Monday, August 4, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

DEMOKRASI DAN RUANG AWAM

Terlebih dahulu ucapan tahniah harus diberikan kepada Ahmad Shabery Chek di atas keberanian dan keterbukaan beliau untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim di pentas terbuka. Masyarakat sebenarnya tidak harus menilai soal siapa menang atau siapa kalah dalam perdebatan ini. Soal kalah menang itu adalah soal yang sangat subjektif. Namun apa yang penting ialah keterbukaan kerajaan di atas inisiatif Ahmad Shabery Chek untuk mewujudkan sebuah ruang awam yang memberikan ruang kepada perdebatan dan perbincangan yang sihat. Jika ingin juga dilihat siapa yang menang, maka Ahmad Shabery lah yang menang kerana membuktikan keberanian beliau untuk membuka ruang awam yang tertutup selama beberapa dekad sejak Mahathir Mohamad mula mengambil alih pemerintahan negara.

Ibnu Khaldun menyatakan bahawa kehancuran sesebuah negara atau kekuasaan itu akan terjadi apabila para penguasanya terhumban melakukan dosa-dosa sejarah. Dosa-dosa sejarah yang dimaksudkan di sini adalah kecenderungan para penguasa untuk hidup dalam kesombongan, kekuasaan, kemewahan dan kesantaian apabila telah mendapat kemapanan kuasa. Selama beberapa dekad, UMNO di bawah Mahathir Mohamad telah melakukan dosa-dosa sejarah ini, dan pada penghujungnya terlihat keruntuhan yang mula hadir. Namun malangnya keruntuhan yang berlaku terpaksa ditanggung oleh pengganti Mahathir. Abdullah Badawi terpaksa menanggung dosa-dosa sejarah yang dilakukan oleh Mahathir dan terpaksa bertungkus lumus untuk membawa negara kembali ke landasan demokrasi yang dipunyai oleh rakyat dan bukan hanya dipunyai oleh penguasa.

Pak Lah mungkin gagal dari segi mengemudikan ekonomi terutamanya dalam soal kenaikan harga minyak secara mendadak dan tidak mempertimbangkan gelombang kemelesetan besar yang akan menghempas negara akibat tindakan itu. Namun dari satu sudut, Pak Lah banyak mengembalikan roda-roda demokrasi ke landasannya kembali. Maka keterbukaan dan keberanian Ahmad Shabery untuk membuka ruang debat seterusnya mewujudkan ruang awam itu adalah usaha terbaru untuk meletakkan roda-roda demokrasi yang tergelincir sejak lama itu kembali ke landasan yang betul.

Dengan wujudnya ruang awam yang sebegini maka dosa-dosa sejarah iaitu kecenderungan para penguasa untuk hidup dalam kesombongan, kekuasaan, kemewahan dan kesantaian oleh kerana kuasa mereka yang mapan itu dapat dihindarkan. Adalah baik jika debat dan keterbukaan ini turut diambil bahagian oleh menteri-menteri yang lain. Ini selain daripada menjauhkan diri mereka daripada kesombongan dan kesantaian oleh kuasa, juga akan membawa para menteri ini lebih rapat kepada rakyat. Dalam pada itu ia akan memperlihatkan kemampuan serta kapasiti para menteri dalam memimpin negara. Tahniah kepada Ahmad Shabery kerana telah menunjukkan kapasiti sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab dan mengetahui masalah negara dalam debat tersebut. Walaupun kelemahan beliau agak terlihat kerana tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Anwar, namun kesanggupan beliau untuk berhadapan dengan ‘rakyat’ adalah tindakan yang boleh dipuji.

Ruang awam muncul daripada pandangan Jurgen Habermas yang menyatakan bahawa dalam sesebuah negara yang ‘diperintah oleh rakyat’, rakyat harus meletakkan diri mereka sebagai subjek, dan bukan objek. Untuk maksud ini, maka perlu wujud perkembangan komunikasi antara manusia (rakyat/ warganegara/ pemimpin) secara terus menerus melalui debat dan perbincangan bebas tentang sistem serta amalan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Maka dalam setiap debat dan perbincangan itu pendebat bukan bertujuan untuk menjatuh atau mengalahkan lawan mereka tetapi bertujuan menemukan kebenaran yang merangkumi pengetahuan teoritis dan pengetahuan praktis. Kepentingan sebegini mengarah kepada tanggungjawab mundigkeit, iaitu keadaan di mana seseorang itu boleh berkomunikasi bebas daripada batasan atau kekangan kekuasaan mahupun larangan yang wujud secara tidak sedar dalam dirinya sendiri.

Ini bertepatan dengan apa yang dikatakan, “democracy is a work when the opinions of many different publics clash openly and fairly over government policy”. Ruang awam yang membuka ruang kepada perdebatan yang sihat ini adalah proses sosialisasi politik (political socialization) iaitu membawa kesedaran politik kepada segenap lapisan masyarakat. Dengan itu semua rakyat mempunyai hak dan pengetahuan yang sama rata ke atas amalan politik, ekonomi dan dasar sosial yang dilangsungkan ke atas mereka. Walaupun sosialisasi politik ini dikatakan adalah suatu proses yang kompleks yang melibatkan pengetahuan individual terhadap fakta dan nilai politik, tetapi penglibatan rakyat secara menyeluruh tentunya dapat membina ruang politik yang lebih sihat, aman dan stabil.

Dengan adanya kesanggupan dan kesediaan yang ditunjukkan oleh kerajaan untuk membuka ruang debat dan perbincangan sebegini, maka tidak ada sebab lagi mengapa rakyat harus turun berarak di jalanraya dan tempat awam yang mengganggu lalu lintas serta kerukunan awam. Sebenarnya jika kerajaan lebih awal membuka ruang perbincangan dan peluang kepada mana-mana pihak untuk bersemuka dan berdebat secara terbuka dan boleh disaksikan oleh semua rakyat, tidak mungkin ada pihak yang ingin turun berdemontrasi di jalan raya lagi. Jika ada lagi yang berbuat demikian, maka ia boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak wajar dalam konteks Malaysia, yang mempunyai suasana yang jauh berbeza dengan negara-negara lain.

Pak Lah telah membuka banyak ruang yang selama ini ditutup oleh Mahathir. Walaupun Pak Lah mungkin membuka UMNO kepada natijah kelemahan dan kejatuhan, tetapi Pak Lah telah membuka rantai kuasa-autokratik-UMNO yang mengikat rakyat selama ini. Sekurang-kurangnya Pak Lah mempercayai akan hak rakyat dan cuba mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan kepentingan parti. Natijah kelemahan dan kejatuhan oleh sifat keterbukaan Pak Lah bukanlah sesuatu yang mutlak, ia cumalah andaian sepertimana andaian minyak akan habis pada tahun 2015. Andaian adalah ramalan yang dibuat berdasarkan fakta dan data yang ada atau ditemui pada hari ini. Namun kemunculan fakta, data dan kemungkinan baru tidak dapat dilihat pada masa ini. Minyak mungkin ditemui di Kelantan atau Pahang atau Sarwak pada masa akan datang, siapa yang tahu. Begitu juga dengan tindakan dan keterbukaan yang dilakukan oleh Pak Lah, kemungkinan ia akan membina kembali keyakinan rakyat kepada UMNO jika semua menteri UMNO sanggup turun untuk berdebat dan bermuzakarah dengan parti lawan dan golongan rakyat. Ia tentulah menjauhkan daripada sifat sombong dan tidak peduli para menteri yang menjadi sifat asasi ahli politik yang paling dibenci oleh orang awam selama ini.

Maka dengan wujudnya ruang awam dan keterbukaan kerajaan yang sebegini, tentunya amalan politik akan berjalan secara sihat, aman dan adil kepada semua rakyat. Bukankah ini cita-cita utama sebuah negara?

Mingguan Wasilah, 27 Julai – 2 Ogos 2008

1 comment:

Sham al-Johori said...

Tuan,
alangkah baiknya jika pemimpin itu sanggup berdebat/ bermuzakarah/ bermuhabalah dengan kita juga tentang nasib bahasa dan bangsa Melayu yang terhakis.
Ekonomi negara satu hal, konsep Dasar Kebudayaan Negara pun masih tak selesai.
Sanggup ke mereka hendak mendengar hal-hal budaya dan kesenian bangsa Melayu?