chen Shou, puisi-puisi dari Dinasti Tang, kisah opera dari Dinasti Yuan dan tafsirannya terhadap nilai dan legitimasi China. Roman ini turut mengangkat nilai ajaran Kungfucius yang sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat China Han pada waktu itu.
Daripada kanun agung China inilah Red Cliff muncul sebagai sebuah filem yang membariskan pelakon handalan Asia Timur seperti Tony Leung, Takeshi Kaneshiro, Zhang Fenyi, Chan Chen, Hu Jun, Lin Chi-ling dan Zhao Wei. Filem ini ini dibuat dalam dua versi. Untuk versi pasaran Asia, Red Cliff dibuat dalam dua siri yang memakan masa dua jam tayangan untuk sebuah siri. Sementara untuk versi pasaran di luar Asia, ia dipendekkan menjadi satu tayangan memakan masa dua setengah jam. Siri pertama untuk versi Asia mula ditayangkan pada Julai 2008 sementara siri kedua dijangka ditayangkan pada Januari 2009, serentak dengan tayangan untuk versi tayangan luar Asia.
Red Cliff mengisahkan Cao Cao (Zhang Fenyi), Perdana Menteri Kerajaan Wei di wilayah utara yang bercita-cita besar mempengaruhi Maharaja Xian untuk melancarkan ekspedisi perang terhadap panglima perang Dinasti Han, Liu Bei (You Yong) yang menguasai kerajaan wilayah Barat iaitu Kerajaan Xu (Shu-Han). Hasrat Cao Cao disanggah oleh Kong Rong, menteri tua Kerajaaan Wei yang menuduh Cao Cao sebagai pengkhianat yang cuba merampas kuasa Maharaja. Namun Cao Cao yang sangat berkuasa memerintahkan Kong Rong dibunuh dan terus membuat keputusan melancarkan perang ke atas Liu Bei di Xu. Tentera Cao Cao menyerang Liu Bei yang dibantu oleh panglima-panglima handal seperti Zhang Feng, Zhao Yung dan lain-lain. Serangan Cao Cao ke atas Liu Bei di Xinye berjaya dipatahkan. Namun Cao Cao mengumpulkan bala tentera yang amat besar untuk serangan yang seterusnya.
Liu Bei, dinasihati oleh penasihatnya yang hebat iaitu Zhuge Liang (Takeshi Kaneshiro) untuk membina persekutuan dengan sebuah lagi kerajaan di wilayah Han di selatan iaitu Kerajaan Wu bagi menentang Cao Cao. Zhuge Liang pergi ke negeri Wu untuk memujuk Sung Quang (Cheng Cheng) pemerintah Kerajaan Wu. Di sana Zhuge Lian terlebih dahulu menemui dan mendapat persetujuan daripada wizurai yang paling berpengaruh di Wu iaitu Zhou Yu (Tony Leung). Tindakan Zhuge Lian mendapat sokongan Zhou Yu berjaya membawa Sung Quang untuk bersekutu dengan Liu Bei bagi menentang Cao Cao. Peristiwa Sung Quang membuat keputusan tersebut ditampilkan dalam babak Sung Quang, adik perempuannya Sun Shangxiang, Zhou Yu dan Zhuge Liang pergi berburu harimau.
Cao Cao menghantar 800,000 tentera dengan 2000 buah kapal perang ke selatan dengan harapan dapat ‘membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu’. Armada tentera Cao Cao yang besar tiba di Chi Bi (Red Cliff) dan berhadapan dengan persekutuan Kerajaan Xu dan Wu. Tentera Wei pimpinan Cao Cao sendiri datang melalui jalan air dan darat. Pertempuran awal berlaku dengan tentera pimpinan Sun Shangxiang berjaya menewaskan ketumbukan Wei dengan formasi lapan trigram. Namun Cao Cao dengan 800,000 tenteranya mula memenuhi kawasan air dan daratan Chi Bi untuk melancarkan serangan besar-besaran mereka.
Zhou Yu dan Zhuge Liang bergabung tenaga membincangkan cara untuk menangkis serangan Cao Cao. Zhuge Liang menyedari beberapa kelemahan armada tentera Cao Cao, terutamanya pertamanya balatentera Cao Cao yang terdiri daripada pasukan kalvari darat itu hanya beberapa minggu dibentuk untuk menjadi tentera laut dan tidak berpengalaman berperang di kapal. Kedua, tentera Cao Cao yang datang dari utara itu tidak mahir dan biasa dengan suasana alam di selatan ini. Cerita untuk siri pertama tamat ketika Zhuge Liang sedang merangka strategi untuk menangkis serangan besaran-besaran Cao Cao.
Dunia perfileman China pada kenyataannya terbahagi kepada tiga suasana iaitu sinema Tanah Besar China, sinema Taiwan dan Sinema Hong Kong. Sinema Tanah Besar China dan Taiwan menggunakan bahasa Mandarin sementara sinema Hong Kong menggunakan bahasa Kantonis. Sinema Tanah Besar China menyaksikan kebangkitan pada era tahun 90-an di tangan pengarah generasi kelima seperti Zhang Yimou, Cheng Kaige, Tian Zhuangzhuang dan beberapa nama lagi. Dua pengarah yang cukup dikenali ialah Zhang Yimou yang terkenal dengan filem Hero (2002), House of Flying Dagger (2004), The Curse of Golden Flower (2006), sementara Chen Kaige pula terkenal dengan filem The Emperor and the Assassin (1999) dan The Promise (2005). Sinema Taiwan melonjakkan nama Ang Lee di persada antarabangsa dengan filem Crouching Tiger, Hiden Dragon (2000). Sinema Hong Kong lebih kepada pasaran filem kung fu dan aksi menyaksikan kehadiran ramai pengarah dan pelakon yang terlibat dengan sinema di Hollywood antaranya John Woo, Jackie Chan, Stephen Chow, Jet Li, Chow Yung-Fat, Michele Yeoh dan sebagainya.
Dari segi estetika filem, John Woo dilihat tidak dapat menandingi gerak gaya dan keindahan sinematografi yang terhasil di tangan Zhang Yimou dan Cheng Kaige. Gaya pengarahan John Woo dilihat tidak dapat lari daripada gaya Hollywood yang mementingkan bentuk yang spectacular melalui filem-filem yang berbelanja besar. Walaupun begitu keupayaan John Woo terserlah melalui kebolehan menggabungkan pelakon-pelakon China, Hong Kong dan Jepun dalam pembinaan watak serta karakter yang menonjolkan karismatik lakonan masing-masing. Mungkin masih terlalu awal untuk menilai kejayaan dan kegagalan John Woo dalam Red Cliff ini memandangkan puncak sebenar filem ini terkandung dalam siri kedua Red Cliff yang mungkin ditayangkan pada Januari 2009. Maka itu, visual-visual yang terawang dari Red Cliff siri satu ini hanya tersimpan untuk menanti kemuncaknya dalam serangan besar-besaran Cao Cao pada Peperangan di Chi Bi yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Milenia Muslim, Oktober 2008
Saturday, November 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment