Sunday, May 10, 2009
FORUM SASTERA DI UNJ, JAKARTA
Saya kembali lagi ke Jakarta setelah tahun lepas datang menghadiri JILFest (Jakarta Literary Festival). Kali ini diundang atas jasa baik Malim Ghozali Pk untuk Forum Sastera Serumpun di Universiti Negeri Jakarta (UNJ) kampus Rawamangun, Jakarta. Forum yang berlangsung di Aula Perpustakaan UNJ pada 7 Mei 2009 itu membicarakan Karya dan Pemikiran Malim Ghozali Pk dalam novel Daun dan kumpulan cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir!. Saya bersama Prof. Dr. Budi Darma membicarakan kumpulan cerpen Malim Ghozali Pk sementara Mohamad Daud Mohamad dan Helvy Tiana Ross membicarakan novel Daun. Dewan dipenuhi oleh pelajar pasca sarjana serta graduan kursus perguruan lepasan ijazah.
Kami dari Malaysia datang dalam rombongan seramai 11 orang termasuk tiga orang dari Sabah iaitu Jasni, Rohani dan Norza. Sebelum sampai UNJ, saya ketinggalan bas rombongan dan dijemput kemudian dengan motosikal oleh penuntut Helvy dari UNJ. Begitulah selalunya. Sambutan dan layanan pihak UNJ khususnya dari Helvy amat baik. Helvy saya kenali ketika sama-sama menyertai bengkel cerpen MASTERA yang pertama di Bogor pada tahun 1998.
Saya membicarakan cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk menurut teori kajian budaya, memberi fokus khusus kepada teori tafsiran budaya yang dibawa oleh Clifford Geertz, iaitu penulisan sebagai sebuah etnografi. Banyak daripada cerpen Malim Ghozali Pk bergerak seperti sebuah penulisan etnografi masyarakat Melayu dan peribumi di Tanah Melayu. Etnografi sepertimana yang dikatakan oleh Levy-Strauss sentiasa mencari peluang untuk mengkehadapankan sastera pada setiap sudut dan ruang. Di sini saya dapat melihat bagaimana cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk menjadi pisau dua mata, yang mana satu matanya adalah kesusasteraan dan satu matanya lagi adalah etnografi.
Etnografi bukan sekadar pemerihalan tentang aksi atau perlakuan budaya tetapi menggambarkan cara berfikir dan pola-pola budaya masyarakat yang menjadi subjek penulisannya. Saya tertarik dengan cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk yang pada mulanya kepada saya hanyalah cerpen-cerpen biasa. Tetapi setelah membacanya secara berfokus, saya menyedari bahawa cerpen-cerpen ini tiada watak antagonis yang jahat untuk mewujudkan konflik kasar. Sebaliknya ia bergerak dengan protagonis dua sisi iaitu menjadi protagonis dan antagonis serentak. Maka itu kita tidak dapat menemukan watak ‘penjahat’ dalam cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk. Maka saya jadi berfikir cerpen-cerpen ini harus dilihat sebagai sebuah penulisan etnografi-kreatif yang menawan.
Lalu saya teringat akan etnografi Clifford Geertz dan dari situ saya mula melihat cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk melalui pisau analisis etnografi Geertz. Mungkin kertas kerja saya terlalu memuji-muji cerpen Malim Ghozali. Tetapi saya teringat kata seorang sarjana sastera bahawa seorang pengkritik yang bijak atau bagus akan berjaya mengangkat karya yang biasa menjadi karya yang luarbiasa, tetapi pengkritik yang tidak bijak dan tidak bagus selalunya menjadikan karya yang baik dan luarbiasa menjadi buruk.
Saya memutuskan untuk menjadi pengkritik yang bagus (baik) sekurang-kurangnya, jika tidak bijak pun. Dan saya juga bersetuju dengan kata-kata Helvy bahawa cerpen Pak Malim ini bermakna dan menghiburkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Semoga sastera Melayu di Tanah Melayu berkembang mendidik anak bangsa dalam segenap aspek kehidupan...
Itulah sastera..sidang, perhimpunan, diskusi, lawatan, gebang, perempuan dan ntah apa-apa. hado je hal.
"...seorang pengkritik yang bijak atau bagus akan berjaya mengangkat karya yang biasa menjadi karya yang luarbiasa, tetapi pengkritik yang tidak bijak dan tidak bagus selalunya menjadikan karya yang baik dan luarbiasa menjadi buruk."
Hmmm... sesuatu yang boleh dijadikan panduan oleh mereka yang ingin menjadi pengkritik. Pengkritik bukanlah pengkrutuk walaupun ramai yang keliru...
Wassalam.
Post a Comment