MELIHAT BANGSA YANG BESAR
Apabila Presiden Iran, Dr. Mahmoud Ahmadinejad ditemuramah oleh dua penemuramah Malaysia dalam rancangan televisyen RTM TV2 pada 7 Julai 2008 baru-baru ini, rakyat Malaysia sebenarnya sedang melihat bagaimana bangsa yang besar bercakap dan menampilkan diri mereka di persada dunia. Dengan bangga dan besar hati, Ahmadinejad bertutur dengan bahasa Parsi. Sudah tentunya beliau faham dengan lancar akan bahasa Inggeris kerana soalan penemuramah dalam bahasa Inggeris dijawab beliau tanpa perlu diterjemahkan oleh penterjemah kepada beliau. Sebaliknya semua jawaban beliau dituturkan dalam bahasa Parsi dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Apabila ditanya tentang bangsa Iran (Parsi), Ahmadinejad dengan bangga menyatakan bangsa Iran (Parsi) adalah bangsa yang merdeka, berjiwa besar, suka berdiri di atas kaki sendiri dan sanggup berkorban untuk kedaulatan mereka.
Memang benar bangsa Iran (Parsi) ini adalah bangsa yang besar. Mereka mempunyai sejarah keagungan yang cukup panjang. Namun tanpa perlu kita lihat kepada sejarah empayar Parsi yang agung itupun, kita tentunya dapat melihat dengan nyata akan hakikat tersebut daripada penampilan Ahmadinejad itu. Ini adalah kerana bangsa yang besar mempunyai bahasa mereka sendiri di dalam jiwa dan akal fikiran mereka. Bangsa yang berdaulat dan merdeka adalah bangsa yang menjunjung kedaulatan bahasa mereka. Dan bangsa yang besar tidak memerlukan bahasa bangsa yang lain untuk maju dan membina kegemilangan di dunia ini. Ini adalah hakikat yang paling nyata dan paling mudah untuk sesiapa memahami apakah itu ‘bangsa yang besar’.
Ahmadinejad adalah pemimpin berjiwa besar daripada sebuah bangsa yang besar. Lantaran itu beliau tidak pernah menghiraukan Amerika Syarikat dan kuasa Barat. Ini memang warisan sejak pemerintahan Ayatollah Ruhollah Khomeini lagi. Bangsa yang besar ini sentiasa dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar. Tiada kuasa manusia di dunia ini sekarang yang mampu memperbudak dan menjajah Iran, bangsa Parsi ini. Iran bebas menentukan apa yang ingin mereka tentukan. Mereka benar-benar merdeka kerana jiwa besar yang mereka miliki. Bangsa yang berjiwa besar ini cukup menyanjungi budaya mereka, dan paling utama cukup bangga dan menjunjung tinggi bahasa mereka yakni bahasa Parsi.
Namun apabila kita melihat pemimpin-pemimpin Malaysia hadir berucap di hadapan pentas mahupun di media antarabangsa mahupun tempatan, maka dengan amat jelas dan nyata bahawa kita sekarang melihat pemimpin-pemimpin yang berjiwa kecil daripada sebuah bangsa yang kecil yang kehilangan bahasa mereka sendiri dan ‘takutkan orang’ sedang berlakon untuk menjadi besar. Pemimpin Malaysia dari kalangan bangsa Melayu ini memperlihatkan dengan nyata akan betapa kecil dan hambanya jiwa mereka apabila bertutur dengan bahasa penjajah mereka dahulu, bahkan cukup bangga dengan bahasa penjajah mereka itu. Kita dapat melihat perbandingan yang sangat jelas antara sebuah bangsa yang besar dan sebuah bangsa yang kecil di pentas antarabangsa seperti ini. Bangsa-bangsa kecil di Asia Tenggara sememangnya galak bertutur dengan bahasa penjajah Inggeris kerana terbukti pun dalam sejarah, mereka hanyalah kerajaan-kerajaan yang kecil di pinggir sejarah dunia.
Sedangkan bangsa Parsi adalah sebuah bangsa yang besar dan agung yang sudah terbukti dalam sejarah akan keunggulan tamadun mereka yang menjadi teras sejarah. Apabila kita melihat senario ini, maka kita haruslah menerima hakikat bahawa bangsa Melayu ini sebenarnya hanyalah bangsa yang kecil dan berjiwa hamba. Lihat sahaja betapa kecilnya jiwa pemimpin Melayu berbanding Ahmadinejad. Pemimpin Melayu tidak mampu bahkan malu untuk menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Bahkan juga di tanah air mereka sendiri. Ini merupakan kompleksiti jiwa hamba. Maka itu dengan pemimpin-pemimpin Melayu yang berkompleksiti jiwa hamba, Malaysia kini terpaksa bergantung kepada bahasa Inggeris – bahasa penjajah mereka – bagi mengangkat diri mereka untuk maju. Inilah adalah kerana bangsa Melayu yang berjiwa hamba ini sentiasa tidak yakin dengan bahasanya dengan dirinya dan dengan sifatnya, lantas meletakkan seluruh takdir dan nasib mereka kepada ‘tuan-tuan penjajah’ mereka.
Rakyat Iran dari Presiden sehinggalah kepada pemungut sampah tentunya akan tertawa dan melihat kecil kepada bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama pendidikan mereka. Kerana Iran yang telah menghasilkan jutaan intekletual, saintis, teknorat dan kaum profesional bertaraf dunia hanya menggunakan bahasa Iran dalam sistem pendidikan mereka. Tentunya bahasa lain digunakan tetapi tidak ‘sedungu’ yang diamalkan di Malaysia. Bangsa Melayu yang kini berbangga dengan bahasa Inggeris beserta pemimpin-pemimpin UMNO yang berusaha mendaulatkan bahasa Inggeris di Tanah Melayu ini harus sebenarnya merasa malu dan dayus apabila melihat kepada jiwa bangsa Parsi yang begitu bangga dan menjunjung tinggi bahasa Parsi.
Bukti nyata kejayaan bangsa yang berdiri dan berteguh dengan bahasa mereka ialah sepertimana bangsa Iran ini dengan bangsa Melayu. Sebahagian besar ‘superintelectual’ dunia Islam hari ini datangnya dari Iran, antaranya nama-nama besar seperti Seyyed Hossein Nasr, Abdul Qarim Soroush, Hamid Dabashi, Reza Aslan dan barisan panjang nama yang mendominasi dunia intelektual hari ini. Tetapi manakah nama intelektual Melayu di pentas dunia pada hari ini yang boleh dikatakan sebaris dengan tokoh intelektual Iran itu? Begitu juga dengan saintis, budayawan dan sebagainya. Iran mempunyai ribuan tokoh dunia dalam pelbagai bidang. Bangsa Melayu? Tidak ada, kerana bangsa Melayu sedang menuju ke jurang kepupusan dengan terhakisnya bahasa Melayu.
Kerana itulah bangsa Melayu yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin berjiwa hamba ini malu untuk menggunakan bahasa Melayu, kerana mereka tidak mempunyai jiwa yang merdeka dan sentiasa kagum dengan apa saja kecuali diri mereka sendiri. Maka apabila dikatakan bahawa seseorang pemimpin Melayu yang menduduki jawatan Perdana Menteri atau Menteri itu berjiwa besar, maka pernyataan tersebut hanyalah satu mitos. Ini adalah kerana pemimpin yang berjiwa besar adalah pemimpin yang berjuang dengan bangga dan perkasa akan kedaulatan dan keagungan bahasa mereka. Apabila bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia, kemudian dipupuskan dengan ‘perasmian’ bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan, pentadbiran dan perekonomian – apakah boleh dikatakan pemimpin-pemimpin politik (UMNO) Melayu itu berjiwa besar? Bahkan tidak mustahil bahasa Inggeris akan menjadi bahasa kebangsaan negara suatu ketika kelak, jika bangsa Melayu yang berjiwa kecil ini terus dipimpin oleh pemimpin Melayu yang berjiwa hamba.
Untuk sekali lagi pada hari ini kita harus menerima hakikat bahawa bangsa Melayu yang takut dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu itu adalah bangsa yang kecil, berjiwa hamba, terjajah dan pengecut.
Dan sekali lagi kita terpaksa mengangkat Ahmadinejad, bangsa Parsi menjadi wira baru kita, kerana sebenarnya kita adalah golongan hamba yang sudah ketiadaan wira dan sudah ketiadaan bahasa Melayunya.
Mingguan Wasilah, 20-26 Julai 2008
Sunday, August 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment