Tuesday, July 29, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

POLITIK PERLU MELIHAT KEPADA RAKYAT

Antonio Gramsci dalam mengemukakan teori hegemoninya menyebut bahawa negara merupakan lokasi kekuasaan koersif iaitu berdiri di atas sarana kekerasan melalui ‘tangan’ polis dan tentera dan berada dalam satu wilayah tertentu, bersama dengan pelbagai bentuk birokrasi yang didanai oleh negara. Masyarakat disebut sebagai lokasi kekuasaan negara itu berlangsung. Walaupun sudut pandangan Gramsci ini mengarah kepada situasi masyarakat Eropah awal abad ke-20 namun pandangan itu mampu untuk berdiri sebagai sebuah pandangan universal dan melangkaui sempadan zaman dan waktu. Sepertimana yang dikatakan oleh Marx, ‘masyarakat baru berkembang dari rahim masyarakat lama’. Menjaluri juga apa yang disebut oleh Ibnu Khaldun bahawa sejarah ialah rentetan yang tidak putus-putus daripada kebangkitan dan kejatuhan negara, suatu putaran yang tidak pernah berhenti.

Apa yang berlaku dalam situasi politik terakhir di Malaysia hari ini banyak memperlihatkan pergelutan untuk merebut kekuasaan oleh pihak-pihak yang diwakili oleh kepentingan politik yang berbeza. Serangan-serangan yang bersifat peribadi untuk meruntuhkan sosok individu adalah tindakan yang mengarah kepada kepentingan politik per se, yang tidak berkaitan dengan kepentingan rakyat. Kecenderungan ini berlaku lantaran kepercayaan politik yang meyakini bahawa negara yang merupakan lokasi hegemoni itu sebagai matlamat akhir kepada perjuangan politik. Dalam ertikata lain, politik ialah tujuan penguasaan negara terhadap masyarakat atau rakyat.

Pemahaman ini sebenarnya adalah kegagalan besar politikus untuk melihat definisi kekuasaan. Jika kekuasaan dilihat dalam konteks hubungan hegemoni antara negara dan rakyat maka tujuan politik akan melahirkan tindakan-tindakan yang memperjuangkan sosok nilai individu politik tanpa mengira keutamaan kepada kepentingan rakyat. Namun jika kekuasaan itu dilihat sebagai kesinambungan daripada wilayah al-qudrah iaitu definisi kekuasaan yang melihat negara, pemimpin dan rakyat adalah pusat perhambaan kepada Tuhan, maka tujuan politik akan melahirkan tindakan mengangkat dan mengutamakan kepentingan umat secara keseluruhannya yakni rakyat per se dengan menolak kepentingan sosok individu politik.

Harga minyak meningkat kepada USD145 setong dan kemungkinan akan meningkat lagi sehingga USD150 setong. Saham di seluruh dunia mengalami kejatuhan yang teruk. Sehingga ada negara (?) yang terpaksa merosakkan sistem komputernya untuk menutup dan mengelak daripada kejatuhan yang sampai kepada garis malapetaka. Kenaikan minyak mentah akan terus meningkat oleh pertambahan permintaan global khususnya China yang meningkat keperluannya untuk membangunkan wilayah yang dilanda gempa dan persiapan menghadapi sukan Olimpik. Kenaikan juga turut berlaku dalam harga gas asli iaitu menyaksikan kenaikan sehingga 81%.

Thomson Rauter meramalkan keuntungan suku kedua 500 syarikat yang tersenarai dalam S&P akan jatuh 12.4%. Institusi kewangan menerima kesan yang paling buruk dengan margin keuntungan jatuh kepada 66% daripada tahun lalu. Sementara dalam bidang pekerjaan, 15,000 pekerjaan hilang daripada 453,000 pekerjaan yang dilahirkan pada separuh tahun pertama tahun 2007. Industri pembuatan mengalami kejatuhan bilangan tenaga kerja yang terburuk sejak 58 tahun, sementara industri pembinaan mengalami kejatuhan bilangan tenaga kerja sehingga 6.8%. Keadaan ekonomi dijangka akan bertambah buruk dalam dua tiga bulan akan datang. Ketidaktentuan pasaran, kenaikan bahan mentah yang terus melonjak tinggi, kenaikan kadar permintaan global yang memuncak, kejatuhan pasaran saham dan modal serta kekurangan penawaran bahan komoditi akan menjadikan ekonomi dunia dalam keadaan yang amat tidak stabil. Kesan daripada ini turut membawa dunia kepada lonjakan besar kadar inflasi yang menyaksikan kehadiran malapetaka kepada kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Kesan besar ternyata akan menimpa kepada rakyat. Bahkan ia turut membawa bersama kepada ketidakstabilan sosial yang menyaksikan peningkatan kadar jenayah, ketegangan hubungan dalaman masyarakat, kemunculan gejala sosial yang baru dan keruntuhan institusi nilai. Akhir sekali ia menghasilkan ketidakstabilan politik yang boleh menimbulkan kekacauan dan huru hara. Dalam keadaan ini, pemimpin politik harus melihat kepada usaha untuk menentang dan menghalang sedapat mungkin hempasan gelombang ganas ini daripada menghancurkan kehidupan masyarakat, bukannya mengambil kesempatan untuk merebut kekuasan politik dengan mengeksploitasi keadaan.

Malaysia mempunyai beberapa tahun masa sebelum tiba kepada penggal Pilihanraya Umum Ke-13. Alangkah baiknya masa beberapa tahun ini digunakan oleh pemimpin-pemimpin politik baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk duduk semeja menggembeling tenaga menghadapi bencana dan malapetaka besar ekonomi yang boleh menghancurkan kehidupan masyarakat dan negara. Untuk sejenak parti-parti politik ini melupakan tentang politik kepartian mereka dan menumpukan usaha secara bersama demi kepentingan rakyat. Lupakan soal membuang Perdana Menteri, lupakan soal mengambil alih kerajaan, lupakan soal sosok nilai dan karakter individu politik – dan tumpukan kepada usaha untuk meghadapi bencana ekonomi. Setelah itu, rakyat akan menentukan siapakah dan parti manakah yang akan dipilih mereka dalam pilihan yang adil dan bersih pada PRU13. Bukankah ini lebih baik untuk semua pihak.

Malangnya kekecohan sodomi dan Mongoliagate menjadi sensasi yang bukan sahaja mengalih tumpuan rakyat daripada gelombang kemusnahan besar yang sedang datang tetapi juga membawa kepada usaha yang sia-sia untuk mempertahankan kepentingan politik keindividuan dan kepartian masing-masing. Apa kata jika kedua-dua sosok individu yang menimbulkan sensasi peribadi itu dibuang sahaja daripada ruang politik dan kehidupan kepunyaan rakyat? Bukankah ini lebih baik untuk kedua-dua mereka menyelesaikan masalah pertuduhan peribadi mereka di mahkamah tanpa melibatkan waktu dan kehidupan rakyat?

Beranikah Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ‘merehatkan’ dua tonggak politikus besar mereka demi rakyat? Atau memilih untuk menenggelamkan diri mereka dalam sensasi politik yang tiada penghujung dan faedahnya kepada rakyat. Mungkin kita harus kembali kepada pernyataan Ibnu Khaldun, “value is one thing, reality another”. Matlamat politik dalam keadaan sekarang harus difahami bukan adalah ruang hegemoni yang menjanjikan keagungan dan kekuasaan kepada sosok individu sehingga melahirkan perebutan kuasa yang tidak mahu memberi waktu kepada rakyat (PRU13), tetapi harus difahami sebagai amanah daripada ketentuan al-qudrah yang mengorbankan kepentingan diri untuk umat manusia demi Allah s.w.t.

Mingguan Wasilah, 13-19 Julai 2008

No comments: