Thursday, August 20, 2009

LTTC-INTERNATIONAL CONFERENCE




Bergaya dengan Saleeh Rahamad di Seminar. Tapi sebenarnya tengah melayang merangka ucapan sebagai wakil PENA.


Pembentang-pembantang dari AS dan UK sama saja standardnya dari segi isi dan kapasiti intelektual mereka dengan sarjana-sarjana kita di Malaysia. Bezanya mereka membentang dalam bahasa Inggeris dan datang dari universiti di Amerika Syarikat dan Eropah. Jadi janganlah merasa rendah diri dan memandang tinggi sangat sarjana Barat ini. Adalah segelintir yang taraf 'superintelectual', tapi kebanyakannya setaraf sahaja dengan sarjana kita di Malaysia. Malah ada satu dua orang sarjana Eropah ini merapu saja. Sifat memandang rendah dan myopic terhadap selain Barat memperlihatkan kecetekan pengetahuan mereka tentang dunia luar. Seorang pembentang di seminar ini bertanya soalan bodoh siapa yang menggunakan internet di dewan ini. Semua orang di sini menggunakan internet setiap hari. Masih tertanam dalam kepala otaknya bahawa penduduk Asia ini belum maju dan tahu menggunakan internet lagi. Maka apa yang dibicarakannya hanyalah kuliah untuk kelas komputer di sekolah.

Kita kalah dalam perang psikologi Barat sehingga sentiasa menyangka penutur bahasa Inggeris mempunyai kapasiti inteletual yang tinggi. Pada hakikat sebenarnya penutur bahasa Melayu atau bahasa ibunda mempunyai kapasiti intelektual kadang-kadang jauh lebih tinggi daripada sarjana Eropah pun. Seminar antarabangsa ini banyak memperlihatkan realiti propaganda 'white men burden' kepada saya. Tetapi dari dulu pun saya tidak pernah terlalu kagum kepada Mat Salleh. Sebab zaman remaja saya di Pulau Pinang banyak menemukan saya dengan Mat-Mat Salleh bodoh. Jadi tidaklah hairan sangat saya dengan produk luar khususnya dari Barat ni.

LANGUAGE AND LANGUAGE TEACHING CONFERENCE-INTERNATIONAL



Dari kiri; saya (SUA PENA), Prof Dr. Adisa Teo (Dekan FoLA), Datuk Bandar Hatyai, John Scaco (Duta AS di Bangkok), Dr. Paul Kei Matsuda (Arizona State Uni, USA), dan Huw Jarvis (Uni. of Salford, UK).


Pada 14-16 Ogos berlangsung Seminar Bahasa dan Pengajaran Bahasa (Language dan Language Teaching - International) di Prince of Songkhla University, Thailand. Seminar ini adalah anjuran bersama Faculty of Liberal Arts dan PENA, yang turut mendapat tajaan pelbagai pihak. PENA mendapat tajaan daripada Institut Terjemahan Negara (ITNM) bagi menjayakan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dalam bidang bahasa dan pendidikan. Saya hadir di atas kapasiti Setiausaha Agung PENA bersama Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden PENA yang juga merupakan wakil rasmi PENA dalam memberikan ucapan di majlis penutup. Para pembentang antaranya Dr. Paul Kei Matsuda dari Arizona State University, Huw Jarvis dari University of Salford, UK, Sue Kay dari Macmillan dan ramai lagi.

Seminar ini telah melonjakkan nama PENA di peringkat negara serantau dan antarabangsa khususnya jiran yang paling dekat iaitu Thailand. Kerjasama ini bermula apabila PENA menjalinkan hubungan dengan Persatuan Penulis Thailand (Semakhom Nakhian Thai) untuk aktiviti sastera. Apabila PENA diundang untuk mengadakan bengkel bahasa Melayu di Prince of Songkhla University, pihak Faculty of Liberal Arts universiti terbabit mengambil usaha untuk melibatkan PENA dalam beberapa program pendidikan mereka dalam menjalinkan hubungan awal dengan pihak dari Malaysia.

Dari situlah hubungan terus berlangsung sehingga hari ini. Hasil daripada hubungan ini PENA telah berjaya menubuhkan Kelab Bahasa Melayu di Prince of Songhkla University dengan usaha daripada pensyarah bahasa Melayunya Wanida Tehlong. Saya melihat hubungan ini sebagai usaha untuk membantu perkembangan bahasa Melayu di Thailand, khususnya dalam wilayah Songkhla ini. Sememangnya bahasa Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi di Songkhla. Terdapat empat universiti di Songkhla yang sekarang berminat untuk mengembangkan bidang pengajian bahasa Melayu.

Walaupun seminar dan program yang diadakan bersama dengan Faculty of Liberal Arts dijalankan dalam bahasa Inggeris dan melibatkan bidang bahasa Inggeris serta bidang lain seperti sains dan juga sains sosial, tetapi ini adalah satu-satunya cara untuk berhubungan secara rasmi dengan pihak universiti di Thailand, kerana mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan kita tidak tahu berbahasa Thai. Namun dari sini, hubungan dapat dimulakan dan seterusnya dapatlah dilaksanakan program-program bahasa Melayu termasuk memperkenalkan sastera tradisional seperti syair, pantun, sajak dsbnya. Ia dapat dijalankan dengan rasmi dan mendapat dokongan pihak pentadbiran di sana. Jika tidak melalui hubungan sebegini, bahasa Melayu dan penggiat bahasa Melayu mungkin akan dipandang curiga lantaran konflik yang berlaku di empat wilayah selatan Thailand itu. Maka itu kami datang dan masuk melalui saluran rasmi dan mengkhusus kepada bidang pendidikan dan kebudayaan. Alhamdullilah kami disambut dengan amat baik oleh pihak universiti, NGO dan kerajaan Thailand.

Untuk masa ini, saya dimaklumkan bahawa tiada badan atau institusi dari Malaysia yang membantu secara konsisten dan jangka panjang pihak universiti di Thailand ini dalam usaha mengembangkan pengajian bahasa Melayu. Jika adapun ia hanya bersifat ad hoc. Saya dan Saleeh Rahamad membawa PENA untuk terlibat membantu pengembangan bahasa Melayu dalam kapasiti yang terhad di sini mungkin atas sedikit rasa kesedaran dan selebihnya adalah permohonan daripada rakan-rakan kami di Thailand yang meminta kami datang membantu program bahasa Melayu mereka. Abdul Razak Panaemale, Wanida Tehlong, Kamaruddin Esayah, Aminah Yasale, Harith Che Do adalah antara pensyarah di beberapa universiti di sini yang berhubungan rapat dengan kami di PENA dalam menggiatkan program-program bahasa Melayu.

Kami di PENA hanya mampu membantu sekadar yang termampu. Maka bantuan dan sumbangan pihak seperti ITNM sangat besar ertinya bukan sahaja kepada PENA tetapi lebih besar lagi kepada pihak-pihak yang berjuang mengembangkan pengajian bahasa Melayu di wilayah Songkhla ini.

Saturday, August 15, 2009

SAJAK DI GUNUNG LEDANG

Sdr Rusdi, sudah siap lama sajaknya. cuma tenggelam sekejap di bawah sajak 'dewi'


Kabut

Kau menyalahkan kabut
saat kita tidak dapat melihat matahari
di puncak gunung purba
yang menyimpan mitos sang puteri
langit adalah sayap suci
yang menebar di kanan dan kiri
kita; ruang putih syurga
apakah kau mampu melihat
wajahmu saat putih mengelilingi
hingga seluruh tubuh kita menjadi putih
seperti malaikat yang datang dari cahaya

kau masih menyalahkan kabut
saat kita tidak dapat lagi melihat rumput
di bawah kaki kita yang hanya memijak putih
dan kita mencari-cari misteri sang puteri
yang menginginkan cintanya
dalam semangkuk darah
dan titisan airmata
masih lagi kita tertanya
apakah cinta itu seperti kabut putih
atau hijau rerumputan
sedang kita tahu
bahawa cinta juga pernah
datang sebagai darah dan airmata

Kau masih ingin menyalahkan kabut
saat kita tidak lagi melihat cinta
di putih langit mahupun di hijau rumput
kerana darah dan airmata
telah menukarkan tubuh kita
menjadi cinta yang terpasak di batu


S.M. Zakir
Gunung Ledang
1 Ogos 2009

Wednesday, August 12, 2009

SECAWAN KOPI MANIS

Dewi

Ruang sejuk ini bukan kayangan
yang menumpahkan cetera
seorang raja pemilik kesaktian
yang mampu menewaskan
raksasa dan bota kerana mengikut mimpi
mencari puteri di negeri nan jauh
ia hanyalah ruang sejuk
tempat kita meneguk kopi
sambil menunggu pesawat
mengangkat kita ke langit

kau adalah dewi yang tiba-tiba
jatuh dari langit angan-angan
setiap lelaki yang tiba
membawa buntilan raga
dari hati yang sering jatuh dan luruh
dalam kayangan dewa dan dewi
kopiku terasa manis saat hatiku
jatuh dan mengacau gula di dalamnya

apakah setiap saat sang dewa
mampu memanah cintanya
menembusi jajaran pokok
untuk membuktikan kesaktian
demi merebut cinta sang dewi

aku tentunya lelaki yang tidak punya
panah dan busur yang mampu
memanah hati sesiapa
cuma mengharap seteguk kopi
menghilangkan dahaga dari perjalanan
yang lelah mengitari kota
yang penuh cinta, dewa dan dewi


S.M. Zakir
Bandung,
8 Ogos 2009

Saturday, August 8, 2009

ANTARA BANDUNG DAN JAKARTA





Angkutan yang menjadi pengangkutan umum di Bandung - murah tapi kena banyak bertanya dan bersesak.


Pada 05 Ogos 2009, saya dan Shamsuddin Othman berlepas ke Bandung untuk mengikuti Konferensi Internasional Kesusasteraan XX Himpunan Sarjana-Kesusasteraan Indonesia (HISKI). Kami cuma datang sebagai pemerhati dan penyokong kepada Saleeh Rahamad yang membentangkan kertas kerjanya. Selebihnya kami menjadi penyokong industri beli belah di Jalan Setiabudi, Chempelas, Jalan Riau, Pasar Baru, Jalan Merdeka, Cibaduyut, dan jualan buku di Palusari. Hingga poket di semua baju dan seluar kami - kering kontang (lebih-lebihnya saya sebab duit memang dah sikit).

Dalam perjalan selama 3 jam di atas kapalterbang saya telah menyambung dan menghabiskan buku Karen Amstrong A Short History of Myth. Di Bandung atau Indonesia umumnya saya melihat mitos menjadi sebuah sistem nilai yang mencirikan budaya,peraturan dan pegangan hidup. Mitos mewujudkan manusia sebagai homo logos, yang berdiri antara myth dan reason.

Saya mengambil keputusan untuk menikmati perjalanan kereta api dari Bandung ke Jakarta (berhenti di Gambir). Perjalanannya tiga jam. Mungkin ada yang tertanya, berapa banyak wang saya hingga sentiasa berjalan ke luar negara. Sebenarnya tak banyak. Saya mengamalkan perjalanan budget, kata orang. Tiket kapalterbang Air Asia KL-Bandung (atau Jakarta) RM430. Sampai di Bandung, cari hotel sederhana seperti Mutiara berhampiran Stesen kereta api dengan harga biliknya sekitar 240 ribu (sekitar RM80). Banyak hotel yang murah sekitar Stesen kereta api ini. Di sini hampir dengan Pasar Baru, nak beli belah barang murah ok la. Nak yang tiga bintang sekitar 300-500 ribu (RM120-150) ada Vue Palace atau Arion Hotel.

Nak Berjalan naik saja angkutan (van kecil dibuat macam bas mini). Tambang sekitar 2000 hingga 4000 rupiah saja (RM1-RM2). Naik teksi kurang2 20-40 ribu rupiah (RM7-RM15). Makan cari pusat beli belah, makanan di kiosk2 sekitar 10-30 ribu rupiah. Restoran nasi padang mahal kurang2 100 ribu rupiah makan dua orang (RM36). Sekali sekala boleh cuba makanan Sunda di restoran Ampera, sama harga dengan restoran Padang. Jadi sehari jika kongsi 2 orang semua sekali hotel, makan, berjalan cuma habis RM100 saja. Boleh beli tudung dan baju lagi di Pasar Baru. Duduk 4 hari 3 malam baru RM400 saja. Campur tambang RM900 saja la. Boleh beli barang sikit-sikit. Kalu pandai cari hotel murah dan makan murah, boleh jimatkan lagi. Bawa RM1000 jalan 2-3 orang pun dah cukup untuk 4 hari 3 malam. Nak selesa bawa lah RM1500, boleh pergi Tangkuban Perahu tengok tragedi Malim Kundang. Kalau setakat nak berjalan la. Kalau tujuan nak beli belah dan hal-hal lain, sendiri mau ingat la.

Masalah yang pakai duit banyak, sebab tengok barang di outlet Chempelas, Jalan Dago, Jalan Riau yang boleh gelapkan kepala otak. Cara mudah ambil satu hari untuk berjalan semua tempat tanpa beli apa2. Sudah dibanding harga, esok baru datang beli tempat yang paling murah. Kalau tidak dah beli nangis tak berlagu, di tempat lain harga barang yang sama murah 2 kali ganda. Beli kulit di Cibaduyut harus hati2 juga, ada kawan terkena yang palsu. Kulit apa bakar pun cair, kutil pun koyak. akhirnya tingal kat hotel, malu nak bawa balik. ada la kawan tu.. tapi ada juga kawan pergi Bandung beli alas kaki 10 ribu rupiah 2 helai, gelak kawan2 kat chow kit pun berlambak la bang.

Saya tinggalkan Saleeh dan Shamsudin di Bandung. Naik kereta api 50 ribu rupiah tambangnya terus ke Jakarta. 50 ribu (RM18) rupiah tu kelas eksekutif, air-cond, layanan makanan oleh pramugari seperti airasia. Perjalanannya 3 jam lalu bukit dan sawah yang sungguh cantik. Saja nak merayap. Atas kereta api pergi balik Bandung-Jakarta saya sempat habis separuh dari buku Slazoj Zizek Violence. Kata Zizek ekonomi bebas ini bukan melahirkan kapitalis tetapi golongan liberal comunist. Bill Gates, Soros dan sebagainya itu sebenarnya adalah komunis liberal. Mereka mewujudkan dana-dana bantuan kemanusiaan, membantu negara miskin tetapi dalam masa yang sama mengaut keuntungan pasaran bebas seperti industri maya, spekulasi saham dan matawang, perbankan dan sebagainya. Begitu juga negara-negara maju kapitalis yang mempunyai dua wajah, satu malaikat dan satu setan. Di Jakarta, dua wajah malaikat dan setan ekonomi bebas bergentayangan. Jarak antara kaya dan miskin amat jauh. Malaikat ketika mereka memberi pinjam, dan setan ketika mereka menyedut riba.

Dalam keretapi antara Jakarta dan Bandung, wajah ekonomi bebas menyelit di celah kolong, manusia hidup di timbunan sampah, bangunan kapitalis yang mencakar langit, pusat beli belah moden. Wajah setan dan malaikat ekonomi bebas berkontradiksi. Saya mencari pemahaman daripada apa yang dikatakan Zizek, "the wordless character of capitalism is linked to this hegemonic role of scientific discourse in modernity'.

Balik ke Bandung, saya menumpang di bilik Shamsudin. Tiga peristiwa besar di Indonesia. Pertama kematian Mbah Surip, penyanyi raggae rakyat marhaen. Kedua kematian WS Rendra, seniman besar Indonesia. ketiga, penumpasan Nordin Mat Top oleh pasukan elit Indonesia. Kes Nordin Mat Top memperlihatkan bagaimana dunia simulacra Baudrilard berfungsi. Media digunakan untuk 'memitoskan' penumpasan Nordin Mat Top. Tujuannya banyak, agenda politik domestik dan politik dunia Barat (mirip dengan cerita Bodies of Lies). Saya berkata kepada teman, "Tengoklah akhirnya nordin mat top letup diri dan mayat tak dikenali. Kes tutup". Apa yang saya katakan benar terjadi. Kalau saya bertaruh tentu sudah menang besar.

Besok merayap bersama Saleeh dan Shamsudin ke Pasar Baru dan Jalan Riau. Pukul 2.00 Malaysia daftar keluar hotel terus ke airport. Bertemu gadis Sunda yang mengheret kami ke kafenya, kebetulan seorang siswi jurusan bahasa dan sastera. Pelakon teater pulak. Saya umpan nak bawa jadi pelakon teater saya (terus semangat nak buat teater) lawan Rahimidin. Tapi kawan saya berdua pun minat juga nak jadikan 'pelajar'. Ada yang nak taja buat pasport lagi. Saya tak bawa kamera, jadi boleh minta gambar si dewi ini bersama kami dengan teman saya yang berdua itu. Tetapi jangan prasangka teman saya berdua itu semua baik dan berniat baik(termasuk saya la).

Atas kapal terbang 3 jam perjalanan itu saya habiskan buku Islam, Democracy and Western Values (Islam Liberal versi Malaysia?). Disusun oleh Al-Mustaqeem dan diterjemah oleh Aloysius Mowe, dibiaya oleh Konrad Adenaur Foundation. Saya tidak bersetuju dengan beberapa perkara di sini. Demokrasi adalah sama dengan Piagam Madinah dan nilai Barat seperti liberalisme dan civil rights adalah nilai yang sama dengan apa yang terkandung dalam al-Quran. Perlukan wacana? pada lain masa dan tempat, tetapi saya tentu ada hujah dan wacananya. Nilai Barat dan demokrasi sekular tidak ada dinnya, ia sekular. Macamana boleh sama?

Balik KL, ambil teksi untuk berkejar ke Majlis Menjelang 75 Tahun A. Samad Said. Saya sempat hadir dan membaca puisi. Undangan ITNM dengan CEOnya Khair Ngadiron yang merakyat itu tak mungkin saya tolak, walaupun masanya bekejar2. Balik rumah tidur mati. Bangun Subuh, saya terpinga ada suara budak, anak siapa pulak masuk bilik hotel ni. Tengok rupa, macam anak aku - oh saya di Malaysia, bukan di Bandung lagi.

GUNUNG LEDANG

31 Julai hingga 2 Ogos, saya, Shamsudin dan Rahimidin menyertai Amiruddin di program PPJ bersama DBP Wilayah Selatan dan Perbadanan Taman Negara Johor. Setibanya di Resort di kaki Gunung Ledang, ahli-ahli PPJ telah ada. Kami menyertai mereka dan berkenalan dengan Encik Aziz, pegawai Perbadanan yang bertanggungjawab ke atas program ini.

Resort yang indah. Merendam kaki di anak sungai yang mengalir air gunung sambil anak-anak ikan kelah menggigit kaki. Spa ikan di KL RM40 sejam. Di sini rendam lah berapa lama, percuma saja. Air gunungnya pula sejuk dan menyegarkan. Banyak khasiatnya.

Besok Sabtu, kami dibawa dengan trak dan pacuan empat roda ke puncak Gunung Ledang. kemudian berhenti di bangunan Telekom sebelum mendaki ke puncak kira-kira 20 minit. Puncak Gunung Ledang berkabus, jadi kami tidak dapat melihat apa-apa. Dalam perjalanan turun, Shamsuddin membawa saya melihat batu bersurat di atas Gunung Ledang. Ada tulisan jawi tua yang tidak dapat dibaca. Kata Persatuan Sejarah Johor, ia cuma vandalisme. Tapi kepercayaan (mitosnya) ia adalah batu bersurat yang ada sejak zaman empayar Melaka. Saya tidak ingin menjustifikasikannya. Tapi banyak mitos di Gunung Ledang ini. Kena tanya Shamsudin Othman, kerana dia orang Tangkak penduduk asal kawasan Gunung Ledang ini.

Malam ada baca puisi. Hebat dan indah puisi-puisi penulis Johor. saya fikir pihak perbadanan mengambil langkah yang positif dalam mempromosikan taman negaranya melalui program penulisan puisi yang mengangkat keindahan, sejarah dan mitos yang ada di taman-taman negaranya. Puisi-puisi yang dibukukan elok disebarkan kepada orang ramai. Ramai yang sebenarnya tidak tahu tentang kawasan pelancongan alam yang indah di taman-taman negara ini.

Mungkin banyak perkara telah ditulis oleh kawan-kawan. Jadi saya pulang membawa dua kenangan, pertama spa ikan dengan anak-anak kelah yang jinak. Dua, pokok-pokok herba yang mempunyai khasiat bermacam-macam dan nama bermacam-macam. Satu daripadanya Derhaka Mertua. kenapa diberi nama sedemikian, sila tanya Rahimidin Zahari.

Sayang, gambar-gambar yang saya ambil melalui telefon bimbit tak pandai untuk saya pindahkan ke komputer.