UMNO DAN PERSATUAN-PERSATUAN MELAYU
Hasil daripada rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap Malayan Union yang mula diisytiharkan pada 10 Oktober 1945 di London dan dilaksanakan dengan tibanya Sir Harold MacMichael di Tanah Melayu pada 12 Oktober 1945 telah membangkitkan semangat penyatuan Melayu. Apabila orang Melayu faham akan natijah Malayan Union ini maka pada 20 November 1945, lapan buah persatuan Melayu di Johor telah bergabung membentuk Liga Melayu Johor. Pada 3 Januari 1946 Gerakan Melayu Semenanjung telah ditubuhkan di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Dua perkara penting yang menjadi isu besar bagi orang Melayu di sini ialah penghapusan kedaulatan sultan-sultan Melayu dan pemberian hak kerakyatan menerusi prinsip jus soli.
Pada 1-4 Mac 1946 satu persidangan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bagi menyatupadukan orang Melayu untuk menentang Malayan Union. Persidangan ini dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh semenanjung. Wakil-wakil pertubuhan ini akhirnya sepakat bersetuju menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu ini dan menamakannya sebagai Kongres Melayu Se-Malaya. Kongres mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu yang kuat. Pada 11 Mei 1946 dalam satu persidangan di Johor Bharu, Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) telah ditubuhkan. Dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai UMNO (United Malay National Organisation). Dengan tertubuhnya UMNO maka Kongres Melayu Se-Malaya dibubarkan.
Rentetan ini memperlihatkan bahawa UMNO ditubuhkan oleh pertubuhan atau persatuan Melayu yang pada ketika itu bergerak secara sukarela. Dalam ertikata lain, UMNO ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan (BBK) iaitu NGO (dalam bahasa Inggeris yang lebih difahami dalam konteks Malaysia sekarang). Apabila UMNO melalui keputusan Majlis Tertingginya menjemput BBK Melayu sekitar bulan Julai 2008 baru-baru ini, maka terlihat usaha untuk UMNO kembali kepada asal sejarahnya. BBK Melayu melihat usaha UMNO ini sebagai tindakan positif untuk memulihkan kembali kepercayaan orang Melayu. Namun apabila berlalu sekian lama, ternyata pertemuan tersebut hanyalah sekadar pertemuan kosong yang ad hominem sifatnya.
UMNO kembali kepada sifat angkuhnya yang memandang kecil kepada suara rakyat. Sememangnya dalam pertemuan tersebut terlalu banyak masalah yang ditimbulkan oleh BBK Melayu yang adakalanya terkeluar daripada skop tujuan pertemuan. Namun luahan dan pandangan BBK Melayu ini sekurang-kurangnya memperlihatkan kesediaan BBK Melayu untuk masih menerima UMNO sebagai wadah perkongsian perjuangan mereka. Antara perkara penting yang ditimbulkan dalam pertemuan tersebut ialah keprihatinan UMNO terhadap kesombongan oleh kuasa yang dimilikinya, ekonomi orang Melayu dan pengembalian bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik. Suara daripada Kesatuan Guru Melayu Semenanjung telah membuktikan bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris merugikan orang Melayu, bahkan semakin memundurkan orang Melayu apabila mereka ditinggalkan jauh oleh kaum lain dalam dua subjek berkenaan akibat faktor bahasa.
Sehingga kini UMNO yang masih ingin mempertahankan dosa Mahathir terus mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bukan sahaja untuk kedua-dua subjek tersebut tetapi berkembang kepada subjek-subjek lain secara tidak langsung, khususnya di IPTA. Apabila UMNO menyedari kesilapan dungu Mahathir dalam penggunaan bahasa Inggeris, seharusnya UMNO memperbetulkan dengan segera agar kedunguan lepas itu tidak menjadi satu sifat yang kekal kepada UMNO. Namun sehingga kini Hishamuddin masih mengekalkan kedunguan dan pengkhianatan tersebut. Sebenarnya dalam soal bahasa Melayu ini, sudah tidak ada bahasa yang baik lagi untuk diberikan kepada UMNO lantaran sudah ribuan pertemuan dan bantahan orang Melayu terhadapnya tetapi UMNO masih berdegil mengekalkan kedunguan warisan Mahathir itu.
Pertemuan dengan BBK Melayu seharusnya menjadi wadah untuk UMNO melihat kembali ke akar sejarah dan perjuangannya. Tanpa BBK UMNO tidak akan wujud untuk berkuasa di tanah orang-orang Melayu ini. Dalam pertemuan tersebut beberapa janji UMNO telah diberikan iaitu; memecahkan BBK Melayu ke dalam kumpulan kecil mengikut bidang masing-masing dan dengan itu segala masalah akan lebih diperhalusi; menyediakan geran serta bantuan seperti premis pejabat contohnya bagi urusan pentadbiran serta kegiatannya; dan akhirnya melibatkan BBK Melayu dalam keputusan berkenaan kepentingan orang Melayu pada peringkat Majlis Tertinggi UMNO.
Membahagikan BBK Melayu mengikut bidang masing-masing bagi menilai dan memperhatikan secara lebih halus dan terperinci masalah orang Melayu adalah langkah yang baik dalam menangani pembangunan bangsa Melayu. Ini menjadikan UMNO sebagai parti yang mewakili orang Melayu yang bersama-sama turun ke padang dan bukannya parti yang bersenda dengan retorik dan omongan kosong di kaca televisyen dan akhbar. Menyediakan geran tahunan dan bantuan fasiliti adalah usaha untuk kembali melihat sejarah asal usul UMNO yang lahir daripada BBK Melayu, yang tentunya faham akan kemampuan dan kemudahan yang perlu untuk menggerakkan sebuah badan sukarela demi kepentingan bangsa itu. Sementara melibatkan BBK dalam sebarang keputusan UMNO yang akan dibawa kepada keputusan kerajaan memberikan suara rakyat yang sebenarnya. Jika ini yang diamalkan oleh UMNO, tentunya seorang Mahathir yang autokratik itu tidak akan muncul lagi dalam sejarah UMNO dan khususnya sejarah Malaysia!
Tetapi setelah pertemuan tersebut, segala rasa tidak puas hati BBK Melayu yang dilontarkan tinggal sepi untuk membuktikan kesombongan UMNO terhadap kuasa yang dimilikinya. Bahkan lebih buruk lagi UMNO melupakan asal usulnya yang lahir daripada gabungan BBK iaitu pertubuhan dan persatuan sukarela Melayu pada tahun 1940-an tersebut. UMNO perlu menyedari walaupun BBK Melayu yang hadir itu terlalu rencam dan pelbagai masalahnya namun sekurang-kurangnya mereka menghormati antara satu sama lain dalam menjaga kepentingan orang-orang Melayu. Ini membuatkan BBK Melayu lebih ke hadapan daripada UMNO dalam soal perpaduan orang Melayu.
Jika UMNO tidak mengambil sebarang langkah susulan yang wajar dan konstruktif, BBK Melayu ini akan menjadi wadah yang besar kepada gelombang penolakan kedua UMNO untuk PRU13 nanti. UMNO telah melihat kesan daripada keputusan padu (solid) orang Cina dan India menolak MCA, GERAKAN dan MIC. Gerakan penolakan ini juga lahir daripada reaksi BBK mereka seperti Persatuan Pendidikan Cina, Hindraf dan sebagainya. Bagaimana jika orang Melayu mengambil keputusan padu untuk menolak UMNO pada PRU13 nanti?
Dengan itu UMNO perlu mengambil tindakan segera dengan langkah pertamanya Hishamuddin perlu mengisytiharkan pengembalian bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik tanpa dolak dalih lagi. Itu yang terlebih dahulu perlu dilakukan bagi memperlihatkan kesungguhan dan kejujuran UMNO dalam memperjuangkan maruah serta martabat bangsa Melayu.
Mampu dan beranikah UMNO memperjuangkan bahasa Melayu?
Orang Melayu sedang menanti jawapan UMNO untuk mengambil keputusan besar bagi menentukan sejarah UMNO beberapa tahun mendatang ini.
Mingguan Wasilah, 17-23 Ogos 2008
Friday, August 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Terima Kasih kerana sudi melengkapkan Majlis Tahlil Allahyarham Ayahnda di ITNM 29 Ogos 2008 bersama jemputan yang lain
Post a Comment