Tuesday, May 19, 2009

PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KE-2




Di PENA semangat setiakawan hadir tanpa mengira usia dan latar belakang. Setiap masalah dan perselisihan pendapat diselesaikan dengan segelas teh tarik atau sepinggan ikan bakar. The good, the bad and the ugly - tetapi kami satu.



Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengadakan Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-2 pada 22-24 Mei 2009 bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Perhimpunan kali ini diadakan secara sederhana memandangkan keadaan kegawatan ekonomi dan politik negara masakini. Saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang pertama di Tanjung Piai, Johor tahun 2005 dahulu seperti Shamsudin Othman, Amirudin Ali, Ijamala MN, Saleeh Rahamad, Rahimidin Zahari, Nasury Ibrahim, Luqman Hakim, Amirul Fakir dan beberapa orang lagi yang sudah melepasi usia 40 tahun; kali ini cuba memberikan tugas untuk melaksanakan perhimpunan kepada rakan yang lebih muda. Saifulizan Yahya, Muhammad Lutfi Ishak, Ariff Mohamad, Sahrunizam, Nazmi Yaakub, dan lain-lain diharapkan untuk melaksanakan perhimpunan kedua ini. Seperti biasa Wan Zaida masih menjadi setiausaha kerja sepenuh masa untuk menguruskan semua urusan perhimpunan. Ummu Hani, Khairunasriah, Hasmora, Mohd Ali Atan muncul untuk membantu dalam perhimpunan kedua ini.

Tenaga yang bekerja untuk perhimpunan ini dari dahulu lagi adalah tenaga sukarela. Tiada tenaga profesional iaitu yang dibayar gaji tetap untuk menguruskan acara ini. Jika ada yang bercakap tentang profesionalisme, saya rasa ia perlu bertolak dari pertimbangan yang adil. Profesionalisme dalam kerja sebegini lebih bergantung kepada penglibatan seluruh tenaga kerja, pemakalah dan peserta. Ketika saya menguruskan perhimpunan yang pertama bersama rakan-rakan di PENA dan rakan penulis lain. Kami diikat oleh rasa kebersamaan dan setiakawan yang cukup jitu. Semua datang dengan gembira dan bersemangat untuk membantu. Kami bekerja bersatu hati. Semua ego dan pangkat yang ada kami sangkut di pagar rumah PENA dan kami masuk ke rumah PENA dengan diri yang sama rata.

Tetapi kali ini, apabila saya terbaca tentang penulis yang dijemput menjadi pemakalah mempersoalkan tentang profesionalisme pihak penganjur yang menjemput dengan ‘mulut’ dan sebagainya, saya mula berasa bahawa suasana bahagia dan setiakawan yang ada pada kami dahulu tidak ada pada penulis-penulis ini. Surat tentunya akan tiba, tetapi kami dulu faham bahawa yang bekerja juga perlu mencari masa ‘sukarela’nya untuk menguruskan segala kerja. Tentunya ada kelambatan dan kekurangan. Tetapi rakan-rakan kami dahulu ada yang datang sendiri membantu menaip surat dan tidak ‘terangkuh’ untuk menyerang kelemahan kerja-kerja sukarela ini.

Memang banyak kelemahan daripada penganjuran kali ini, awal-awal lagi kami terpaksa menangguhkannya kerana masalah kewangan. Juga masalah lain yang bertimpa-timpa. Pasukan yang bekerja juga tidak sekuat kami dahulu. Hanya tinggal Saifulizan, Wan Zaida dan Lutfi. Saya dan kawan-kawan dahulu (yang dah tua) terpaksa masuk kembali membantu untuk menjayakan perhimpunan ini, setelah melihat ketiga-tiga mereka ‘lemas’ diterkam pelbagai hal. Tetapi kami masih memberi kebebasan untuk rakan yang lebih muda ini membuat keputusan terhadap apa yang mahu diisi. Alhamdulillah semua masalah dapat diatasi, dan paling penting kami masih mempunyai semangat setiakawan yang kukuh itu.

Sehingga sekarang kertas kerja masih ada yang belum menghantarnya. Itu menjadi masalah besar kerana buku prosiding akhirnya tidak dapat diterbitkan kerana kerenah pemakalah yang tidak profesional ini. Kepada yang telah menghantarnya, terima kasih. Saya jadi terfikir di sini, penulis-penulis yang bercakap tentang profesionalisme pihak penganjur tetapi tidak sedar-sedar tentang diri mereka yang tidak profesional langsung. Kertas kerja tidak pernah dapat dihantar pada waktu yang tepat. Bahkan kertas kerja yang dibuat pada waktu akhir itu selalunya ditulis ‘asal ada sahaja’, adalah 4-5 helai dan isinya hampas. Penulis-penulis yang sering bercakap tentang profesionalisme ini tidak pernah melihat tentang mutu kerja mereka sendiri. Tetapi ingin mempersoalkan profesionalisme orang lain.

Saya tentunya tidak marah. Apatah lagi sebagai penganjur yang harus tersenyum setiap ketika melayan penulis-penulis yang profesional ini. Pandangan saya ini hanyalah pandangan peribadi seorang kawan kepada kawan walau sesiapa sahaja. Kelemahan tentu ada pada setiap orang. Pihak penganjur tidak mendapat apa-apa keuntungan selain daripada melaksanakan tugas persatuan penulis yang mendapat mandat daripada ahli-ahlinya. Selebihnya kami hanya mencari ruang untuk bersetiakawan serta mengerjakan minat sastera kami secara bersama dan berpadu untuk kebaikan dunia sastera.

Sebagai pihak penganjur kami memohon jutaan ampun dan maaf atas segala kekurangan dan memohon rakan-rakan penulis serta peminat sastera datang beramai-ramai menjayakan perhimpunan sastera ini. Buang yang keruh ambil yang jernih. Semoga kita dapat berjumpa di Melaka dengan ceria dan melupakan segala yang keruh itu.

Sesungguhnya yang baik hanyalah daripada Allah s.w.t dan yang buruk dari kami serta saya di sini. Wassalam.

7 comments:

sahrunizam abdul talib said...

Sdr Zakir,

Yang penting saya masih muda rupanya.Hehe

Luqman Hakim QA said...

Aku memang tak puas hati sebab tuan syed kata aku dah melepasi umur 40 tahun. aku muda sikit dari tuan syed la..hahahaa. apapun selamat berjaya kepada abang lut dan timnye. kali ini aku hanya menjadi peserta jer, dan cuba memberi sokongan seadanya. bab orang yang tak profesional tu baik hempuk jer muka ngan kertas kerja, tak pun maki je...heheheee.

D'Rimba said...

Saya telahpun mendaftar tapi jika tiada pengangkutan alamat saya tidak dapat sertai barisan.

saleeh rahamad said...

nanti kita buat perhimpunan penulis setengah tua hati muda. jangan takut. banyak yang nak datang tu.tapi bayarnnya lebihlah .. tak macam sekarang lagi. nak profesional katakan. silap2 pembentang pun kena bayar nanti. baru profesional. universiti semua buat macam tu.

mariahsj said...

Apa-apapun Tuan Syed, tahniah kepada semua kerana bertungkus lumus menjayakannya. Lepas ini kena hantar laporan ke Dewan Siswa, Tunas Cipta, Dewan Sastera ye....Jangan lupa ingatkan kawan-kawan yang lain...

D'Rimba said...

Terima kasih pejuang bahasa sekalian, pertemuan itu meninggalkan kenangan yang teramat manis bagiku............Cukup kuterharu hingga menitis air mataku saat kuberlalu dalam bas...........

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Salam ziarah saudara SM Zakir,
Rambut sama hitam hati lain-lain. Tak semua orang dapat dipuaskan hati mereka. Percayalah, yang mengeji sedikit tetapi yang memuji dan menghargai membukit. Teruskan usaha, moga perhimpunan yang akan datang lebih ramai sukarela dan lebih berjaya.