KOLAJ-KOLAJ CINTA DALAM SEPI
Hei Kekasihku, kelmarin aku adalah satu-satunya orang yang ada di alam ini. Kesendirian itu kejam seperti maut. Aku sendirian seperti bunga mawar yang tumbuh dalam bayang-bayang batu karang yang tinggi kerana itu kehidupan tidak merasakan keberadaanku, dan aku tidak merasakan adanya kehidupan. – Khalil Gibran.
Kehidupan yang tidak merasakan keberadaan dan keberadaan yang tidak merasakan kehidupan mungkin adalah kata-kata yang terbaik dalam menghuraikan erti sepi. Filem Sepi arahan Khabir Bhatia dengan skrip Mira Mustafa dan Ara adalah sentuhan kedua mereka selepas filem Cinta. Tidak ketinggalan ialah tenaga penting sebelum ini iaitu Dhojee dan Madnor Kassim. Namun Cinta dilihat jauh meninggalkan Sepi dari segala segi baik jalan cerita, sinematografi, lakonan dan kesan dramatiknya. Namun membandingkan dua hasil kerja Khabir Bhatia, Mira, Dhojee dan Madnor ini bukanlah suatu yang dapat memberikan rumusan yang tepat terhadap filem Sepi.
Setiap manusia mempunyai ketika-ketika sepinya. Inilah yang cuba dikembangkan oleh Khabir dan Mira. Sepi di dalam kehidupan tiga orang pelaku, Adam, Sufi dan Imaan adalah persoalan kehidupan dan keberadaan manusia. Titik cerita ketiga-tiga pelaku ini bertolak daripada peristiwa atau babak Adam berkejar ke keretanya, tiba-tiba kemalangan berlaku dan seorang gadis melambung dilanggar kereta. Lelaki yang melanggar gadis itu berkejar keluar meninggalkan isterinya yang tersangkut di dalam kereta. Kereta itu meletup dan isterinya terkorban. Lelaki yang melanggar gadis itu adalah Sufi dan gadis yang melambung dilanggar Sufi itu ialah Imaan. Adam, Sufi dan Imaan bertemu pada titik ini selepas bergerak dari cerita atau sebelum bergerak ke cerita masing-masing.
Adam (Afdlin Shauki) seorang teruna yang meningkat usia tercari-cari pasangan hidup yang akan menjadi penutup kepada kesepiannya. Adam seorang chef yang sibuk menguruskan perniagaannya sehingga sukar menemui seorang wanita yang sesuai untuk menjadi pasangan hidupnya. Adam diuja oleh Nasha yang gila-gila, tapi Adam keliru untuk menerima Nasha. Suatu hari Adam terserempak seorang gadis bersunting bunga, Sejak itu bayangan gadis itu menggamit Adam. Akhirnya Adam secara kebetulan bertemu dengan gadis yang menggamit hatinya, Ilyana (Vanida Imran). Hubungan mereka mula terjalin, melalui konflik, dan akhirnya peleraian dengan Adam dan Ilyana bersatu dalam bahagia.
Sufi (Tony Eusof) ditekan rasa bersalah oleh kematian isterinya kini hidup membesarkan satu-satunya anak lelaki mereka. Kesepian melingkari kehidupan Sufi, seorang hartawan pemilik kilang kasut sehingga membuatkan dia berlari dan berlari di taman setiap hari. Sufi cuba lari daripada beban perasaan bersalahnya, tetapi pelariannya tidak pernah berakhir sehinggalah suatu hari Sufi bertemu Marya (Eja) di taman. Marya seorang isteri kepada lelaki budiman (Riezman), seorang pembekal makanan basah. Marya adalah wanita sepi yang datang ke taman untuk mengubat hatinya yang tidak mempunyai anak itu dengan melihat anak-anak bermain. Kesepian Sufi dan kesepian Marya membuatkan hati mereka bertaut. Namun Marya adalah isteri orang. Tawaran Sufi untuk Marya memilih dirinya dan meninggalkan suaminya membuat Marya dalam keadaan sukar. Namun akhirnya Sufi dan Marya menerima hakikat bahawa cinta tidak semestinya bersatu. Cerita Sufi berakhir dengan cinta dan sepi yang dipunyainya dibawa hingga ke akhir hayatnya.
Cerita Imaan (Baizura Kahar) bermula di pentas teater. Di situ Imaan yang menulis skrip bertemu Ean (Syed Hussain) pelakon utama yang buta seni tetapi bergantung kepada kekacakannya untuk memegang watak utama. Ean yang memperlekehkan skrip Imaan mula cuba merapati Imaan, tetapi malangnya Imaan telah mempunyai teman lelaki iaitu Khalil. Ean yang berusaha untuk mendekati tidak dipedulikan oleh Imaan. Tetapi Ean yang tidak putus asa akhirnya berjaya mendekati Imaan. Khalil kekasih Imaan, mula dirasuk cemburu berpaling meninggalkan Imaan. Pada suatu peristiwa Imaan mengejar Khalil, kemalangan berlaku dan Imaan melambung dilanggar kereta (Sufi). Imaan koma di hospital. Ean dan Khalil silih berganti menemani Imaan. Imaan pulih setelah akhirnya Khalil melepaskan Imaan. Rupanya Khalil telah lama mati. Khalil hanyalah ilusi Imaan yang tidak dapat menerima hakikat kematian Khalil. Imaan selama ini hanya bercakap sendirian, berjalan sendirian seolah-olah dia berbual dan berjalan dengan Khalil. Ean mengetahui keadaan Imaan dan mula mengambil berat tentang hal Imaan. Imaan sembuh dan menerima hakikat tentang Khalil. Ean kini menjadi pengganti Khalil. Kesepian Imaan yang parah kini berakhir.
Dari segi lakonan, secara kebetulan sosok fizikal Adam, Sufi dan Ean membawa peran daripada tafsiran tertentu. Sosok endomof Adam melambang watak yang suka menyenangkan orang, sentimental dan mudah bergaul. Peran ini terbina baik di tangan Afdlin Shauki. Sosok ektomof Sufi melambang watak seorang yang sensitif, intelektual, spritual dan menyendiri. Tony Eusof ternyata pelakon yang cukup bertenaga. Ean mempunyai sosok mesomof yang ditafsirkan sebagai seorang yang aktif, bertenaga, kurang sensitif, mencari prestasi dan agresif. Menepati sosoknya Syed Hussain menjadi pelaku seorang mahasiswa yang aktif dan bertenaga. Bentuk ini memainkan peranan penting dalam membina peran dalam sesebuah lakonan. Ternyata bentuk-bentuk fizikal watak ini memberikan lambang yang tepat terhadap peran yang dimainkan oleh pelaku-pelakunya. Sebenarnya tafsiran bentuk dengan peran ini terkandung dalam sekolah pemikiran Stanislavsky.
Kemantapan lakon atau peran yang dibawa oleh para pelakon dengan bentuk serta pembinaan sosok yang melahirkan mode of being berjaya mengangkat Sepi sebagai filem yang mempunyai kekuatan karakter. Namun dari segi cerita dan naskhahnya, Sepi dilihat menampal kolaj-kolaj daripada pelbagai filem sebelumnya. Sama ada hal ini adalah cubaan yang disengajakan oleh Mira dan Khabir dalam memberikan suatu gaya baru filem yang menjadikan Sepi sebagai sebuah filem kolaj atau ia merupakan pengaruh yang berlaku secara intertekstualiti. Bagaimanapun kehadiran kolaj-kolaj daripada pelbagai filem ini boleh membawa suatu bentuk gaya yang menarik dalam seni perfileman. Di Hollywood bentuk filem kolaj ini boleh dilihat dalam filem Scary Movie dan sebagainya. Tetapi ia dibuat dalam bentuk humor-satira berbeza dengan Sepi yang membawa filem kolaj ini dalam bentuk melodramatik yang bermain dengan emosi dan intelektualiti.
Sepi seperti puisi Khalil Gibran adalah kehidupan yang tidak merasakan keberadaan dan keberadaan yang tidak merasakan kehidupan. Adam yang keliru tentang hidupnya yang tidak merasakan keberadaannya. Sufi yang diremuk rasa bersalah hingga keberadaannya tidak lagi merasakan kehidupan. Dan Imaan adalah kedua-dua keberadaan yang tidak merasakan kehidupan dan kehidupan yang tidak merasakan keberadaan oleh traumanya kehilangan Khalil. Di sinilah Sepi dihadirkan untuk menjadikan kesendirian itu kejam seperti maut. Namun pada akhirnya Sepi seperti bunga mawar yang tumbuh dalam bayangan, keluar untuk menampilkan kewangiannya meninggalkan bayangan yang selama ini menutup keberadaannya.
Milenia, September 2008
Friday, November 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
TUAN
....salam ziarah
salam kembali
Post a Comment