ANTARA AKHIRAT DAN ‘MI’ FOR MOTHER
Pawagam menayangkan beberapa buah filem Melayu pada awal tahun 2008 ini. Antaranya ialah Anak, Duyung dan Akhirat. Anak yang menampilkan pelakon Era Fazira, adalah sebuah cerita seram yang hanya bertahan sebentar sahaja di pawagam, sekaligus menjelaskan kegagalan filem seram yang banyak mengambil bentuk filem seram Jepun Ju-on itu. Duyung sebuah filem komedi arahan A. Razak Mohideen yang menampilkan pelakon-pelakon seperti Saiful Apek, Yassin, Maya Karin, Awie dan ramai lagi. Duyung mengekalkan trademark filem A. Razak Mohideen yang lebih menampilkan filem hiburan ringan-kosong yang hanya memerlukan pelakon datang dengan otak yang kosong dan pulang dengan otak yang kosong juga. Filem ketiga ialah Akhirat arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya menampilkan pelakon seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Jins Shamsuddin, dan ramai lagi, berkisar tentang kisah mangsa AIDS yang menerima penyakit tersebut akibat dirogol oleh penagih dadah.
Ketiga-tiga filem Melayu ini masih terkurung dalam kegelapan cerita oleh kerana skrip yang ditulis dengan pemikiran yang kosong dan kegagalan memahami apakah itu jalur cerita apabila sesebuah filem itu ingin bercerita. Jalur cerita adalah kesinambungan cerita, perkaitan peristiwa, dan pertautan sebab musabab oleh kesan logik (logos), nilai sosial (etos), dan emosi umum (pathos). Ini semua sudah lintang pukang dalam dunia filem Melayu. Dalam pada itu, sejak berlakunya gerhana filem Melayu dari awal tahun 2000, kita sudah lama membuang harapan untuk melihat wujudnya unsur pemikiran dan falsafah dalam filem Melayu. Maka itu, filem Melayu yang paling kosong pemikirannya adalah filem yang paling baik – dilihat dalam konteks box-office, yang menggunakan kayu ukur materialisme dan hedonisme. Maka itulah yang dikerjakan oleh pembikin-pembikin filem Melayu – materialisme dan hedonisme di samping simplicity yang membunuh intelektualiti.
Akhirat adalah filem melodrama. Melodrama selalunya dikaitkan dengan permainan unsur emosi-kejiwaan yang menunjukkan bagaimana karakter bergelumang dengan permasalahan, cabaran, isu, pertentangan, dan pertelagahan yang memberikan horizon yang lebih luas kepada penonton untuk memberikan persepsi terhadap dunia kepunyaan karekter tersebut. Melodrama lebih menjurus kepada permainan emosi dan nilai sentimental yang tinggi. Pada masa yang sama melodrama menjana kekuatan subjeknya dengan menghadirkan tiga teras utamanya iaitu, mise-en-scène, muzik, dan persembahan.
Mise-en-scène adalah latar pentas kehidupan atau peristiwa di dalam dunia watak tersebut. Ia adalah keseluruhan objek dan subjek yang menjadi latar kepada peristiwa yang wujud di dalam cerita. Muzik adalah perkaitan dengan perkataan ‘melo’ dalam melodrama itu. Muzik di sini, selain daripada gubahan bunyi juga adalah rentak kehidupan yang beralun atau berlagu dalam cerita. Dalam ertikata lain ia juga adalah getaran emosi yang mengalir dan tumpah di dalam cerita itu. Persembahan adalah keseluruhan penghayatan yang bukan sahaja tertumpu kepada pelakon, tetapi lebih penting pengarah, skrip dan semua alat atau jentera (sumber manusia dan teknologi) pembikinan filem tersebut.
Akhirat adalah sebuah filem yang tidak ada kaitan dengan tajuknya iaitu Akhirat. Ia menimbulkan kekecewaan dan kehampaan yang besar untuk khalayak yang datang untuk melihat sebuah filem yang mungkin tampil sebagai sebuah risalah, dan bukan sebuah propaganda materialisme dan hedonisme. Bahkan filem yang menggunakan nama unsur keIslaman ini, lebih buruk dan kotor dengan menampilkan banyak babak ranjang-seksual yang tidak ada kena mengena pun dengan cerita. Ini boleh dibuktikan bahawa jika semua babak lucah ini dibuang, filem ini tidak akan terjejas sekuman pun. Malangnya pengarahnya adalah seorang yang terlalu kabur dengan apakah bentuk atau genre filem yang ingin dihasilkannya. Syed Mohamad tidak tahu apakah dia ingin menghasilkan sebuah drama, melodrama, thriller, ataupun filem orientasi-seksual. Maka dia mencampur dengan buruknya semua elemen tersebut sehingga penonton akhirnya melihat filem Akhirat ini sebagai sebuah filem yang kalut daripada pengarah yang kabur tentang makna sesebuah genre dalam filem.
Syed Mohamad tidak tahu untuk memberikan fokus kepada kerja pengarahannya. Apa perlunya subplot pertarungan samseng pengedar dadah dalam cerita ini? Apa perlunya watak Jalaludin Hasan dan Adi Putra untuk sengaja diada-adakan dalam drama pesakit AIDS? Dan, apa perlunya babak ranjang antara Adi Putra dan Nabila Huda itu? Semua subplot atau babak yang dimasukkan ini semuanya adalah ‘kerja mengarut’ dalam filem Akhirat ini. Akibatnya filem yang selayaknya hanya menjadi drama televisyen ini mempersia-siakan bakat dan keupayaan pelakon-pelakon besar seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Jalaluddin Hassan dan Jins Shamsudin.
Pada masa yang sama telah berlangsung festival filem Iran iaitu Nourooz Impression di GSC Mid Valley, Pavallion dan One Utama. Sepuluh buah filem Iran ditayangkan dari 22 Mac hingga 2 April, yang menampilkan filem-filem hebat di tangan pengarah-pengarah besar seperti Tahmineh Milani, Ebrahim Hatamika, Saman Moghaddam, Rasoul Mollagholipour dan ramai lagi. Sukar untuk menyatakan filem mana yang terbaik kerana semua filem di sini ialah filem yang terbaik.
Melihat kepada perbincangan tentang melodrama, adalah baik untuk melihat kepada filem Mi for Mother arahan Rasoul Mollagholipour. Filem ini mengisahkan seorang ibu, Sepideh yang melahirkan anak cacat akibat kesan gas mustard yang mengenainya semasa bertugas sebagai sukarelawan perubatan semasa perang Iran-Iraq. Soheil, suaminya seorang diplomat yang tidak dapat menerima hakikat isteri dan anaknya adalah mangsa gas mustard itu keluar daripada hidup mereka dengan menceraikan Sepideh dan meninggalkan Saied, anak mereka yang cacat. Sepideh dan Saied meneruskan kehidupan ibu dan anak dengan bahagia walaupun hidup penuh kesukaran. Sepideh adalah pemain violin yang hebat, menurunkan bakatnya kepada Saied. Maka filem ini selain daripada menawarkan Mise-en-scène yang menakjubkan dan persembahan yang sangat konstruktif, juga memberikan sebuah getaran emosi yang paling ngilu oleh kesan muzik violin yang amat menusuk jiwa yang paling dalam.
Melodrama dalam Mi for Mother ini ialah sebuah ketidaktentuan, ketakutan dan neurosis seorang Sepideh, seorang Saied, seorang Soheil, bahkan Mr. Rubik yang kristian itu, Fezineh, Miriam dan semua objek dan subjek di dalamnya. Rasoul memberikan fokus yang paling jelas kepada melodramanya. Filem ini tidak ada babak pegang tangan pun walaupun Soheil dan Sepideh adalah suami isteri kerana pengarahnya memahami hukum dan prinsip lakonan dalam Islam. Tidak ada subplot ‘mengarut’ yang tidak kena mengena dengan cerita sepertimana subplot pengedar dadah dalam Akhirat. Tidak ada sub-watak yang muncul dan tenggelam tanpa sebab, sebalik semua watak walau sekecil manapun adalah wujud sebagai partikel-partikel kepada tubuh cerita tersebut. Contohnya bagaimana watak-watak anak-anak dan orang cacat akhirnya digabungkan dalam sebuah koir pada akhir cerita dan menumbuhkan kesan emosi yang sangat menusuk.
Terlalu banyak untuk diceritakan dalam Mi for Mother ini. Namun tajuknya Mi, salah satu nada dalam muzik (do re mi fa so la ti do), adalah untuk ibu itu cukup untuk memberikan sebuah mise-en-scène yang paling jitu bagi khalayak memahami falsafah dalam melodrama Rasoul Mollaghalipour ini.
Berbeza dengan Akhirat, sebuah tajuk yang langsung tidak ada pertautan konstruktif dengan cerita bahkan mengingkari kesucian tajuk itu dengan babak yang menghina hukum dan prinsip Islam di dalam filem. Ia tidak berlaku sepertimana hukum dan prinsip yang dipegang oleh pengarah-pengarah Iran dalam menghadirkan filem sebagai sebuah risalah. Dan dalam semua filem Iran, ia dimulakan dengan muqadimmah memuji Allah. Dalam menyatakan kebesaran Allah dan keindahan Islam, Mi for Mother pula menampilkan kenangan Sepideh terhadap bagaimana ayahnya mengajar menulis khat dalam satu ayat, “Mengapakah kau menafikan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah s.w.t.” Kemudian filem pun bergerak dari titik itu. Ia sebenarnya adalah sebuah filem yang mudah tetapi mempunyai inti pemikiran dan hakikat kehidupan yang amat tinggi nilainya. Ia sebuah filem yang sangat indah.
Apakah terlalu mustahil bagi pengarah filem Melayu untuk menghasilkan sebuah filem yang berfikir – dan indah?
Milenia Muslim, Mei 2008
Tuesday, July 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment