PERKAUMAN CINA HANCURKAN POLITIK BARU
PRU12 membuka lembaran baru sejarah dengan melihat kepada corak pengundian yang tidak lagi bersifat kepartian dan perkauman. Rakyat dilihat menuju ke arah era kematangan dengan mengundi untuk mencapai cita-cita menghapuskan rasuah, penyelewengan dan ketidakadilan yang bersarang sepanjang pemerintahan BN. Selama lima dekad politik Malaysia bergerak berasaskan perkauman. Sentimen perkauman menjadi senjata yang paling ampuh untuk menyerang lawan dan memperolehi kuasa. Sentimen perkauman juga menjadi alat untuk mengaut keuntungan dan kepentingan peribadi secara berleluasa oleh pemimpin-pemimpin politik yang bijak mempergunakan segala dasar dan projek yang kononnya dibuat untuk kepentingan kaum masing-masing.
Politik baru muncul untuk menghapuskan semua itu. Perjuangan yang berasaskan kepentingan kaum secara luarannya dilihat tertolak ke tepi. Politik baru muncul sebagai wadah politik yang berasaskan perjuangan kelas dan menolak wadah politik lama yang berasaskan perjuangan kaum. Politik baru bangkit untuk memperjuangkan nasib kelas bawahan dan menentang eksploitasi serta penyelewangan kelas elit yang berkuasa dan berpengaruh. Akhir sekali politik baru muncul untuk membina sebuah negara Malaysia yang adil berdasarkan hak yang diperuntukan dalam Perlembagaan. Sentimen perkauman dimatikan untuk memunculkan sentimen kelas; iaitu perjuangan untuk merapatkan jurang ekonomi serta menghapuskan kemiskinan dan ketidakadilan sosial yang dipercaturkan selama lima dekad oleh politik perkauman.
Namun selepas beberapa bulan kemenangan PR di lima buah negeri dan menguasai bahagian yang besar di Parlimen, arah perjuangan dilihat mula cenderung untuk mempersoalkan status quo orang Melayu – secara membungkusnya melalui serangan terhadap UMNO. Persoalan tentang DEB, tulisan jawi, bahasa Melayu, kontrak sosial, agama Islam, ketuanan Melayu dan instusi Raja-raja Melayu sebenarnya lebih banyak menyerang orang Melayu daripada UMNO. Persoalan tentang UMNO tentunya berkisar tentang tuduhan rasuah, penyelewengan kuasa dan skandal-skandal politik. Tetapi apabila serangan itu mula menyasarkan kepada hak dan status orang Melayu maka ia adalah agenda tersirat memperjuangkan kepentingan kaum bukan Melayu dalam menuntut hak persamaan dengan orang Melayu.
Lebih buruk lagi ialah wujud situasi yang amat jelas memperlihatkan kerakusan dan keghairahan melampau pemimpin politik Cina baik dalam BN mahupun PR yang memperjuangkan secara mati-matian kepentingan kaum Cina melebihi kaum-kaum lain. Dan ia secara khusus pula menyasarkan serangan kepada kepentingan dan hak orang Melayu. Tindakan pemimpin Cina ini menghancurkan semangat dan ruh politik baru apabila mereka memperlihatkan wajah sebenar mereka yang amat tebal dengan kepentingan dan perjuangan perkauman.
Apabila DAP menyerang kenyataan Ahmad Ismail, ia segera disambut oleh pemimpin Cina Gerakan dan MCA yang secara gencar dan terus-terusan bersatu menghentam Ahmad Ismail. Isu papan tanda jawi dan perjuangan menghapuskan bahasa kebangsaan dengan cara menindihnya dengan tulisan bahasa lain oleh DAP disokong oleh Gerakan dan MCA. Isu Teresa Kok dan wartawan akhbar Cina ditahan di bawah ISA menjadi perjuangan bersepadu DAP, Gerakan dan MCA walaupun hakikatnya tahanan Melayu paling ramai ditahan di bawah ISA tidak pernah diperjuangkan kebebasan mereka. Buktinya sebaik sahaja pembebasan wartawan Cina dan Teresa Kok, perjuangan tiga parti Cina ini mula kendur dan malap.
Apabila Tan Lian Hoe dari Gerakan diminta memberi penjelasan terhadap kenyataannya yang menghina orang Melayu, Tian Chua dari PKR bangun menyokongnya. Juga apabila PKR melantik CEO berbangsa Cina untuk menerajui PKNS, Ketua Wanita MCA bangun mempertahankan PKR. Maka amat ketara dan jelas sifat perkauman pemimpin Cina dalam gerakan politik mereka. Politik baru dan perjuangan untuk menentang pemerintahan despotik digerakkan sejajar dengan perjuangan untuk kepentingan Cina. Pemimpin politik Cina ini tanpa malu-malu dan terang-terangan mengkhianati semangat dan ruh politik baru demi sifat perkauman mereka yang amat tebal.
Jika dilihat latar belakang politik kaum Cina ini, dapat dilihat bahawa mereka mempunyai satu titik pertemuan yang membuatkan mereka akan bangkit dan berpadu untuk menyokong satu sama lain tanpa mengira idealogi politik. Perjuangan politik ‘between the racial line’ itu sebenarnya adalah hakikat gerakan politik kaum Cina. Hal ini sebenarnya berkait rapat dengan citra perkauman yang menjadi asas kepada survival kaum Cina walau di mana mereka berada. Citra ini wujud sejak ribuan tahun dahulu ketika era pemerintahan Shih Huang ti yang menyatukan seluruh China dan bangsa Han.
Dalam sejarah kebangkitan moden, ia dibina kembali oleh Dr. Sun Yat Sen melalui tiga prinsipal untuk membangkitkan bangsa China. Salah satu prinsipalnya yang menjadi asas kepada titik pertemuan bangsa Cina adalah seperti berikut;
“The Chinese belong to the yellow race because they belong to the blood-stock of the yellow race. China is the only country where race and ‘nation’ are the same…. The Chinese people are of the Han or Chinese race with common blood, common custom – a single race….”
Citra yang meletakkan titik pertemuan kepada setiap wangsa Han yang dikenali bangsa Cina pada ini menjadi asas kepada tujuan dan matlamat walau di mana mereka berada. Ia akhirnya mewujudkan sifat dan sikap perkauman yang terpendam dalam dan sentiasa tersembunyi dalam setiap tindak tanduk mereka. Citra perkauman Cina ini adalah dibentuk oleh falsafah ‘Fa Jia’ yang diasaskan oleh Hsun Tzu (298-238SM) yang mencitakan tentang satu bentuk kawalan dan sifat kebersamaan yang ketat dalam membangunkan sesebuah masyarakat manusia. Aliran ini menolak sifat alamiah dan saling menyayangi yang dianjurkan oleh ajaran Konfusianisme dan Taiosme.
Sejarah telah membuktikan bahawa dua sejarah besar kebangkitan dan penyatuan China adalah dibawa oleh gerakan yang berasaskan falsafah Fa Jia iaitu, kebangkitan China di bawah Shih Huang Ti, dan kedua kebangkitan era moden di bawah Sun Yat Seng-Mao Tze Dong. Asas politik yang bergerak di bawah garisan identiti kaum dan kesedaran kaum ini menjadi titik pertemuan kepada matlamat besar survival kaum Cina.
Politik baru kini bukan sahaja dikhianati tetapi juga dihancurkan oleh sifat perkauman terpendam pemimpin politik Cina. Sukar untuk ditentukan sama ada pendirian pemimpin politik Cina ini adalah mewakili seluruh masyarakat Cina di Malaysia ataupun mewakili kepentingan sebahagiannya sahaja, ataupun hanya mewakili cita-cita pemimpin politik untuk mendapat kuasa demi kepentingan mereka.
Pemimpin Cina dan kaum Cina di Malaysia wajib bersifat jujur terhadap kepentingan orang lain dan harus membuang sifat ultra-kiasu mereka untuk membina kestabilan negara dan menyenangkan semua pihak. Dalam falsafah Konfusius wujud dua prinsip iaitu Chung dan Shu. Chung bererti ‘berbuat kebaikan kepada orang lain seperti berbuat kebaikan kepada diri sendiri’; sementara Shu pula bererti ‘jangan berbuat kejahatan kepada orang lain sebagaimana kamu tidak mahu orang lain berbuat kejahatan kepadamu’. Falsafah Konfusius ini bersifat alamiah dan sangat mementingkan keharmonian dan bersifat sejagat tanpa memberikan pengkhususan kepada bangsa atau apa-apa perbezaan identiti.
Jika pemimpin politik Cina dan masyarakat Cina mampu berbuat kebaikan kepada orang lain seperti mereka berbuat kebaikan kepada diri mereka sendiri, maka tidak akan timbul soal mempersoalkan bahagian kecil orang Melayu dalam DEB, kontrak sosial, penghormatan terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu yang semakin dirampas dan dirompak setiap detik, serta ketuanan politik Melayu yang secara dasarnya itu adalah sifat alamiah daripada kewujudan wilayah berdaulat orang Melayu sejak ribuan tahun dahulu.
Mengapa perlu ada ‘bangsa kuning dan bangsa bukan kuning’ dalam pemikiran orang Cina? Mereka tidak perlu menyembunyikan hakikat ini tetapi lebih penting menghalusi apa yang disebut Lao Tze tentang ‘wu-wei’ iaitu kembali kepada keharmonian semulajadi. Ia dapat ditafsirkan untuk meletakkan hak itu pada tempatnya. Jika hak orang Cina ialah untuk mendapat kekayaan ekonomi sebagai hak daripada usaha gigih mereka maka itulah haknya, dan jika hak orang Melayu itu untuk mendapat pembelaan dan penghargaan yang istimewa di atas pengorbanan mereka memberikan wilayah kedaulatan mereka untuk dikongsikan bersama ini maka itulah hak mereka. Mengapa perlu tamak, rakus dan biadap menentang kesemulajadian ini?
Mingguan Wasilah, 16-22 November 2008
Saturday, November 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment