Tuesday, August 12, 2008

REVIU FILEM OGOS 2008

FENOMENA AYAT-AYAT CINTA

Ayat-ayat Cinta sebuah filem Indonesia yang diangkat daripada novel popular Islami Habiburrahman Shirazi. Ketika diterbitkan novel ini meletup di pasaran dan menjadi bahan bacaan kegilaan anak-anak muda. Novel Ayat-ayat Cinta melahirkan fenomena baru di Indonesia. Fenomena novel popular Islami ini segera menenggelami gelombang sastera lucah yang menyerang dunia sastera Indonesia pada masa itu. Gelombang sastera seks atau sastera lucah atau juga disebut sebagai ‘sastera wangi’ (fragrance literature) dilancarkan kelompok sasterawan dari Teater Utan Kayu (TUK) pimpinan Goenawan Mohamad. Kelompok ini melahirkan gelombang sastera lucah di tangan penulis seperti Ayu Utami dengan novel Saman, di samping penulis-penulis lain seperti Djenar Maesa Ayu, Mariana Amiruddin dan sebagainya. Kumpulan yang membawa aliran sastera liberal ini muncul seiring dan saling mendukung dengan gerakan Islam Liberal yang rancak dengan tulisan Ulil Abshar.

Taufik Ismail seorang tokoh sastera Indonesia dari angkatan 66 melabelkan karya-karya ini sebagai sastera SMS iaitu ‘Sastera Mazhab Selangkangan’ atau FAK iaitu ‘Fiksi Alat Kelamin’ kerana hanya berbicara tentang hal-hal alat kelamin dan lucah. Taufik Ismail bersama pendokong sastera dan seniman lain menyerang hebat kumpulan penulis sastera SMS ini. Namun kemudiannya muncul novel popular Islami Ayat-ayat Cinta yang mencetuskan fenomena baru sekaligus menenggelami gelombang sastera lucah yang baru cuba mengakar itu. Fenomena novel cinta Islami ini kemudian disertai oleh novel popular pendidikan Laskhar Pelangi oleh Andrea Hirata dan novel popular sejarah iaitu trilogi Gajah Mada oleh Langit Kreshna.

Novel Ayat-ayat Cinta menjadi pencetus kepada kebangkitan novel-novel Islami yang akhirnya menenggelamkan gelombang novel picisan dan lucah inilah diangkat menjadi filem yang kini mencetuskan fenomena sinema Islam di Indonesia. Tentunya adaptasi novel ke filem tidak akan membawa seratus peratus sifat dan inti novel itu ke filem. Namun ia telah berjaya melahirkan sebuah filem atau sinema Islam yang cukup berkesan.

Ayat-ayat Cinta membawa pengertian tentang keindahan Islam. Islam adalah cinta, iaitu sifat kasih dan sayang terhadap semua yang wujud. Islam adalah cinta yang membawa penyerahan yang sepenuhnya terhadap Allah s.w.t. Islam adalah cinta yang memberikan kesejahteraan kepada semua manusia. Fachri adalah watak ideal seorang protagonis daripada sebuah cita-cita Islam. Beriman, berilmu, lembut, tawadhuk, redha, berani dan jujur. Fachri memberikan semua cinta di dalam dirinya dan menarik semua cinta kepadanya. Fachri adalah sebuah medan yang menarik semua hati datang kepadanya. Cinta Nurul, gadis Indonesia teman kuliah Fachri di Al-Azhar yang akhirnya menerima kecewa sebagai ketentuan untuk menjadikan manusia lebih tabah dan jujur. Maria, gadis Kristian Koptik Mesir yang kehilangan semua kekuatan untuk hidup oleh kerana kehilangan Fachri dari cita-cita dan harapan cintanya. Noura, gadis Mesir yang membalikkan cintanya menjadi api yang membakar semua yang ada. Dan akhir sekali, Aishah gadis Jerman warganegara Mesir yang memeluk Islam oleh kerana cintanya kepada Islam yang menemui seorang Yusuf a.s di dalam tubuh seorang Fachri. Ini semua adalah kenderaan kepada persoalan yang lebih besar iaitu, tassawur al-kulli yang dikembangkan oleh Islam melalui ayat-ayat yang cukup agung untuk meruntun kasih dan sayang semua maujud di alam semesta. Islam adalah kasih dan sayang yang membina keagungan cinta, bukan kebencian dan keganasan yang membunuh cinta. Di sini Islam dibina melalui pengertian isyk (cinta) lebih daripada melalui pengertian khauf (takut).

Fachri adalah tipa daripada usaha untuk menjelmakan Yusuf a.s dalam jiwa umat Islam masakini. Latar negeri Mesir dan penjelmaan cinta seorang lelaki luhur yang bernama Fachri, bukan diadakan hanya untuk melatarkan seorang pemuda Indonesia yang mencari cinta di rantau pasir yang jauh. Tetapi adalah alusi untuk membawa kisah Yusuf a.s ke dalam tubuh pemuda-pemuda muslimin. Seperti Sungai Nil yang dicipta sebagai jodoh yang ditemukan untuk Mesir, begitulah cinta dicipta untuk dijodohkan dengan addin iaitu jalan kepada kebenaran.

Semangat keindonesiaan yang kuat mungkin memperlihatkan sifat patriotik yang agak pathetic, apabila Mesir, Jerman, Amerika dan semuanya jadi ‘tertakluk’ kepada Indonesia. Indonesia diberi watak lelaki yang didambakan, sedang Mesir, Jerman dan lain-lain diberikan watak wanita yang mendambakan. Ia memperlihatkan keghairahan ‘Indonesia’ untuk menjadi besar, tetapi dari sudut yang lain ia mengalirkan bagaimana ‘penaklukan’ itu berlaku melalui cinta, iaitu sifat kasih dan sayang yang mempunyai tenaga dan kuasa yang tidak terjangkau. Penaklukan ini menolak semua kekerasan sebaliknya menjadikan cinta sebagai kekuatan yang tidak tertanding. Sebagai sebuah cerita yang terkandung dalam jalur novel popular, unsur melodramatik dan penagihan kesedihan tentunya adalah salah satu daripada sifat utamanya. Namun kebijakan filem ini ialah keupayaannya untuk menjadikan hakikat dan kemunasabahan emosi manusia lelaki dan manusia wanita kelihatan benar dan bukan sesuatu yang dibuat-dibuat.

Ayat-ayat Cinta banyak mengangkat ayat-ayat al-Quran, hadis dan petikan kata-kata ulama muktabar dalam mengemukakan pandangan atau melahirkan suatu bentuk persona dalam memperkatakan tentang kebesaran, keindahan dan kebenaran Islam. Apabila seorang lelaki Islam di atas kereta api mengambil tindakan memusuhi dan cuba menyakiti ‘orang-orang kafir’, Fachri datang menyanggah dengan mengatakan Islam tidak pernah melakukan perkara yang seaib dan sekeji itu. Islam adalah agama yang terbuka dan tidak membalas dengan sifat yang kasar dan buruk. Hal ini menepati kata-kata Saidina Ali r.a yang menasihati al-Malik Ashtar, gabenornya di Mesir untuk melayan manusia dengan dua layanan sahaja, ‘sebagai saudara seagamamu, dan sebagai manusia yang sepertimu’. Dari peristiwa-peristiwa beginilah Fachri melancarkan sebaran cahaya keindahan Islam yang menakluki hati masyarakat di sekelilingnya, Nurul, Maria, Noura dan akhirnya Aishah yang kemudian menjadi isteri Fachri yang sah. Ini semua merupakan simbolik tentang bagaimana Islam itu dipancarkan ke dalam hati nurani umat manusia melalui keindahan dan keimanan yang benar.

Fachri dicipta sebagai model protagonis yang ideal iaitu insan yang baik. Ini menepati pernyataan Syed Naquib Al-Attas tentang insan, “Dari segi pandangan Islam, insan yang baik itu ialah insan yang berilmu luhur, yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak; insan yang memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawabnya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; insan yang dalam serba serbi tingkahlakunya senantiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi”.

Sebuah sinema Islam tidak memerlukan wira yang perkasa, pendendam, dan suka membunuh tetapi memerlukan seorang insan adabi yang mampu melahirkan keimanan dan kebenaran melalui ayat-ayat cinta al-Quranul karim.

Milenia Muslim, Ogos 2008.

2 comments:

Hazwan Faisal said...

saya lebih gemarkan novelnya dari filemnya...
dalam filem, terlalu banyak adegan dipotong atau ditiadakan, jadi agak mencacatkan jalan cerita itu...
namun, bagi saya, filemnya lebih baik daripada filem cinta remaja di negara kita...
ibarat langit dan bumi...

S.M. Zakir said...

saya setuju dengan kedua-duanya. Filemnya banyak dipotong. Tetapi perkara tersebut tidak dsapat dielakkan apabila novel dibawa ke layar. Dan saya setuju, filem ini ibarat langit dan bumi dengan filem remaja Malaysia yang tak tahu hujung pangkalnya.