Monday, February 2, 2009

MELAYU DI LIGOR



Sebuah Masjid di perkampungan Melayu di Tha Sala, Nakhon Sitthammarat (Ligor), Thailand.
Tembok Kota Ligor yang dibina untuk menentang serangan musuh.
Kubur Panglima Che Teh di Kampung Sena.

Ketika orang pulang bercuti ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina, saya menghala ke Nakhon Sithammarat, Thailand. Memenuhi jemputan Universiti Wailalak untuk mengisi slot bengkel penulisan sempena Program Kursus Bahasa Melayu. Saya mengambil kesempatan melawat daerah perkampung Melayu di Nakhon Sitthammarat yang dahulu disebut sebagai Ligor. Ligor sebuah kerajaan yang menjadi pusat pentadbiran Siam Ayuthia di selatan. Ligor inilah yang sering menyerang Kedah, Perlis juga Patani dan Kelantan. Tidak ketinggalan juga menjadi pusat kekuasaan dan ketenteraan Siam dalam percaturan pengaruh mereka di Semananjung Tanah Melayu.

Nakhon Sitthammarat ini sekarang mempunyai penduduk Melayu-Islam yang berjumlah kira-kira 200 ribu orang iaitu 8 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Di kawasan Tha Sala, yang terletak berhampiran Universiti Wailalak merupakan kawasan perkampungan Melayu Islam. Sejarah menyatakan bahawa penduduk Melayu ini adalah berasal dari Kedah-Perlis yang dibawa oleh tentera Siam Ligor ketika mereka berperang dengan negeri-negeri Melayu sekitar abad ke-18 dan ke-19.

Penduduk Melayu di sini rata-rata masih boleh bertutur dalam dialek Kedah walaupun bahasa Siam digunakan secara rasmi dan meluas. Kampung-kampung Melayu di sini masih mempunyai nama Melayu seperti Simpang Empat, Kampung Sena, dan sebagainya. Bahkan suasana kampung di sini tidak jauh bezanya dengan kampung-kampung di Kedah dan Perlis. Masjid ada di mana-mana dan makanan halal masakan Melayu sungguh enak.


Saya dibawa oleh pensyarah Universiti Wailalak, Razak Panemale ke kubur Panglima Che Teh, seorang panglima yang berasal dari Kedah. Makam ini terletak di Kampung Sena. Keturunan Panglima Che Teh ramai terdapat di sini dan masih mempunyai hubungan darah dengan saudara mara mereka di Kedah.

Saya memikirkan jika dapat dibuat rombongan untuk melawat kampung-kampung Melayu di Ligor ini di samping menelusuri sejarah hubungan negeri Melayu-Siam. Tidak ada masalah sebenarnya jika ada yang berminat untuk mengumpul orang dan menyertai rombongan ke Ligor. Saya di PENA sedia menguruskan.

10 comments:

benuasuluk said...

tuan,
sebelum orang lain berdiri mengangkat tangan nak pergi, tolong masukkan nama saya jika program ini jadi. Mana tahu kot-kot di sana saya temui cebis peta perjalanan "kami." Tapi bagitau awal bila program, maklumlah saya hamba hina dina yang mengikut arahan, nak ke mana-mana kena isi borang itu ini.

Anonymous said...

TUAN

elok kiranya menelusuri blog dibawah. Mungkin ada jawapannya tentang melayu-siam itu;
http://sejarahnagarakedah.blogspot.com/

Sham al-Johori said...

tuan syeikh,
bukankah yang selalu menyerang kedah, perlis dan perak itu umno? sampai hari ini pun dia orang tu sibuk nak tawan sana nak tawan sini. Ligor itu kota tempat kelahiran syeikh maulana al-zubairi; pejuang yang membina masjid gersik.
salam.

S.M. Zakir said...

ligor ini asalnya negara Melayu sezaman dengan langkasuka, srivijaya dsbnya

amerr said...

salam,
saya baru masuk blog ni kerana tertarik dengan lawatan ke ligor tu. kebetulan memang minat saya mencari kebudayaan segenting ni.
kalau lawatan tu dibuka kepada orang luar saya pun berminat utk turut..

Unknown said...

kampung tok moyang saya berada di ligor. selalu jugak pergi sana. boleh lah nak join. skang belajar bahasa siam. bolehlah cakap sikit2.

suka suka said...

org melayu penduduk asal ligor,bukan dibawa masuk dr kedah n perlis,sempadan melayu dahulu sehinggalah ke ranong di segenting kra,semuanya milik krjaan melayu,org2 thailand dr utara dibawa mnetap ke selatan utk mengurangkan dominasi org melayu

farid said...

baru ini pada 13-17 April rombongan dari UKM mengadakan lawatan ke Nakhon.

mack ayub said...

Salam. Keturunan nenek saya dari sana, iaitu Thasala. Pak Long saya maseh menetap di sana. sesiapa sedara dari sana boleh WA saya di 019-3868477 Kami ramai yg dah berhijrah ke Malaysia...

Unknown said...

Cuba kaji tentang sharif Abu bakar shah yang dipertuan pula