Monday, January 26, 2009

ALFATIHAH UNTUK SASTERAWAN NEGARA ARENAWATI

Sasterawan Negara Arenawati kembali ke rahmatullah pada jam 1.30 pagi hari Ahad 25 Januari 2009 setelah beberapa lama terlantar di hospital UKM, Cheras. Innalillah wainna hirajiun. Saya mendapat sms daripada Dato' Anwar Ridhwan. Pada ketika itu saya berada di Universiti Wailalak, Nakhon Sithammarat, Thailand kerana dijemput oleh sdr. Abdul Razak Panaemale memberi bengkel penulisan kreatif kepada pelajar-pelajar pengajian bahasa Melayu Universiti Wailalak dan Universiti Prince of Songkhla Patani. Saya merasa amat terkilan kerana tidak dapat menghadiri pengkebumian Allahyarham.

Saya sempat melawat Allahyarham di hospital UKM Cheras bersama-sama Saleeh Rahamad, Shamsudin Othman, serta Puan Azah Aziz dan suami. Pada ketika Allahyarham sudah tidak boleh bercakap akibat terkena stroke. Keadaan Allahyarham sama dengan keadaan Allahyarham abah saya S. Othman Kelantan.

Saya masih terkenang bagaimana Allahyarham Arenawati memeluk saya ketika hadir pada hari pengkebumian allahyarham abah saya. Ada kata-kata yang terucap segar di mulut allahyarham, yang datang bersusah payah walaupun ketika itu allahyarham juga sudah tidak berapa sihat. Kata Shamsudin Othman, allahyarham Arenawati meminta sangat untuk hadir melawat jenazah abah saya. Saya tidak pasti allahyarham datang dibawa oleh siapa.

Saya adalah antara penulis yang membesar dengan karya-karya arenawati. Sandera, Lingkaran, Bara Batu dan Rontok antara novel-novel allahyarham yang saya baca semasa usia belasan tahun. Karya-karya Arenawati bagi saya adalah karya-karya besar yang punya semangat dan ruh perjuangan yang cukup besar.

Pemergian Allahyarham sememangnya kehilangan yang besar dalam dunia kesusasteraan Melayu. Semoga ruh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat yang mulia dan terpuji. Al-Fatihah.

4 comments:

saat omar said...

Al fatihah...semoga rohnya ditempatkan dengan orang-orang yang beriman

Abdul Rahman Sokran said...

Saya bukanlah siapa-siapa. Tapi terkesan juga dengan pemergiannya. al-Fatihah. Juga mohon izin blog sdr. dipautkan dalam blog saya....

S.M. Zakir said...

al-fatihah

sila pautkan blog saya ke blog sdr.

donmny said...

...kesitulah juga kita akhirnya, beza cuma siapa duluan