Monday, July 14, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

MENCARI DOKTRIN EKONOMI BARU


Tujuan utama ahli ekonomi dikatakan ialah untuk menganalisis, iaitu menemui sesuatu bagi menubuhkan prinsip yang menjadi asas bagi perjalanan sistem ekonomi mengikut keperluan masa dan keadaan. Mengikut Eric Roll dalam bukunya Sejarah Pemikiran Ekonomi bahawa adakalanya dipertikaikan sama ada sesebuah pemikiran dan sistem ekonomi mampu menjadi sesuatu yang tepat dan sah dipakai di seluruh sejagat. Ini adalah kerana berlakunya kepentingan ekonomi dari segi sosial dan sejarahnya disangkal. Eric Roll juga mengemukakan bahawa orang awam mengetahui bahawa mereka wajar meminta pernyataan daripada ahli ekonomi tentang bagaimana sesuatu sistem beroperasi (walaupun kepercayaan mereka terhadap penjelasan yang diberikan itu tidaklah tinggi sangat); namun orang awam lazimnya ingin juga mengetahui apa yang sebenarnya yang patut dilakukan.

Pernyataan ini agak menarik jika dihubungkan dengan apa yang berlaku dalam suasana ekonomi sekarang, khusus kepada persoalan kenaikan harga minyak yang begitu kritikal. Kehadiran pakar-pakar ekonomi berforum di kaca televisyen saban ketika dalam ‘membenarkan’ tindakan kerajaan menaikkan harga minyak tidak lebih daripada kenyataan Eric Roll iaitu, ‘orang awam mengetahui bahawa mereka wajar meminta pernyataan daripada ahli ekonomi tentang bagaimana sesuatu sistem beroperasi – walaupun kepercayaan orang awam terhadap segala penjelasan pakar-pakar ekonomi itu tidaklah tinggi sangat’. Sentiasa tampil di kaca televisyen sekarang ini ialah pakar-pakar ekonomi dengan pelbagai hujah mempertahankan tindakan kerajaan kerana kenaikan harga minyak adalah fenomena dunia, dan penyelesaiannya rakyat harus menerima hakikat dengan melakukan penyesuaian gaya hidup baru. Dalam perkataan klisenya, ‘rakyat perlu ubah cara hidup’, ‘lakukan sesuatu yang inovatif untuk penyesuaian dengan segala kenaikan ini’, ‘rakyat tidak boleh selamanya bergantung kepada subsidi’ dan segala macam hujah kepakaran ekonomi masing-masing.

Sememangnyalah kepercayaan orang awam terhadap penjelasan pakar-pakar ekonomi ini tidaklah tinggi sangat, kerana penjelasan tersebut tidak pun mampu menyelesaikan keperitan hakiki hidup rakyat selain daripada retorik yang menjadi ruang ‘intelectual exercise’ ahli-ahli teori yang menunjukkan wajah dan kepala mereka di kaca televisyen. Apa yang jelas terlihat adalah betapa jauhnya pakar-pakar ekonomi ini tenggelam dalam doktrin pemikiran dan sistem ekonomi Barat, sehingga mereka tidak mampu untuk mencari serta menubuhkan prinsip ekonomi yang bertepatan dengan suasana baru dan keadaan masyarakat di Malaysia pada masa ini. Pakar-pakar ekonomi ini juga tidak mampu untuk berfikir dalam memberikan justifikasi sama ada sistem ekonomi yang mereka ‘berhalakan’ itu mampu menjadi sesuatu yang tepat dan sah dipakai di seluruh sejagat.

Peringkat awal berlakunya panik kenaikan harga pada bulan Mei, minyak dijual 119 dolar setong berbanding pada bulan April hanya 55 dolar setong. Ini bermakna kenaikan mendadak sehingga 86%. Sedangkan rezab minyak mentah pada ketika itu di AS adalah sebanyak 2.4 juta tong, lebih tinggi daripada Februari 2008 dan 3.4% sahaja rendah daripada bulan Mac 2008. Dan harga minyak melambung setinggi 86% hanya kerana kejatuhan rezab minyak mentah sebanyak 3.4%? Ia tidak menemukan jawapan yang tepat dalam pemikiran ekonomi moden yang menguasai dunia masakini.

Sehingga akhir bulan Mac 2008 simpanan minyak dunia ialah sebanyak 2.58 bilion tong, hampir sama banyaknya dengan simpanan sehingga penghujung 2007. Petunjuk menyatakan bahawa pengeluaran minyak dunia adalah sebanyak 87.3 juta tong sehari dan permintaan adalah sebanyak 87.2 juta tong sehari. Ini bermakna pengeluaran masih mengatasi permintaan. Begitu jika dilihat kepada krisis beras yang mengalami kenaikan pada harga 1000 dolar per tan metrik. Harga ini mengalami peningkatan sehingga 173 %, walaupun simpanan beras sehingga akhir 2008 adalah sebanyak 1 juta tan metrik lebih banyak daripada simpanan tahun 2007. Hal ini terus berlaku kepada barangan lain, contohnya besi mengalami kenaikan harga sehingga 30%, aluminium 28%, bijiran, jagung dan sebagainya walaupun simpanan dan pengeluarannya masih banyak dan mampu menampung permintaan.

Ini semua memperlihatkan bahawa teori serta sistem ekonomi moden yang berteraskan hubungan penawaran dan permintaan itu sekarang sudah hilang ketepatannya, jika tidak boleh dikatakan ‘tidak boleh digunapakai’ lagi. Apa yang berlaku sekarang ialah suatu bentuk hakikat ekonomi yang tidak lagi bergantung kepada teori keluk XY penawaran dan permintaan, yang digunakan dalam korelasi harga sekaligus menentukan keseimbangan pengeluaran. Ekonomi tidak lagi menyatakan bahawa apabila harga tinggi permintaan akan berkurangan. Ataupun pengeluaran yang berlebihan akan mempengaruhi penurunan harga, dan bentuk-bentuk lain hubungan berkeluk penawaran dan permintaan sekaligus penentuan terhadap kestabilan harga.

Apa yang berlaku sekarang ini, ialah ekonomi tidak lagi bergantung dan ditentukan oleh sebarang garis keluk penawaran dan permintaan, tetapi oleh tahap persepsi. Pembeli akan membeli di atas kos apa sekalipun apabila persepsi atau jangkaan mereka bahawa mereka ‘tidak akan mendapat apa yang mereka perlukan apabila mereka memerlukannya’. Dalam ertikata lain, persepsi bahawa penawaran barangan yang mempunyai had pengeluarannya (simpanan yang mungkin habis dan tidak mencukupi pada masa hadapan) tidak menjamin mereka untuk mendapat bekalan untuk selama-lama yang mereka perlukan. Hal ini membuatkan pembeli atau pengguna tetap membeli (dengan banyak dan tanpa had) walaupun harganya mengalami kenaikan yang tinggi, sekaligus menafikan hukum penawaran dan permintaan yang wujud selama ini.

Berlakunya perubahan corak kepenggunaan ini adalah disebabkan oleh banyak faktor. Antara faktor utamanya ialah peperangan, bencana alam dan ketidaktentuan dunia. Namun apa yang perlu difahami di sini, pemahaman klasik tentang hubungan kehidupan manusia dengan alam yang mana menjadi asas kepada prinsip awal ekonomi moden kini kembali menjadi faktor penentu. Pemahaman klasik ini berasaskan kepada aliran humanisme sosial, contoh jelas terlihat dalam novel Robinson Crusoe oleh Daniel Dafoe yang memberikan suatu bentuk hubungan saling memerlukan antara manusia dengan alam. Kini apabila manusia semakin tamak dan jahat, ia menyaksikan kemusnahan terhadap hubungan ini bahkan kekuatan alam kini sedang menjarah dan menghancurkan semua sistem kehidupan manusia. Maka sistem ekonomi yang mengabaikan etika, moral dan agama juga sedang menghala kepada kehancuran tersebut.

Pakar-pakar ekonomi Malaysia masih bercakap tentang hakikat yang perlu diterima oleh rakyat, tetapi mereka tidak bercakap tentang hakikat ketidakmampuan mereka untuk mencari doktrin baru ekonomi yang bebas daripada kebobrokan doktrin ekonomi dollar. Sekaligus keluar dari belenggu ‘pak turut’, sebagaimana Venezuala, Iran, dan sebagainya yang masih mengekalkan harga minyak rendah oleh kerana kemampuan pakar-pakar ekonomi dan pemimpin mereka untuk bebas daripada doktrin ekonomi dunia yang ditunjangi doktrin ekonomi dollar.

Siapa yang perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup? Rakyat? Atau pemimpin politik serta pakar-pakar ekonomi dan kaum intelektual yang menggubal dasar negara – yang ‘terbahala’ oleh doktrin ekonomi dollar itu?


Mingguan Wasilah, 29 Jun – 5 Julai.

No comments: