Wednesday, May 26, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS





penulis dijamu kemudian ditipu






PENERBIT PENIPU DAN ROYALTI KOMSAS

KOMSAS muncul lagi dengan pelbagai isu. Tetapi kali ini isu besarnya ialah soal royalti kepada penulis. Langkah Kementerian memberikan royalti kepada penerbit membuka ruang kepada penipuan penerbit terhadap penulis. Kementerian membayar 8% royalti untuk setiap karya eceran yang terpilih kepada penerbit, dan memberikan kuasa kepada penerbit untuk menentukan royalti kepada penulis. Sebuah karya terbitan PENA juga terpilih. PENA dalam mesyuarat baru-baru ini menetapkan bayaran 5% royalti kepada penulis dan 3% untuk penerbit. PENA mencadangkan kaedah ini digunapakai oleh penerbit lain. Tetapi penerbit telah mula menipu dalam soal royalti ini. Seorang penerbit yang pemiliknya bernama Shafei (lih. blog Rahimidin) membayar royalti 12% dari jumlah keseluruhan. Ini bermakna penulis hanya mendapat royalti kurang 1% daripada keseluruhan 8% yang dibayar oleh Kementerian. Penipuan dan penindasan ini amat celaka sekali. Oleh itu PENA bercadang mengadakan forum berkenaan isu royalti ini dengan menjemput Bahagian HakCipta dan pihak SPRM sendiri bagi melihat segala macam penyelewengan yang berlaku baik dari segi hakcipta mahupun unsur rasuah yang wujud. Dengan itu PENA mengalu-alukan penulis yang berpengalaman dalam soal royalti dan pihak guaman untuk menghulurkan tenaga sukarela menjadi panel dalam forum ini.


SUBSIDI DITARIK RAKYAT DIJEPIT

Sms pagi ini berbunyi PEMANDU: Jika Malaysia mengurangkan subsidi ia patut dilakukan A. Setahun B. 3 tahun c. 5 tahun. Ini kaji selidik kononnya untuk mendapat restu rakyat. Yang pasti kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurang atau menarik terus subsidi. Kaji selidik ini seperti tender yang keluar tapi kontraktor telah dipilih. Maknanya keputusan sudah dibuat cuma syarat untuk mengabui saja. Subsidi akan dikurangkan atau ditarik bermakna rakyat akan dijepit oleh kenaikan harga keperluan dan peningkatan kos sara hidup. Dalam keadaan sekarang tarif elektrik naik 2 kali ganda, dan segala bil untuk kemudahan hidup meningkat tarifnya setiap masa. Rakyat dijepit lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan menarik subsidi. Maka angka2 pertumbuhan ekonomi hanyalah retorik kosong dan sesuatu yang tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat jika kehidupan rakyat bertambah susah dari hari ke hari. Apa gunanya kerajaan hari ini jika setakat pandai menipu melalui angka pertumbuhan tetapi rakyat semakin susah?


FILEM 'JUBUR' MELAYU

Kebelakangan ini filem Melayu diterjah filem2 homoseksual seperti Anu dalam Botol, Dua Alam, Chukang dan sebagainya. Kita jadi tertanya tidak adakah lagi isu, tema dan pemikiran yang besar dan baik yang boleh dibawa oleh pengarah filem Melayu hari ini. Ketika pengarah2 filem negara lain, atau paling dekat Thailand dan Indonesia mengangkat tema filem yang hebat, filem Melayu masih mencari sensasi murahan yang klise lagi jelek. Queen of Langkasuka di tangan Nonzee begitu hebat mengangkat sejarah kesultanan Melayu Patani dibawah ratu-ratu Patani. Nonzee juga menghasilkan filem OK Baytong yang mengisahkan pergolakan di Selatan Thailand dari kacamata seorang Sami Buddha. Atau paling lekeh filem Ada Apa dengan Cinta sebuah cerita cinta popular tetapi mengangkat sajak Chairil Anwar. Atau filem Merantau dari Indonesia yang mengangkat kehebatan seni silat Melayu. Di mana otak pengarah filem Melayu (selain U-Weu, Shuhaimi Baba yang hasilkan filem bermutu dan berpemikiran) yang hanyut dengan filem rempit, bohsia, homoseksual, hantu plastik, humor jalanan dan sampah sarap ini. Pembikin filem tak bermoral ini, seperti kata seorang penonton mungkin otaknya terletak di belakang dubur sahaja. Industri filem Melayu pada hari ini terutamanya di tangan pengarah muda adalah antara industri pengeluar filem sampah yang besar di Asia Tenggara. Mungkin nombor satu.

Monday, May 24, 2010

SAJAK







kaki langi di beting kaki






Kaki Langit

Kaki langit
di beting kakiku
senja tumbuh
dari akar bumi
meraup hitam
ke muka alamku
kau datang
mencari pintu
untuk kau ketuk
dan masuk
tetapi yang kau
temui hanyalah
rumah yang tidak
boleh kau masuki

kaki langit
di beting kakiku
huruf-huruf tuhan
di garis cahaya
menutup pintu
fikiran yang diraup
malam akar hitam
jatuh di pantai
berguling menjadi
pasir dan ombak
laut dan pantai
menjadi satu
di rumah
yang tidak
berpintu ini.


Tanjung Rhu
30 April 2010

Wednesday, May 19, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS




Hubungan senusantara harus dipererat dan diperluaskan



PENYERTAAN TERBUKA BENGKEL MASTERA


Dewan Bahasa dan Pustaka membuka penyertaan untuk Bengkel MASTERA di Indonesia kepada penulis dan persatuan penulis dengan biaya sendiri. Tahun lepas ketika DBP tidak dapat menghantar peserta ke Bengke MASTERA kerana masalah kewangan saya mencadangkan agar penyertaan dibuka untuk mana-mana penulis atau badan penulis mengikutinya dengan biaya mereka sendiri. Kini DBP membuka penyertaan tersebut sebagaimana saya cadangkan tahun lepas. Cuma tahun ini iklan tentang penyertaan terbuka Bengkel MASTERA ini agak terlalu singkat. Maka badan-badan penulis mungkin tidak bersedia untuk. Tetapi tahun hadapan para penulis dan badan-badan penulis boleh mempersiapkan diri dan belanja untuk ke Bengkel MASTERA. Selain daripada bantuan yang diberikan kerajaan melalui DBP dan kementerian lain, para penulis dan badan penulis juga perlu berdikari dalam menyumbang kepada kemajuan sastera.


BN KALAH DI SIBU

Kekalahan BN di Sibu memperlihatkan BN masih tidak berada dalam kedudukan yang selesa walaupun dengan pelbagai macam usaha dan dakyah yang dilakukan. Kedudukan BN amatlah tidak selamat terutamanya di kawasan bandar. Dari sisi lain suasana politik consociational yakni politik berasaskan kepentingan kaum dalam hakikat masyarakat yang berada dalam perjuangan kepentingan kotak kaum masing-masing, memperlihatkan sentimen agama, kaum dan budaya masih menjadi faktor utama politik. Isu kalimah Allah yang dimainkan oleh DAP di Sibu memperlihatkan bagaimana sentimen kaum dan agama menjadi faktor utama keputusan politik. Kenyataan Dr. Chua Soi Lek mengatakan bahawa masyarakat Cina lebih tertumpu kepada isu intelektual dan bukan isu bread and butter adalah retorik politik yang cuba menutup sifat perkauman yang tebal masyarakat Cina khususnya Cina di bandar. Pada hakikatnya masyarakat Cina khususnya di bandar mempunyai sentimen perkauman termasuk fundamentalisme agama-budaya yang sangat tebal.


KAHWIN PUN KENA PENJARA

Pasangan Bung Mokhtar-Zizie dikenakan hukuman denda dan penjara kerana berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Dari segi undang-undang ia tidak boleh dipertikaikan kerana peraturan keluarga Islam diaktakan demi kerukunan masyarakat. Namun dari sudut gejala sosial masakini, ia memberikan suatu kesan psikologi berbalik kepada masyarakat hari ini yang sangat terdedah kepada suasana sosial yang begitu kondusif kepada perlakuan buruk. Peranan media, publisiti, dan persepsi akhirnya 'menghukum' berpoligami adalah satu dosa dan kesalahan. Maka masyarakat yang suka mengambil jalan mudah tentunya mengelakkan perkahwinan dan akhirnya menambahkan lagi bayi dibuang, hubungan luar nikah dan gejala sumbang. Pandangan mufti Selangor tentang pendekatan memudahkan hukum syarak dalam konteks mengambil kira suasana masyarakat masa kini, apatah lagi ia melibatkan hal seperti berpoligami yang dibenarkan dalam Islam patut diberikan perhatian. Pendekatan yang bijak dapat mengelakkan perkahwinan (poligami) daripada dipersepsikan sama dengan hubungan luar nikah.

CATATAN PENDEK MEI





waktu seperti tangga kubur. pantas bergerak menuju mati.



Bulan semakin deras bertukar. Tiba-tiba sahaja sudah berada di hujung Mei. Sedang 2010 saya rasa baru sahaja datang. Mei bererti kita sudah di pertengahan tahun.

11 Mei saya, bersama Rahimidin, Shamsudin hadir ke Majlis Sambutan Hari Persekutuan Rusia anjuran Pusat Sains dan Budaya Rusia di Malaysia di KL Convention Centre. Saya mendapat undangan daripada Pengarahnya Mr. Mikhail Popov. Kami bertiga seperti 'three Stooges' (Haji Sham kata, tapi saya tak) tiba-tiba tercangak di majlis bersama orang2 putih, dif2 kehormat dan atache2. Sebagai wakil penulis dan memang wakil penulis kami tetap jujur sebagai penulis. Pakaian kami pakaian penulis. Percakapan kami percakapan penulis. Dan tercanggak-canggak kami pun tercanggak-canggak penulis. Kami balik sebelum habis acara sebab Haji Sham mabuk... mabuk makan tiram. Maklumlah tiram Sungai Maa'mor di Tangkak tu kecik2 saja. Tiram Rusia ini sudah lah besar, mentah pulak. Nasib la aji, banyak2 makanan sapa suruh ambil tiram mentah

14 Mei Jumaat, saya hadir sebagai penceramah sastera bersama lebih 20 orang penulis lain di Sekolah Maahad Persekutuan Kajang dalam acara Sehari Bersama Sasterawan Negara dan para penulis. Anjuran PPD Hulu Langat, PPS dll. Dato' Dr. Anwar Ridhwan memberi ucap utama. Setelah itu penulis2 dibawa ke 27 buah kelas untuk berinteraksi dengan pelajar. Saya memuji program ini sebagai satu program baik dalam mengembangkan sastera ke sekolah. Ketika saya bercakap di hadapan murid2 tingkatan dua di situ, saya cuba seboleh mungkin bercakap mudah tentang sastera. Rupanya dalam sesi soal jawab murid2 ini mendahului jangkauan saya. Mereka tahu, faham dan mengenali sastera melebihi jangkauan saya. Namun ketika saya bertolak keluar sekolah, saya terfikir apakah acara ini dapat dilakukan secara konsisten. Saya segera mendapat jawabannya. Tidak. Dan murid2 yang bijak serta mengenali sastera esoknya akan segera lupa tentang sastera.

15 Mei Sabtu, saya menonton muzikal West Side Story di Istana Budaya. Tiketnya berharga RM500 dan tentunya saya - penulis - dapat masuk hanya dengan ihsan dan tajaan. Tak mungkin saya menontonnya dengan tiket semahal itu. Tetapi sekali lagi kepercayaan saya bahawa mutu seni dunia moden ini ditentukan oleh promosi dan jenama daripada projeksi media secara grandios dan bukan kerana kehebatannya yang asli adalah tepat. Produksi West Side Story ini bagi saya hampas berbanding produksi tempatan seperti contohnya PGL (dari segi persembahan, set dan kostum), muzikal tempatan lain yang dipentaskan di IB. Cuma kerana pemainnya berkulit putih, namanya bahasa Inggeris, produksinya dari Barat maka ia menjadi dewa untuk kita - bangsa dunia ketiga yang terdera dalam psikologi 'white mens burden'. Maka kawan saya, tauke panggung @ budayawan yang fanatik seni persembahan dan tidak pernah tidur dalam dewan persembahan terlena berpuluh kali sepanjang persembahan. Eloklah. Kalau tidak sia-sia saja kuliah dhuhanya pagi tadi. Saya - bulatkan mata besar (sebab rabun jauh) untuk lihat lekuk tubuh dan gerak aksi yang hanya berbalam putih-putih sahaja.... ada adegan senggama atas pentas lagi. Sayang haji sham tak ada.. kalu tidak mabuk lagi aji tu.

Saturday, May 15, 2010

SAJAK






Politik adalah jala, kita adalah ikan





Politik

Sebutir udara panas
jatuh di tubir jendela
kamar yang terkatup suram
berguling di kaki meja
seorang lelaki mengira-ngira
apa yang dapat dibelinya
dengan kuasa di parlimen
ada papan catur
yang terbuka di mejanya
untuk membuka siasah
mencatur segenap perkara
menjadi politiknya
sekolah, masjid, kuil
balairaya, jalan, bank
mahkamah, rakyat dan parlimen
adalah buah-buah caturnya
politik menjadi tuhannya
dan tuhan menjadi politiknya
sebutir udara panas
jatuh berguling di kamar
yang terkatup suram
seorang lelaki masih mengira-ngira
apa yang dapat dibeli
dengan kuasa di kerusinya
wanita, kuasa dan harta
setiap nafasnya menjadi politik
dan setiap saatnya adalah politik
sebutir udara panas, seorang lelaki
dan politik; di bilik terkatup suram
menjual tuhan di papan catur politiknya

S.M. Zakir
Bukit Jalil
21 Februari 2010

Wednesday, May 12, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS




Hubungan mesra dan akrab penulis dengan DBP memang terjalin sejak dulu. Tetapi hubungan ini menjadi renggang oleh hilangnya kepercayaan penulis terhadap DBP apabila karya-karya penulis yang diterbitkan oleh DBP tidak dipasarkan oleh DAWAMA. Sikap kong kali kong Dawama membinasakan industri penerbitan buku bahasa Melayu. Gambar Hiasan: Hubungan mesra penyair Rahimidin Zahari dan KP DBP harus menjadi contoh untuk penulis lain.


BAWA SPRM SIASAT PENGSWASTAAN DAWAMA

Pendedahan Berita Harian dalam Ruangan Sastera Rabu 12 Mei 2010 tentang kegagalan penswastaan DBP kepada Dawama Sdn Bhd harus diberi pujian yang tinggi. Pengelola ruangan sastera, Salbiah Ani yang membuat pendedahan berani itu sekaligus menjadi whistleblower harus diberi pujian yang tinggi. Kerenah Dawama ini memang telah lama dan berjuta kali disuarakan oleh para penulis. Dawama tidak mencetak buku, tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab serta mementingkan keuntungan melampau sehingga melanggar perjanjian (amanah rakyat) untuk mencetak dan memasarkan buku-buku berbahasa Melayu sudah tidak dapat dimaafkan lagi. Masalah Dawama ini harus segera dibawa ke peringkat EPU dan kabinet, tindakan yang paling wajar ialah menamatkan kontrak Dawama sesegera yang boleh.

Pengswastaan bahagian percetakan dan pemasaran DBP kepada Dawama adalah suatu urusan yang sangat menimbulkan pertanyaan. Selain daripada membunuh puluhan syarikat kecil bumiputera yang mengambil tender aturhuruf, pisahwarna dan percetakan daripada DBP, pengswastaan itu juga melupuskan keuntungan DBP daripada hasil buku teks. Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik pengswastaan ini sebenarnya? DBP rugi, penulis rugi, bahkan bahasa Melayu dan sastera keseluruhannya rugi akibat Dawama ini. Hanya Dawama dan konco-konconya (atasan) yang terlibat dalam pengswastaan pelik ini yang mengaut keuntungan. Bahkan duit pembayar cukai juga mengalir ke perut Dawama yang berniaga atas modal duit rakyat, iaitu mengambil alih bahagian paling menguntungkan badan berkanun kerajaan tanpa mengeluarkan modal dan bersusah payah.

Sewajarnya bukan sahaja kontrak Dawama ini harus ditamatkan serta merta, tetapi pihak SPRM wajib dibawa masuk untuk menyiasat 'tindakan dan keputusan pelik' yang berlaku di sebalik pengswastaan ini. Pengkhianat-pengkhianat bangsa yang menjual DBP ini harus menerima pengadilan yang sewajarnya. Kes ini adalah contoh kepada ketamakan gila manusia Melayu yang bukan sahaja membuang najis dan membunuh puluhan syarikat kecil Melayu kerana ketamakan yang luar biasa empat lima ekor Melayu, tetapi juga menjual maruah perjuangan bahasa Melayu DBP.


TANGKAP PENGHASUT 'KALIMAT ALLAH' DI SIBU

Keghairahan Pakatan Rakyat memancing pengundi dalam pilihanraya kecil di Sibu menimbulkan kegusaran terhadap keselamatan negara oleh kegilaan mereka menggunakan isu kalimat Allah sebagai modal politik. Tindakan Pakatan Rakyat khususnya DAP adalah tindakan bodoh politik yang seharusnya tidak berlaku dalam kebijakan berpolitik hari ini. Tindakan ini adalah sangat berbahaya dan memancing kepada hasutan yang boleh memarakkan api persengketaan agama. Apakah DAP, PKR dan PAS ini tidak menyedari tentang kebakaran gereja dan masjid diakibatkan oleh isu kalimat Allah ini. Ternyata kini Pakatan Rakyat ini pula menjadi batu api dan penghasut utama pula kepada permusuhan agama dan kaum di Malaysia ini. Pakatan Rakyat harus bertanggugjawab ke atas sebarang perkara buruk yang berlaku selepas ini akibat isu kalimah Allah.

Pihak berkuasa harus mengambil tindakan segera menangkap mana-mana pemimpin politik baik DAP, PKR mahupun PAS sendiri yang memainkan isu kalimah Allah ini sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya sebarang perkara buruk oleh sentimen agama ini. Pihak berkuasa harus memikirkan keselamatan negara dan rakyat lebih daripada kekhuatiran isu penangkapan akan menjadi modal politik Pakatan Rakyat. Tindakan tegas harus dilakukan iaitu menangkap dan menahan (di bawah ISA sekalipun) pemimpin politik DAP, PKR dan PAS yang mencetuskan isu kalimat Allah di Sibu ini.

PAS BERSEKONGKOL DENGAN MISIONARI KRISTIAN?

Anwar Ibrahim sudah jelas bersekongkol dengan golongan misionari Kristian dalam PKR (Chua Hui Meng dsbnya), bahkan turut mendokong pluralisme yang mengatakan semua agama itu sama. Islam, Kristian, Yahudi, Hindu-Buddha itu sama. Ini adalah fahaman zindik yang telah merebak suatu ketika dahulu di Andalusia dan utara dunia Arab. Sekarang menjadi pegangan Anwar Ibrahim dan pemimpin Islam PKR (mungkin juga telah merebak di kalangan tokoh liberal PAS). Hari ini apabila DAP berkempen dengan menggunakan isu kalimah Allah, PAS juga turut serta menyokong. Secara tidak langsung PAS sama ada sedar atau tidak sedang menyokong gerakan harus puak misionaris Kristian menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Melayu-Islam. Kalimah Allah tujuannya tidak lain ialah untuk menyelitkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, dan akhirnya menyamakan Kristian dengan Islam. Tindakan PAS dan tokohnya yang paling lantang Khalid Samad bermatian menyokong penggunaan kalimat Allah oleh agama Kristian ini amatlah tidak difahami. Dilihat daripada senario ini ternyata PAS lebih mementingkan politik daripada agama. Perjuangan PAS kini ialah untuk kuasa atau agama? Atau PAS sudah hanyut dikelirukan oleh PKR dan DAP yang jauh lebih bijak daripada PAS.

Friday, May 7, 2010

Tanjug Rhu dalam puisi



Pulang dari Kota Bharu 25 april, 28 april terus pula ke Tanjung Rhu, Langkawi. Projek SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan untuk membukukan puisi tentang Tanjung Rhu. Saya seperti si miskin yang terlontar ke istana, terkapai-kapai di Resort Tanjung Rhu. Mujurlah bersama kawan-kawan 'senasib' Zaen, Shamsudin, Rahimidin, Ridzuan Harun (Ridzuan tak senasib, dia timbalan SN, kami berempat ja senasib, terkapai ternganga). Tanjung Rhu memang indah, tetapi saya pada mulanya terkapai-kapai untuk menulis sajak tentang keindahan alam di sini. Saya kehilangan kata-kata. Cuba lah mencuri kata-kata kawan senasib, tapi mereka juga bijak. Semua kata tak siap. Bila saya dah siap tulis baru lah kawan-kawan senasib ni tunjuk.

Menulis sajak bagi saya lebih sukar daripada menulis cerpen dan jauh lebih sukar dari menulis esei. Menulis esei bagi saya lebih mudah daripada menulis cerpen dan sajak. Menulis sajak paling sukar. Bagi saya sajak adalah suatu seni yang tinggi pengucapannya. Lantaran itu saya banyak membakulsampahkan sajak-sajak yang anggap bukan sajak kerana penilaian saya terhadap sajak cukup tinggi. sehingga hari saya masih tidak merasa kepuasan menulis sajak yang baik berbanding saya merasa kepuasan menulis cerpen yang baik.

DISKUSI DI KOTA BHARU




Membicarakan kumpulan cerpen A. Rahman CM dengan tajuk 'Di Bawah Unggun Api dari sisi Wacana Pascakolonial'.

Di Kota Bahru, saya bersama Mohamad Saleeh Rahamad dan Nasurry Ibrahim menjadi panel diskusi dalam majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan DBP. Turut serta pegawai Bahagian Teori, Jusoh Majid. Saya dan Saleeh ditempatkan di Hotel Ridel di tepi Sungai Kelantan. Menarik juga lokasi hotel ini. Saya rasanya sudah 6 atau 8 tahun tidak pulang ke Kelantan. Tapi masa yang suntuk (hanya sehari semalam) tidak dapat membawa saya jauh pergi ke zaman kecil saya. Petangnya saya dijemput oleh sepupu saya Fauzi bersiar di KB. Hanya Fauzi, saudara rapat di Kelantan yang masih terus berhubung. Saya ramai kerabat (semua syed al-yahya di Kelantan tu kerabatlah) tapi tak kenal seorang pun sekarang ini. Kami ke PCB (saya senang dengan nama lamanya Pantai Cinta Berahi) makan ikan, sotong, udang celup tepung. Ketika lalu di tapak panggung Rex atau Lido (lupa) Fauzi mengingatkan tentang cerita zaman kanak-kanak pergi menonton wayang di sini. Cerita saya dan panggung wayang di KB ini 34 tahun yang lepas lebih kurang seperti cerita Toto dalam 'Cinema Paradiso'. Saya masukkan kenangan itu dalam kata pengantar buku Sinema saya. Saya lahir dan besar di Kota Bharu sehingga berusia 9 tahun, bersekolah di sekolah Tengku Indera Putera sehingga darjah 3. Saya lahir di Kebun Sultan dan kemudian abah membeli rumah di Paya Purnama (telah dijual ketika berpindah ke Pulau Pinang). Saya mempunyai kenangan zaman kecil yang cukup indah di Kota Bharu. Tetapi kawan-kawan sekolah rendah sudah terputus langsung hubungan setelah saya berpindah ke Pulau Pinang. Semua kawan-kawan Kelantan saya, adalah kawan-kawan yang saya kenal di Kuala Lumpur. Saya cuba juga dahulu mencari kawan-kawan sekolah rendah saya, tapi tak pernah bertemu lagi. Saya hanya ingat beberapa nama Danial Hakim, Soh Chan Heng, Zamri, Zuki, Mahadi, Sawaruddin... tak ingat lagi. Saya tidak ingat nama kawan-kawan perempuan kerana saya amat pemalu semasa kecil dan sering lari dari kawan-kawan perempuan yang ingin datang berkawan. Itulah kenangan kecil di Kota Bharu.. ia manis tetapi mengharukan.

SEPANJANG APRIL 2010



Berdiri: Shamsudin Othman, S.M. Zakir, Ridhuan Harun, Rahimidin Zahari.
Duduk: Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi



Sepanjang April 2010 agak sibuk berkejar ke sana sini. Menyiapkan dua buku dari kumpulan esei filem untuk diterbitkan. Alhamdulillah ia diterbitkan. Juga memenuhi permintaan pengedar untuk buku-buku terbitan sebelum ini. Ia agak mengejutkan juga, kerana pada mulanya saya hanya menerbitkan kumpulan-kumpulan tulisan saya untuk dokumentasi. Tetapi apabila diterbitkan, rupanya banyak juga permintaan dan banyak juga yang terjual. Alhamdulilllah. Terima kasih kepada pembaca-pembaca yang membeli dan menyokong saya. Hujung april saya hilang ke Kota Bharu untuk diskusi buku di Institut Perguruan Kota Bharu, dan sehari pulang dari Kota Bharu terus pula ke Langkawi untuk projek penulisan puisi Tanjung Rhu di bawah SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Selain itu berkejar menyiap pelbagai tulisan yang menjadi kerja asasi saya.

Wednesday, May 5, 2010

SAJAK PALSU

ketika saya menulis karya saya tidak menulis blog
ketika saya menulis blog saya tidak menulis karya
saya menulis blog apabila saya tidak menulis karya
saya menulis karya apabila saya tidak menulis blog
saya memilih menulis karya apabila saya tidak menulis blog
saya memilih menulis blog apabila saya tidak menulis karya
ketika ini saya menulis blog kerana saya tidak menulis karya
ketika ini saya tidak menulis karya kerana saya menulis blog
saya banyak karya apabila saya tidak menulis blog
saya tiada karya apabila saya banyak menulis blog
saya banyak buku apabila saya tidak banyak menulis blog
saya tiada buku apabila saya banyak menulis blog

kawan-kawan saya tiada buku sebab mereka gila menulis blog (kah kah)