MUZAKARAH UMNO-PAS UNTUK MELAYU ATAU UMMAH?
Ibnu Khaldun menyatakan bahawa kepimpinan harus berdiri di atas kekuatan asabiyyah, iaitu masyarakat yang diikat oleh persamaan nasab, keturunan dan kaum. Ini adalah kerana hubungan seketurunan dan sebangsa akan menimbulkan perasaan cinta antara mereka seterusnya memupuk sikap memelihara, membela dan mempertahankan sesama mereka. Walaupun asabiyyah ini menimbulkan perasaan taksub terhadap kaum atau bangsa mereka, tetapi perasaan taksub inilah yang menjadikan kekuasaan atau kepimpinan itu bertambah kukuh. Bagaimanapun Ibnu Al-Farabi melihat kepimpinan itu harus berdiri di atas kekuatan ummah yang berevolusi daripada kepelbagaian unit dan kelompok hingga tiba kepada tahap masyarakat yang sempurna yang disebut beliau sebagai Ahl al-Ma’murah. Dalam konsep ummah ini Al-Farabi merujuk kepada ‘dunia’ iaitu kepelbagaian bangsa, suku kaum, menganut aneka kepercayaan, budaya yang berlainan, bahasa yang berbeza dan pelbagai aliran pemikiran.
Apabila timbul isu berkenaan muzakarah UMNO-PAS demi melihat kepada perpaduan serta kepentingan Melayu dan Islam, konsep asabiyyah dan ummah ini menjadi perkara yang menarik untuk dilihat. UMNO melihat kepimpinan harus berdiri di atas kekuatan bangsa yakni bangsa Melayu. Sedangkan PAS walaupun juga merujuk kepada Melayu-Islam, namun secara umumnya menekankan tentang cita-cita negara Islam yang tentunya melihat kepada kekuatan ummah. Namun definisi ummah yang dirujuk oleh PAS memberikan banyak tafsiran. Adakalanya mengikut keperluan siasah.
Melihat daripada perkembangan politik UMNO-PAS, hubungan kedua-dua entiti politik Melayu-Islam ini mempunyai pasang surut yang agak unik. Bagaimanapun pada era Mahathirime, UMNO di bawah Mahathir telah mencipta imej PAS sebagai ‘Islam radikal atau Islam fundamentalis’ melalui propaganda yang cuba memperlihatkan PAS sebagai parti yang selari dengan kumpulan radikal-militan Islam. Keghairahan Mahathir untuk menghitamkan wajah PAS ini secara tidak langsung telah mencalar imej Islam pada pandangan masyarakat khususnya masyarakat bukan Islam di Malaysia. Sehingga akhirnya perkataan Islam itu menjadi satu ketakutan kepada bukan-Islam. Perkataan PAS dan negara Islam telah membuatkan kekalahan bukan sahaja PAS di tangan bukan Islam tetapi juga kekalahan besar DAP yang pada masa itu cuba membentuk pakatan pembangkang.
UMNO di bawah Mahathir telah menjadikan imej Islam (PAS) dilihat sebagai ancaman terhadap pembangunan dan perpaduan bangsa serta kestabilan negara di Malaysia ini. Orang bukan Islam di Malaysia melihat PAS sebagai sebuah gerakan fundamentalis yang difahami dalam konteks Barat, iaitu penaja keganasan dan memusuhi agama lain. Dari sudut yang lain, Islam mula dilihat dengan penuh curiga. Tujuan Mahathir tidak lain ialah untuk melemahkan saingan politik terbesar UMNO iaitu PAS, namun tindakan itu malangnya telah mencalar dan menyerang Islam secara keseluruhannya. Namun fahaman Machievalian Mahathir tentunya menghalalkan segala cara demi mencapai matlamat kekuasaannya.
Kini PAS berjaya melepasi segala ujian dan rintangan dari period yang sukar itu dan akhirnya teguh membina kekuatannya yang tersendiri – menyebati dengan Islam yang syumul, melalui kejayaannya membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. PAS dalam wajah barunya yang mampu menawarkan kerjasama dengan DAP memperlihatkan keterbukaan Islam terhadap bukan Islam, sekaligus telah berjaya membetulkan persepsi masyarakat umum terhadap Islam yang selama ini banyak dikotori oleh propaganda buruk yang memenuhi tujuan politik pihak tertentu. Islam mula dilihat sebagai agama yang cintakan keadilan tanpa mengira bangsa dan agama lain, sebagaimana Islam dalam hakikat yang sebenarnya.
Pak Lah adalah seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang peribadi yang baik, dan tentunya melihat Islam dan politik dalam kaca mata yang berbeza dengan pemimpin sebelumnya. Maka niat Pak Lah mungkin terkandung kebaikannya, kerana Pak Lah tidak pernah berlaku sepertimana Mahathir untuk menggunakan Islam sebagai alat mainan politik. Namun perlu disedari, Pak Lah tetap pemimpin yang mewakili UMNO yang melihat bahawa kepimpinan harus dibina di atas kekuatan bangsa. Dalam pada itu pula, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain segelintirnya masih bergelumang dengan kekotoran peribadi dan minda politik mahathirisme mereka. Ini banyak memberi kesan kepada kejujuran UMNO.
Ini berbeza dengan pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang melihat Islam dalam konteks ummah. Kepimpinan bagi Nik Aziz harus berdiri di atas kekuatan Islam, dan Islam melihat kepada kesejahteraan ummah (ummah fadilah) tanpa melihat kepada stigma kaum atau bangsa. Sikap ini mungkin melihat kepada konsep al-ma’murah al-fadilah yakni melihat kepada sikap masyarakat yang bersifat tolong-menolong (ta’awun) untuk memperolehi kebahagiaan. Pandangan ini bersifat kulli, iaitu tidak membataskan kepada sempadan kaum, budaya dan agama, bahkan menerima semua manusia sebagai ummah yang besar.
Mungkin bagi Nik Aziz, dengan Islam yang kulli ini, tidak mustahil orang bukan Islam akan melihat Islam dalam hakikatnya yang sebenar sebagai agama yang adil dan cintakan keamanan dan seterusnya meletakkan diri mereka untuk bersatu di bawah panji Islam. Nik Aziz mungkin tidak mahu setelah PAS berjaya bangkit sebagai matlamat kebaikan di mata bukan Islam, tiba-tiba menyempit dalam asabiyyah yang akan mengembalikan persepsi bukan Islam terhadap imej Islam dahulunya yang sering dikaitkan dengan sentimen dan chauvinistik.
Muzakarah dalam bentuk apa sekalipun tentunya membawa cita-cita yang baik. Namun apabila media mula mengeluarkan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak bijak bersama pemimpin parti komponen BN (bukan Melayu) yang tiba-tiba ingin melihat perpaduan Melayu, maka ia menjadi satu paradoks. Cuba memperlihatkan keprihatinan terhadap perpaduan Melayu tetapi dalam masa yang sama tidak dapat menyembunyikan keinginan untuk melihat Pakatan Pembangkang menjadi pecah.
PAS secara peribadinya mampu menyelesaikan masalah orang Melayu khususnya, juga orang Islam secara keseluruhannya (ramai bukan Melayu yang beragama Islam dan tertarik kepada Islam) melalui hubungan baik yang mula terbentuk bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mereka. Muzakarah dengan UMNO mungkin akan memberikan kekuatan kepada perpaduan Melayu-Islam, tetapi tentunya memberi kesan terhadap hubungan Melayu-Islam dan bukan Islam dalam konteks Malaysia. PAS perlu memberikan definisi yang jelas terhadap perjuangan keadilan ummahnya. Islam tentunya bukan hanya untuk satu bangsa (Melayu) sahaja tetapi untuk semua bangsa yang wujud di dunia ini.
Keghairahan beberapa pemimpin UMNO dan parti komponen BN mengeluarkan kenyataan melahirkan freudian slip, iaitu mempamerkan secara tidak sedar niat mereka untuk menunjukkan PAS sebagai rakan yang membelakangkan kepentingan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat. PAS secara tidak langsung, daripada pendedahan yang dikeluarkan diperlihatkan membuat rundingan secara sembunyi sekaligus memperlihatkan sikap tidak jujur PAS (orang Islam?). Islam adalah agama para pemberani, yang menyerahkan diri (aslama) diri mereka dengan penuh yakin kepada kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. Dengan itu mereka harus teguh berpegang setia kepada janji dan melakukan tindakan secara berdepan, hatta jika mereka berjanji dengan musuh sekalipun.
Niat dan cita-cita baik pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS yang jujur akan memberikan natijah lain, jika ada pihak mula melihat muzakarah ini sebagai senjata politik untuk mencapai kepentingan serta tujuan politik yang tidak putus-putus bersifat runtuh meruntuhkan itu. Untuk itu PAS perlu bertanya kepada diri mereka;
PAS adalah Islam untuk Melayu atau PAS adalah Islam untuk ummah?
Mingguan Wasilah, 3-9 Ogos 2008
Saturday, August 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
bukan untuk kedua2 nya,
mereka hanya pentigkan diri sndiri/..
Post a Comment