Sunday, August 3, 2008

REVIU FILEM JUN 2008

THE KITE RUNNER DAN EMOSI YANG TERBELAH

Carl Gustav Jung mengemukakan satu teori psikologi tentang proses ‘menjadi diri sendiri’ iaitu apa yang disebut sebagai individuasi. Ia adalah proses menterjemahkan ego (gerak luar) bersama-sama self (gerak dalam) untuk mencapai realisasi diri. Proses individuasi ini tidak mengurung seseorang untuk menjadi terpisah dari dunia, tetapi menghimpun dunia di dalam dirinya.

The Kite Runner adalah sebuah filem yang diangkat daripada novel karya Khaled Hosseini yang memakai judul yang sama, mendapat sentuhan daripada pengarah muda Marc Forster. Filem ini membawa kepada pergolakan dalaman Amir, seorang anak Pashtun dari Kabul, Afghanistan menelusuri ingatan zaman kanak-kanaknya di Kabul sebelum Afghanistan dihancurkan oleh peperangan yang menyaksikan silih ganti penyerbuan Rusia dan Amerika Syarikat, tidak terkecuali perang sesama sendiri. Kabul adalah sebuah bandar yang dipenuhi kegembiraan dengan pelbagai amalan budaya masyarakat tempatan, antaranya ialah permainan layang-layang. Amir adalah anak kepada Baba, seorang kenamaan di Kabul seringkali ditemani oleh Hassan, anak kepada Ali seorang etnik Hazara yang berkhidmat dengan Baba. Secara tidak langsung Hassan turut menjadi penjaga yang berkhidmat dengan penuh setia kepada Amir, di samping menjadi teman sepermainan Amir.

Pertandingan menentukan layang-layang yang berjaya memutuskan tali layang-layang lain akan muncul sebagai pemenang. Layang-layang yang putus pula akan menjadi hakmilik sesiapa yang berjaya menangkapnya. Hassan mempunyai kebolehan untuk merasakan di mana layang-layang yang putus itu jatuh dan seringkali mengatasi kanak-kanak lain dalam mendapatkan layang-layang. Namun realiti di Afghanistan, etnik Hazara dianggap sebagai etnik yang rendah dan rata-ratanya dipandang hina oleh kaum majoriti Pashtun yang berkuasa dan berpengaruh di Afghanistan. Bahkan etnik Hazara yang kebanyakannya bermazhab Syiah itu pernah dianggap bukan Islam oleh regim Taliban yang bermazhab sunni Wahabi beraliran Deobandis dan terdiri kebanyakannya daripada etnik Pashtun yang sangat fanatik semangat kepuakannya. Sentimen ini menimbulkan peristiwa Hassan dihina oleh Assef si pembuli di hadapan Amir. Amir yang sentiasa menyerahkan keselamatan dirinya di tangan Hassan hanya diam melihat Hassan dihina oleh Assef.

Baba yang sering menyumpah komunis itu, menyayangi Amir dan Hassan tanpa membeza-bezakan mereka walaupun Hassan hanyalah anak khadamnya dari etnik Hazara. Amir pula, seorang anak yang kehilangan ibu menjadikan Hassan tempat bergantungnya. Dalam melayani Amir, kesetiaan Hassan kepada Amir melebihi segala-galanya. Suatu ketika mereka berdua menyertai pertandingan layang-layang di Kabul. Pesta pertandingan yang meriah ini menyaksikan Amir yang ditunjuk ajar oleh Hassan, muncul sebagai pemenangnya. Ketika Hassan mengejar layang-layang untuk Amir, dia telah diserkap oleh Assef dan kawan-kawan pembuli mereka. Amir yang mencari Hassan ternampak Assef dan kawan-kawannya menyerkap Hassan. Assef meminta Hassan menyerahkan layang-layang itu tetapi Hassan mempertahankannya kerana Hassan telah berjanji akan menyerahkan layang-layang itu kepada Amir. Assef dan kawan-kawannya menangkap dan meliwat Hassan (peristiwa ini menjadi kontroversi filem ini). Peristiwa ini disaksikan secara sembunyi oleh Amir, tetapi Amir tidak menyelamatkan Hassan sebaliknya melarikan diri. Hassan keluar dengan kecederaan fizikal, dan emosinya yang lebih parah tetapi masih mempunyai layang-layang untuk diberikan kepada Amir. Hassan mengorbankan diri dan maruahnya demi Amir.

Sejak hari itu hubungan Amir dan Hassan mula suram. Amir yang terperangkap dengan rasa bersalah oleh sifat penakutnya ingin menyingkirkan Hassan daripada hidupnya, sekaligus menyingkirkan kekecewaan rasa bersalahnya. Hassan yang ditekan emosi oleh perbuatan binatang Assef dan sikap Amir yang bertukar pelik lebih menderita. Akhirnya Hassan keluar dari hidup Amir, apabila Amir mengadu Hassan mencuri jamnya yang sengaja diletakkan Amir di katil Hassan. Hassan mengaku mencuri jam itu di hadapan Baba, Amir dan bapanya Ali kerana Hassan tahu Amir mahu menyingkirkannya.

Keseluruhan cerita ini adalah berkenaan pergolakan diri Amir yang terperangkap dalam egonya yang cuba menundukkan diri (self). Ia menjadi satu proses untuk mencapai realisasi diri yang menyaksikan Amir seperti mengurung dirinya untuk menjadi terpisah dari dunia, tetapi hakikatnya proses ini menyaksikan Amir menghimpunkan dunia di dalam dirinya. Amir menghimpunkan dunia pergolakan politik Afghanistan apabila dia dan ayahnya, ketika serbuan Rusia melarikan diri keluar dari Afghanistan lalu berhijrah ke AS. Di sana Amir membesar sehingga akhirnya berkahwin dengan Soraya. Baba kemudian meninggal dunia membawa segala penderitaan insan yang terhumban dari tanahairnya. Kemudian Amir dihubungi oleh Rahim Khan, sahabat baik Baba yang banyak mendorong Amir ketika kanak-kanak dahulu menjadi penulis yang berjaya untuk datang ke Pakistan.

Rahim Khan membawa proses individuasi atau ‘menjadi diri’ Amir ini ke puncaknya, apabila meminta Amir pergi sendiri menyelamatkan Sohrab, anak Hassan di Afghanistan. Hassan diberitahu telah meninggal dunia ditembak rejim Taliban bersama isterinya kerana mempertahankan rumah Baba yang dijaganya. Paling mengejutkan Rahim Khan menyatakan bahawa Hassan adalah anak Baba dengan isteri Hazaranya. Maka Sohrab yatim piatu itu ialah anak saudara Amir. Amir kembali ke Afghanistan dan merebut Sohrab dari tangan Assef, kini menjadi komander Taliban yang menculik kanak-kanak untuk dijadikan tebusan seks. Di sini Amir menebus segala-galanya; dosanya kepada Hassan, keberanian yang dipinta oleh Baba, dan paling indah ‘menjadi diri dalam hakikat dirinya yang sebenar’.

Filem ini adalah persona atau lebih dari itu Freudian slip seorang Khalid Hosseini yang terlempar keluar dari bumi Afghanistan oleh penjajahan Rusia, membesar, terdidik dan membina kehidupan di Amerika Syarikat tetapi membekam luka yang dalam oleh segala kisah dan tragedi di tanah cintanya, Afghanistan. Khalid membenam luka dalam kenangannya pada masa kecil. Tetapi sukar bagi Khalid memahami Afghanistan daripada fikiran zaman kanak-kanaknya. Khalid melihat Rusia yang celaka, para Mujahiddeen yang kemudian menjadi para perompak, dan akhirnya Taliban sebuah rejim ortodoks yang zalim – memusnahkan segalanya di Afghanistan. Tetapi Khalid seperti Amir di dalam filem tidak menemui dirinya (self) yang hilang, dan cuba menutupnya (ego) dengan mencipta sebuah zaman kanak-kanak yang luka. Sukar untuk memberikan justifikasi terhadap apa yang dilakukan Taliban, tetapi mudah untuk memberikan hukuman. Begitu juga sukarnya untuk memahami jiwa pelarian seperti Khaled Hosseini, tetapi mudah memberikan anggapan terhadap hidupnya yang bahagia sebagai vernacular cosmopolitan di AS.

The Kite Runner sesungguhnya sebuah filem yang bukan sahaja memberikan banyak sisi tetapi juga melihat proses seorang manusia ‘menjadi dirinya yang sebenar’, dengan menghimpun sebuah dunia yang luka di dalam dirinya. Pada masa yang sama cuba untuk tidak menghilangkan kesucian Islam (Islam dilihat terpisah daripada segala perbuatan umatnya yang salah) – yang dilukakan oleh umatnya.

Milenia Muslim, Jun 2008

No comments: