Sunday, July 27, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

ANTARA RETORIK DAN HAKIKAT DALAM FASA KEDUA RMK-9

Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) pada 27 Ogos 2008 melihat kepada pelaksanaan fasa kedua RMK-9, yang bermula pada tahun ini sehingga tahun 2010. Di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 ini kerajaan menambah peruntukan pembangunan dalam tempoh tersebut sebanyak RM30 bilion menjadi RM230 bilion. Kerajaan memberikan tumpuan kepada projek yang mampu meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat serta meneruskan agenda untuk mengukuhkan ekonomi negara. Cabaran besar dalam agenda memperkukuhkan ekonomi ini ialah kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam menangani situasi ini kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kapasiti dan daya saing dengan melaksanakan projek infrastruktur serta inisiatif pembangunan modal insan dan mengembangkan sektor pertumbuhan baru bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negara untuk berdepan dengan ekonomi dunia yang begitu kritikal saat ini.

Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif pula, kerajaan merencana pembangunan negara bagi tempoh RMK-9 berdasarkan lima teras nasional. Pertama, meningkatkan nilai tambah ekonomi negara. Kedua, meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’. Ketiga, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Keempat, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup. Dan kelima, mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara. Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia sekitar 4.1% bagi tempoh 2008-2010, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada purata 6.0% setahun.

Pembentangan ini banyak memberi pernyataan-pernyataan yang subjektif. Memang tidak dinafikan, kerajaan memberikan data dan statistik yang jelas namun kaedah pelaksanaannya serta kemampuan untuk mencapai apa yang dimatlamatkan itu menimbulkan banyak persoalan. Melakarkan segala kata-kata indah dan muluk di atas kertas bukan bermakna menyelesaikan persoalan ekonomi pada masa ini dan masa akan datang. Penyelesaian memerlukan sebuah ruang praktikum yang menyaksikan tindakan secara fizikal yang dapat dilihat dan dibuktikan.

Pada Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan mensasarkan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar sebanyak 8.0% namun pertumbuhan yang berlaku hanya 4.8%. Begitu juga dalam Rancangan Malaysia Ke-8, sasaran pertumbuhan ialah sebanyak 7.5% tetapi pertumbuhan yang berlaku hanya 4.5%. Begitu juga dengan sasaran-sasaran lain yang diberikan oleh kerajaan, tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Hal ini menunjukkan pembentangan yang memberikan sasaran-sasaran yang ‘ideal’ jikapun tidak ‘utopia’ tidak mampu untuk dicapai oleh kerajaan, dalam hakikat yang sebenarnya. Maka sasaran-sasaran tersebut menjadi retorika bagi memberikan keyakinan yang ‘palsu’ kepada rakyat.

Melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global mewujudkan apa yang disebut sebagai ‘scarcity economic’ atau ‘scarcity market’. Ekonomi dilihat menyempit dalam ruang ketidaktentuan akibat ramalan ketidakcukupan bahan dan sumber keperluan baik dalam bentuk bahan galian mahupun dalam bentuk bahan tanaman dan pengeluaran lain. Di sini hukum penawaran dan permintaan dilanggar. Pembeli tidak lagi percaya bahwa harga yang tinggi akan menurunkan permintaan dan peningkatan penawaran akan membawa kepada titik keseimbangan pasaran. Dalam sesetengah pasaran, harga ditentukan oleh kebimbangan dan ketakutan akan ketiadaan atau kekurangan bahan walau untuk paras harga apa sekalipun. Maka ketentuan paras harga tidak lagi ditentukan dalam hukum penawaran dan permintaan yang kuno itu lagi.

Sepertimana krisis matawang yang berlaku pada tahun 1997, krisis ekonomi kebimbangan ini juga bukan berlaku dalam masa semalaman. Ia adalah kesan rentetan daripada pergerakan ekonomi yang berlaku setengah dekad yang lepas. Pembeli mempunyai pengalaman di mana bahan-bahan keperluan gagal memenuhi permintaan. Pengalaman ini membina keyakinan terhadap kemungkinan yang akan berulang.

Dalam kes kenaikan harga minyak mentah, kebimbangan pasaran diperkukuhkan lagi oleh penurunan pengeluaran minyak mentah di Rusia dan Mexico, juga di Nigeria dan beberapa negara baru-baru ini tambah memburukkan keadaan. Walaupun Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya namun ia tidak mampu menstabilkan ‘kebimbangan pasaran’. Ia akhirnya mewujudkan ‘a sense of inevitability’, iaitu keyakinan bahawa paras harga yang tinggi tidak akan memberi pengaruh kepada kadar permintaan. Ini berlaku apabila harga minyak mula meningkat kepada 119 dolar setong dalam bulan April 2008 tidak lagi mempengaruhi penurunan permintaan. Maka harga minyak mentah dipercayai akan terus meningkat sehingga 200 dolar setong, baharulah suatu bentuk penyelarasan permintaan akan berlaku. Kesan besar daripada keadaan ekonomi ini ialah kenaikan dahsyat kadar inflasi. Di sini ‘a sense of inevitability’ tadi mencapai puncak atau klimaksnya. Maka jika tiada usaha yang berkesan untuk menanganinya, ekonomi negara akan mengalami bencana yang dahsyat melibatkan ketidakstabilan sosial dan politik yang akan merubah sama sekali wajah yang ada pada hari ini.

Retorik yang muluk di atas kertas pada hakikatnya akan memberikan bahaya yang lebih besar kepada kestabilan keseluruhannya. Ini adalah kerana sasaran yang tidak mungkin tercapai tadi akan membangkitkan kemarahan rakyat apabila mereka berasa tertipu dan dipermainkan. Adalah lebih baik jika kerajaan dapat memberikan keyakinan jangka panjang lebih daripada menawarkan angka-angka yang besar dan sasaran-sasaran yang tidak mungkin tercapai. Namun keyakinan jangka panjang tentunya memberikan gambaran sebenar terhadap keupayaan dan ketelusan kerajaan selama ini. Apatah ia akan turut memberikan data sebenar tentang amalan sebelum ini yang akan memperlihatkan betapa besarnya ketirisan dan kebocoran yang berlaku akibat amalan-amalan yang salah dalam mengusahakan kepentingan politik dan juga kepentingan peribadi yang berlaku selama ini.

Bagaimanapun keyakinan jangka panjang penting untuk memberikan gambaran sebenar tentang kemampuan negara untuk menghadapi rally ketidaktentuan ekonomi ini, iaitu ramalan kepada tahap puncak 200 dolar setong tadi. Keyakinan jangka panjang ini selain daripada melibatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan kaedah pengagihan dan penyampaian yang telus kerajaan kepada rakyat, juga melibatkan kejujuran kerajaan dalam memberikan data-data tentang kegagalan lepas kerajaan. Ini dapat memberikan gambaran kepada rakyat akan kemampuan negara yang sebenar dalam menghadapi situasi yang genting ini. Dalam pada itu, bahana besar yang akan mendatang ialah kenaikan dahsyat kadar inflasi. Maka kerajaan harus memberikan fokus kepada perkara ini bukan hanya dengan pemberian subsidi tetapi kajian semula sistem-sistem baru kerajaan (contohnya e-perolehan, konglomerat atau konsortium yang melahirkan sistem monopoli dan sebagainya yang mengenakan komisyen atau bayaran perkhidmatan terhadap pengguna yang ‘dipaksa’ menggunakan perkhidmatan mereka) yang banyak mengurangkan pendapatan syarikat kecil dan pengguna awam. Dalam pada itu, kerajaan harus mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan mengurangkan atau menghapuskan ‘autoriti’ politik terhadap projek pembangunan dan pembelian kerajaan yang sering mengaut ‘komisyen haram’ daripada setiap urusniaga. Dalam kata lain, tumpuan utama ialah kepada bahana inflasi yang akan menyerang dengan dahsyatnya.

Namun hakikat ini tentunya akan menyaksikan pemimpin kerajaan dari kedudukan yang tertinggi hingga ke bawah akan terhimpit dan tercekik. Maka ia tentunya tidak dapat dilakukan dan dengan itu, retorika angka-angka dan sasaran yang tidak mungkin tercapai akan terus dimainkan untuk mengulit harapan dan mimpi rakyat.

Mingguan Wasilah, 6 – 12 Julai 2008.

No comments: