Wednesday, August 27, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

TITIK PERTEMUAN UNTUK KE MANA?

Pertemuan UMNO dengan PAS tidak kira di atas nama muzakarah atau muqabalah mula dimainkan oleh media berbahasa Melayu dengan gencar. Tetapi tidak begitu dalam media berbahasa Inggeris yang memberikan perhatian kecil, dan lebih melihat kepada isu Anwar dan ekonomi yang sedang mengalami kejatuhan yang teruk. Ada dua fungsi media yang dapat dilihat di sini. Pertama, mengalihkan perhatian rakyat daripada kesan yang akan membuat mereka gelisah dan marah dengan menyuntik sentimen yang mengkhayalkan. Kedua, membawa perhatian rakyat kepada masalah utama mereka.

Akhbar berbahasa Melayu arus perdana sepertikan sedang cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada melihat kelemahan kerajaan dan kemenguncupan ekonomi yang sedang menyaksikan melambungnya kadar inflasi serta kejatuhan besar sektor ekonomi. Maka itu satu suntikan yang membawa bius menjalarkan sentimen bangsa yang mengkhayalkan rakyat perlu segera dimasukkan ke dalam kepala rakyat untuk menggelapkan pandangan mereka terhadap malapetaka ekonomi ini. Sentimen ini selain daripada menawarkan khayalan penyatuan Melayu, ia juga seterusnya mengembalikan mitos UMNO sebagai parti suci dan keramat orang Melayu. Layar fiksi ini mungkin dapat mengalihkan kesengsaraan rakyat sebagaimana filem-filem Bollywood yang bergerak di atas kayangan tarian dan cinta itu dapat mengalihkan sebentar masyarakat bawahan di India daripada hakikat keperitan hidup.

Sementara akhbar berbahasa Inggeris cuba memberikan fokus kepada hakikat kelemahan kerajaan bukan sahaja dalam mengatasi kemelesetan ekonomi daripada laporan peningkatan drastik kadar inflasi tetapi juga kegagalan memisahkan badan eksekutif daripada badan legislatif, melalui berita muka hadapan kenyataan akhbar Anwar Ibrahim. Badan eksekutif masih cuba menguasai badan perundangan termasuk mahkamah, polis dan BPR. Mungkin andaian ini salah, namun perkembangan terbaru kes liwat Anwar Ibrahim dan pembicaraan Altantuya banyak memainkan peranan dalam melihat hakikat ini.

Pertemuan UMNO-PAS bukanlah satu isu besar untuk masa sekarang ini. Tidak mungkin ada keinginan daripada UMNO untuk melepaskan kuasa dalam genggaman terakhir mereka kepada PAS, apatah lagi berkompromi dengan banyak perkara yang bukan sahaja merugikan kepimpinan atasan UMNO bahkan mungkin membawa sebahagian besar kepimpinan atasan UMNO ini dalam siasatan BPR dan polis. Ini juga satu andaian yang mungkin benar atau mungkin tidak. Dan tidak mungkin juga ada keinginan daripada UMNO untuk berjuang dengan jujur atau ‘berjihad’ terhadap kepentingan Melayu. Sebagai contoh isu pengagihan biasiswa, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik, serta tindakan Gerakan menghina bahasa kebangsaan disapu di bawah tikar oleh UMNO demi kepentingan politik dan kepimpinan UMNO, dan bukannya demi kepentingan orang Melayu. Ini bukan andaian, tetapi hakikat.

Isu besar ialah melambungnya kadar inflasi oleh kesan kenaikan harga minyak yang akan menyaksikan rentetan malapetaka ekonomi yang lain. Marx Weber mempunyai kepercayaan bahawa ekonomi adalah agen utama kepada perubahan sejarah yang berskala besar. Lalu di sini perubahan sejarah yang besar sedang menanti di muka pintu, melihat kepada pergerakan ekonomi yang sedang mengubah sisi dunia dan turut mengubah topografi politik Malaysia. Isu Anwar juga bukan isu yang besar jika ia hanya satu isu moral, tetapi menjadi besar apabila ia mula mengaitkan ‘suasana’ yang berlaku pada tahun 1997-1998 yang turut melihat keterkaitan dengan faktor ekonomi-politik. Perubahan berskala besar akan berlaku dalam dunia politik Malaysia, jika pergerakan ekonomi yang terus menghala ke lubang gelap ini tidak disekat atau berubah. Kepimpinan negara yang diterajui oleh UMNO menyedari keadaan ini. Maka itu langkah-langkah terdesak untuk mengalihkan perhatian dilakukan dengan gencar, dan dalam masa yang sama bertungkus lumus cuba memberhentikan gerabak ekonomi yang sedang melaju jatuh ke lubang gelap.

Apa yang dilakukan oleh UMNO melalui propaganda media sekarang ialah cuba memperlihatkan bahawa pertemuan UMNO-PAS adalah perkara yang maha penting dan puncak kepada penyelamatan bangsa Melayu. Sehingga seluruh perbicaraan para pemimpin UMNO hanya tertumpu kepada pertemuan maha suci ini. Sehingga seluruh kerja para pemimpin UMNO hanya tertumpu kepada menjayakan pertemuan maha suci ini. Tetapi pernahkah kita bertanya untuk ke mana pertemuan ini? Penyatuan Melayu? Pengukuhan semula kuasa UMNO? Pemecahan PAS dari Pakatan Rakyat? Atau mengembalikan Malaysia ke era kesultanan Melayu abad ke-15?

PAS mungkin mengharapkan bahawa pertemuan ini akan memberikan penegasan terhadap hak agama Islam yang banyak dimainkan oleh pihak tertentu pada masa sekarang ini. Soal murtad, isu kalimat Allah, upaya mengurangkan kuasa mahkamah syariah, penyamataraf agama-agama lain dengan agama Islam, halangan membina surau, pembinaan kuil yang melanggar garis panduan dan sebagainya yang meletakkan PAS dalam keadaan untuk bertindak. Jika itu yang dilihat oleh PAS, maka tujuan pertemuan tersebut adalah cita-cita semua orang Melayu dan orang Islam di Malaysia ini. Tetapi jika PAS melihat pertemuan ini sebagai jalan politik yang lain, PAS juga perlu menyedari bahawa majoriti pemeluk Islam yang paling ramai di Malaysia ialah masyarakat Cina yang bertambah dengan kadar yang besar dari setahun ke setahun. Masyarakat Cina yang memeluk Islam telah meningkat dari 11, 570 orang (1967-1975) kepada 40,089 orang (1980-1990). Angka ini semakin bertambah untuk dekad ini. Sebahagian besar daripada Cina Muslim ini masih meletakkan diri mereka sebagai bangsa Cina, tetapi menghayati Islam sebagai agama kecintaan mereka. Begitu juga dengan India Muslim dan lain-lain.

Bagaimana PAS ingin meletakkan masyarakat Islam bukan Melayu ini jika mereka menumpukan Islam kepada sebuah lorong asabiyyah yang sempit. Apakah PAS hanya Islam untuk Melayu sahaja?


Mingguan Wasilah, 10-16 Ogos 2008

No comments: